Thursday, July 5, 2012

Cerpen : Encik Kuning

Pertama kali saya letak cover cerpen seorang lelaki :)



“Aku rasa dah lebih dua jam kau macam ni? Duk menongkat dagu tanpa buat apa-apa kerja, kesian pula tangan tu nanti. Karang tak pasal-pasal terpeleot tangan tu.” Melati menegur.

Sesungguhnya dia sangat hairan bercampur pelik. Apa tidaknya angin tidak ribut taufan pun tidak, tiba-tiba temannya yang bermulut kepoh mengalahkan mak nenek itu menjadi pendiam, membisu tanpa kata.

Apa cuti semalam dia telah terlanggar tiang elekrik ke? Sehingga berubah laku sebegitu rupa. Melati mengeleng-gelengkan kepala. Ini bukannya Mya Zara yang dia kenal.

“Woiittt kau tak dengar ke apa aku cakap ni?” Dia menepuk kuat meja tempat Mya Zara duduk itu. Geram bila tegurannya yang pertama langsung tidak diberikan apa-apa reaksi oleh gadis itu.

“Opocot! Apa kau ni sergah-sergah orang? Tak ada kerja ke?” Mya Zara terjerit. Agak lantang. Dia mendengus geram bila lamunan panjangnya dimusnahkan oleh Melati.

“Eleh tau pun marah, aku tegur elok-elok kau make don’t know je, macam serupa aku cakap dengan dinding, tak pun dengan kerusi meja. Huh buat kering tekak aku bercakap dengan kau tau. Sikit pun kau tak layan.” Melati membebel panjang.

“Aku tak suruh pun kau cakap dengan aku ni Ati.” Sendiri mau cakap lepas tu tak dilayan dia marahkan kita pula. Dia membebel perlahan dalam hati.

“Dah bukan kebiasaannya aku bercakap dengan kau ke setiap hari Zara? Eh kau ni kenapa? Bergaduh dengan si Zulfat tu ke? Bukan main lagi layan menung dengan wajah kusam macam awan mendung tunggu waktu nak turunkan hujan lebat saja.”

“Huh! Jangan kau sebut nama lelaki tu boleh tak?”

“Eh-eh marah pula dia. Biasanya kalau aku sebut nama dia muka kau tu dah macam bunga kembang setaman. Senyum sampai ke telinga.”

“Huh kali ni bukan macam bunga kembang setaman dah, tapi dah macam hati aku ni hancur dilenyek steamroll, hancur berkecai-kecai bertaburan tau tak?”

“Pulak dah, eh apa kena dengan kau orang ni?”

“Tak ada apa-apa, aku dan dia dah tak ada apa, kami dah putus! Its over! Finish!”

“Aku tak tau apa masalahnya korang berdua ni. Tak akanlah tak ada jalan lain nak damaikan balik pertelingkahan korang ni hah? Tak akan tak sayangkan hubungan korang berdua yang dah nak masuk tiga tahun ni?”

“Tak! Aku dah muak dengan perangai si Zul yang tak pandai-pandai nak matang tu. Huh bertahun aku cuba bersabar, berharap dia berubah tapi akhirnya aku sendiri yang penat dan hampa di penghujungnya.”

“Tak akan tiba-tiba saja nak putus. Mesti ada penyebabnyakan? Cuba kau cerita sikit dengan aku ni.” Melati menyoal cuba mengorek rahsia.

Mya Zara mengeluh. Benci mengenangkan kembali peristiwa yang berlaku semalam.

******

Suasana hiruk pikuk di majlis konsert jelajah artis kesayangannya. Disebabkan ini konsert artis kesayangan dialah dia sanggup bersesak-sesak dalam himpunan lebih sejuta manusia ini.

Dia pegang kepalanya yang terasa berpusing tiba-tiba, sambil tu matanya tak henti melilau mencari mana temannya itu berada. Akhirnya dia hampa, suram-suram cahaya lampu yang ada sedikit pun tak membantu mengesan di mana temannya itu berada.

Huh mana pula dia ni? Dia bermonolog sendiri.

Ah tak boleh tidak, aku kena keluar juga dari kesesakan ini sebelum aku sendiri jatuh pengsan. Akhirnya dia buat keputusan nekad. Nafas semakin sesak dek dihimpit oleh ramai sangat umat manusia.

Tiba-tiba dia terasa pergelangan tangannya dipegang dan jari jemarinya digenggam. Dia ditarik sehinggalah keluar dari kawasan sesak itu. Ah mungkin dia yang pegang tangan aku, bimbang kami terpisah dan mungkin juga dia bimbang sesuatu yang tak baik berlaku dengan aku. Bisik hatinya.

“Aww…ak ssiapa?” Dia menyoal terkejut bila melihat lelaki yang memegang tangannya itu bukannya teman yang hadir bersama dengannya tadi.

“Zara!” Lantang namanya dipanggil dan bila dia berpaling alangkah terkejutnya dia bila melihat temannya itu sedang merenung dirinya dengan pandangan yang sangat tajam seolah mahu menelan dirinya hidup-hidup.

******

Pang!

“Jantan tak guna!”

Berbahang pipinya bila ditampar kasar tiba-tiba oleh gadis itu.

Baby ni semua salah faham.”

“Huh banyaklah you punya salah faham ek? Eh you ingat I ni apa? Tunggul kayu ke? Eeiii sakit tau hati I ni you tau tak hah?” Tengkingnya kuat.

Dia betul-betul panas hati bila melihat jejaka yang didampingi hampir 5 tahun lamanya itu begitu tega meninggalkan dirinya sendirian dalam sesak orang ramai. Langsung tak boleh terima bila dia mengejar lelaki itu, lelaki itu sedang seronok memimpin tangan orang lain. Berkecai-kecai perasaannya laksana pasu kaca yang sengaja dihempas ke lantai dan pecah berderai dan langsung tak boleh diselamatkan.

Baby tolonglah dengar penjelasan I dulu. Please.”

“Apa lagi yang you nak jelaskan dengan I lagi Edry? Sudah terang lagi bersuluh, jelas sangat di pandangan mata I ni. Sampai hatikan you buat I macam ni? Tega you Edry. Apa salah I Edry? Tak cukupkah segala perhatian yang I berikan pada you? Sampai you sanggup curang dengan I? Kalau di belakang I mungkin I tak akan sakit macam ni, sebab I tak nampak.” Air matanya menitis hiba sewaktu menuturkan ayat itu. Sungguh dia rasa masa hampir 5 tahun dia habiskan untuk lelaki itu adalah untuk sia-sia cuma.

“I minta maaf Dania. Sungguh I sumpah I tak kenal siapa dia. I ingat I pegang tangan you.”

“Sudahlah Edry! I tak mahu dengar apa-apa alasan dari you. I benci, I muak!”

“I tak bagi alasan baby, tapi inilah kenyataannya Dania. I tak kenal dia, I tak rancang pun benda macam ni akan terjadi.”

“Edry Risyard mulai hari ini I Dania Nur lepaskan you. Kita dah tak ada apa-apa. I betul-betul terluka dengan perbuatan you tu dan I nak you tahu, luka di hati I ni mungkin tak akan sekali-kali sembuh.”

“Dania! Apa ni? You kata you cintakan I tapi you sendiri tak mahu percayakan I. Dania, please listen to me. Apa yang you lihat tak semestinya sama seperti yang you fikir. Mata you tu menipu!” Bahu gadis kesayangannya itu dipegang. Dipusingkan agar menghadap ke arah dirinya wajah gadis itu.

“Sudahlah Edry! You sudah tiada jalan untuk menegakkan benang yang dah basah tu. Lepaslah! Lupakan I, pergilah pada perempuan yang you jaga sangat tu. Anggap kita tak ada jodoh. Selamat tinggal.”

“Dania!” Panggilnya namun gadis itu tetap juga tidak berpaling, malah terus menonong meninggalkan dirinya.

******

Hancur hatiku menjadi keping-keping tak berharga saat mataku ini terlihat tanganmu dalam genggaman tangannya.

Sehingga ke hari ini, telinganya masih lagi terngiang-ngiang jelas ayat akhir yang diucapkan oleh lelaki itu sebelum berpisah. Sudah hampir setahun rupanya perkara itu berlalu. Betul-betul meninggalkan luka yang maha dalam dan perit dalam hati dan jiwanya.

Begitu mudah! Hanya satu peristiwa saja, terus meranapkan hubungan bahagianya yang dibina dengan penuh kesukaran itu. Susah payah dia membina kepercayaan, cuba membuatkan keluarga Zulfat menerima dirinya yang sebatang kara dan tak berpelajaran itu. Yalah dia hanya lulusan SPM dan Zulfat pula lulusan universiti terkemuka luar negara lagi, manakan sesuai untuk dirinya. Itu sebablah di awal perhubungan mereka, kehadiran dirinya dalam hidup lelaki itu ditentang habis-habisan oleh keluarga lelaki itu.

Ah mungkin kami memang tak pernah berjodoh. Dia menyeka air matanya yang jatuh menuruni pipi secara tiba-tiba. Teringat akan satu ungkapan yang pernah dibacanya dulu.

‘Sesuatu tu kalau bukan milik kita, walau digenggam kuat manapun akan tetap terlepas jua dan pergi dari kita.’

Saya minta maaf Zulfat. Mungkin saya bukan yang terbaik untuk awak. Itu sebab tuhan hadirkan dugaan supaya kita berpisah.

Teresak-esak dia menangis. Sungguh dia sangat rindukan lelaki itu, tapi apakan daya lelaki itu sudah tak mahukan dirinya. Panggilan telefon yang dibuat kepada lelaki itu pun tak pernah dijawab. Bagi lelaki itu, dirinyalah punca kehancuran hubungan mereka. Bagi lelaki itu, dia terlalu berdosa untuk dimaafkan.

Esakkannya semakin kuat kedengaran. Akhirnya dia menekupkan mukanya dengan kedua tapak tangannya.

“Cik maafkan saya…”

Esakkannya terhenti bila dia disapa. Perlahan dan lambat-lambat dia mengalihkan tangan dari mukanya.

“Cik, awak tak apa-apa?”

Dia menggeleng-gelengkan kepala laju menjawab persoalan lelaki itu.

“Mungkin cik perlukan ini.”

Sehelai sapu tangan berwarna merah lembut dihulurkan kepadanya dan Mya Zara menyambutnya lambat-lambat bila melihat wajah lelaki itu yang beria memberi isyarat mata kepadanya supaya dia menyambut pemberiannya itu.

Macam pernah Mya Zara melihat wajah lelaki itu, tapi di mana ya?

“Aw… awak mana awak dapat sapu tangan ni?” Bulat matanya tiba-tiba bila dia perasan sapu tangan berwarna merah lembut itu pernah menjadi miliknya suatu ketika dulu.

“Saya jumpa, milik seorang gadis.” Jawab lelaki itu ringkas.

“Err awak jumpa di mana?” Soalnya mula bersemangat mengorek kisah di sebalik sapu tangan yang berada ditangannya.

“Boleh saya duduk di sini cik?”

“Err… duduklah, hak awam bukan hak saya, tak perlu minta izin.”

“Saya minta izin bukan sebab hak awak atau hak awam atau apa ke, saya minta izin sebab saya tak mahu nanti cik kurang selesa dengan kehadiran saya ni. Macam sedang menganggu cik yang ingin bersendirian. Saya Edry, Edry Risyard, nama cik?”

“Mya Zara.” Ringkas jawapannya.

“Sedap nama tu, nak panggil apa? Saya panggil Mya boleh?”

“Terpulanglah pada awak nak panggil apa, saya panggil awak Edry boleh?” Soalnya malu-malu sambil mencuri pandang ke wajah lelaki bertubuh sasa yang duduk bersandar santai. Mereka berkongsi kerusi yang sama di tepi taman ini.

Haisy kenapalah tak boleh kawal perasaan ni sampai menangis macam orang gila di sini. Malu saja, ditegur oleh lelaki kacak ini.

“Aw… awak tak nak cerita ke mana awak dapat ni?” Sambil mengunjukkan sapu tangan yang berada digenggamannya kepada lelaki itu.

Sapu tangan kecil yang sudah lencun dek air matanya itu.
“Saya tak tahu perlukah saya ceritakan atau tidak Cik Mya, ada kenangan menyakitkan di sebalik warna lembut mengasyikkan kain kecil itu. Kalau boleh saya tak mahu ingatkan lagi.”

“Kalau menyakitkan kenapa awak masih simpankan ia?”

“Saya simpan sebab saya mahu pulangkan kepada pemiliknya, dan ceritakan kepada dia betapa diri saya sengsara semenjak bertemu dengan dirinya.”

“Ap… apa maksud awak Encik Edry?”

Apa kena mengenanya sengsara dengan sapu tangan milikku itu?

“Hampir setahun lepas…. Sepasang kekasih sangat bahagia bersama, menyulam cinta dan bakal meraikan ulangtahun perhubungan mereka yang ke-5. Si jejaka bercadang untuk melamar si gadis tepat pada ulangtahun yang ke-5, tapi sayang segalanya hanya tinggal rancangan. Semuanya musnah kerana pemilik sapu tangan kecil ini.”

Semua musnah kerana pemilik sapu tangan kecil ini? Maksudnya kerana akulah hubungan mereka musnah? Eh bila masa pula aku muncul mengganggu-gugat hubungan dia dan teman wanitanya? Dahlah tak pernah kenal pun.

“Saya tak faham, kenapa awak nak salahkan pemilik kain kecil ini?”

Edry menarik nafas dalam mendengar soalan Mya Zara itu. Dia tersenyum kecil, sinis dan hanya seketika.

“Saya ingat lagi hari itu saya dan kekasih saya, kami berdua bersetuju untuk sama-sama menonton konsert artis kesayangan kami di Stadium Bukit Jalil. Entah kenapa suasana sangat sesak dan membuatkan saya tak selesa. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berlalu tanpa menunggu konsert itu habis. Saya tarik tangan kekasih saya itu supaya kami tak terpisah, tapi tahu tak awak tangan siapa yang saya tarik sebenarnya?”

Mya Zara menggelengkan kepalanya, walaupun hakikatnya dia sudah dapat mengagak cerita lelaki itu.

“Tangan pemilik kain kecil ini. Saya terpaku, tak tahu nak jelaskan apa sedangkan nun jauh di sana teman wanita saya banjir dengan air mata sambil merenung saya dengan wajah yang luka. Sungguh sampai sekarang saya masih lagi rasa pedihnya peristiwa itu.”

“Awak salahkan gadis pemilik sapu tangan ini seratus peratus atas perpisahan kalian tu?”

Mengangguk. Edry Risyard mengangguk menjawab soalan Mya Zara itu.

“Tak adil rasanya awak salahkan dia Encik Edry.”

“Kenapa pula awak kata tak adil? Dia sepatutnya jelaskan segala-galanya sebelum pergi bukan berlalu tanpa kata dan meninggalkan segalanya penuh tanda tanya seperti itu. Dia musnahkan hidup saya Cik Mya!” Beremosi lelaki itu menuturkan kata-katanya.

“Awak tahu tak, setiap hari saya cari pemilik sapu tangan ni, setiap pelusuk saya cari, dengan harapan bila saya jumpanya saya dapat bawa dia bertemu kekasih saya tu dan jelaskan segala salah faham yang terjadi namun akhirnya hampa. Saya penat sendiri. Pencarian saya tak membuahkan hasil. Hubungan saya dan kekasih musnah tanpa boleh dibaik pulih. Nah sekarang, baru pagi tadi saya jumpa dia, berpapasan bahagia dengan teman barunya.” Sendu wajahnya bila teringatkan kembali pertemuan tidak diduga pagi tadi.

Cepat kau cari pengganti diri ini sayang….

“Jadi awak ingat saya bahagia semenjak perbuatan awak hari itu Edry?” Tak boleh nak tahan akhir terlepas keluar daripada mulutnya.

Sakit hatinya bila lelaki itu asyik menyalahkan dirinya.

“Apa maksud awak Cik Mya?” Berubah wajahnya semerta.

“Lelaki berbaju kuning, itu awakkan?” Soalnya meminta kepastian.

“Hah? Ja… jadi awak….”

“Macam mana awak nak cari saya Encik Edry sedangkan wajah saya sendiri pun awak tak ingat. Lepas tu dengan senang hati awak salahkan saya atas perpisahan awak tu. Bukan saya yang pegang tangan awak, tapi awak. Baik awak ingatkan kembali baik-baik.”

Kering sudah air matanya yang tadinya tak henti-henti nak surut dari terus bertakung di tubir matanya itu. Perasaan sedihnya rasa sudah berterbangan pergi, yang ada cuma perasaan marah yang mula hangat membara dalam jiwanya.

“Jadi awaklah yang saya cari selama ini? Kalau betul awak orangnya, ha apa tunggu lagi, jom saya bawa awak jumpa Dania dan jelaskan segalanya.”

Tanpa diduga lelaki itu sekali lagi menarik tangannya seperti dulu juga.

“En… Encik Edry tu… tunggu….”

“Zara? You eh apa ni Zara?”

“Zulfat…. Aaaa ni bukan seperti yang awak sangka.” Kalut dia bila melihat kemunculan lelaki yang dirinduinya itu secara tiba-tiba.

“Apa lagi pula yang you nak bohongkan I kali ni Zara? Huh! You betul-betul buang masa I. Tak guna I datang sini dengar kata Melati yang you betul-betul merana atas perpisahan kita ni. Rupa-rupanya semua hanya sandiwara. Sedih apa begini kalau masih sempat bercengkerama di tempat awam begini. Betul agakan I, you memang tak pernah setia dengan I. You dengan lelaki ini memang ada apa-apa. Huh!”

“Err saudara, saya rasa awak dah salah faham ni.” Edry Risyard cuba menyampuk.

“Arghhh diamlah kau! Kau lelaki yang dekat stadium tu kan? Sampai mati pun aku tak akan maafkan kau. Tak guna, sudah kau tahu dah bertuan lagi kau mau kacau.”

“Woii jaga sikit mulut kau. Aku cuba bersopan tapi kau tunjuk perangai tak berajar kau tu depan aku ni. Memang patut pun Mya tinggalkan kau. Lelaki ego yang menuduh membuta tuli.”

“Kurang ajar kau.” Zulfat meluru ingin memukul tubuh lelaki yang bermulut lantang di sisi Mya Zara itu.

“Cukup! Hentikan!” Mya Zara cuba menghalang tapi sudah terlambat.

Tubuhnya terasa dirempuh kuat dan dia akhirnya melayang jatuh tak mampu mengawal imbangan diri…. Pandangannya gelap dan kemudian dia langsung tak ingat apa-apa.

******

“Kalau abang tak pegang tangan Mya waktu tu, kita mungkin tak akan berjodoh seperti hari ini.” Terasa tubuhnya dirangkul dari arah belakang. Ada kucupan lembut singgah dibahunya yang sedikit tertedah dek kerana memakai gaun tidur yang terbuka besar di leher.

“Mungkin sebabnya kita berjodohlah ALLAH temukan kita dalam keadaan begitu. Menyakitkan dan membuatkan kita kehilangan cinta-cinta kita sebab rupanya ALLAH nak bagi cinta yang lebih manis daripada cinta-cinta kita yang lepas.”

Jari jemari kasar lelaki itu diusapnya.

“Tak sangka Encik Kuning saya ni romantik dan penyayang orangnya. Seperti awal pertemuan kita, abang pegang tangan saya, supaya saya selamat dan tak terpisah dengan abang.” Tangan lelaki itu dibawa ke mulutnya dan dikucup penuh kasih.

“Encik Kuning sayang gelarkan abang?”

“Yalah dah Mya tak tahu nama abang waktu, lepas tu abang pakai baju berwarna kuning macam mascot Digi tu, tu sebab Mya gelarkan abang Encik Kuning.”

Dia ingat lagi bila tubuhnya dirempuh oleh Zulfat dan dia jatuh pengsan tak sedarkan diri, wajah pertama yang dia lihat sebaik membuka mata dan sedar daripada pengsannya itu ialah lelaki itu. Lelaki yang bernama Edry Risyard. Lelaki yang sudi mengisi kekosongan di sebalik perpisahan yang terjadi dalam hidupnya. Dia tahu kenapa lelaki itu berbuat demikian, kerana lelaki itu turut merasakan kepedihan yang dialami oleh dirinya bila kesetiaannya dipersoalkan dan dinafikan.

“Mya bahagia sangat-sangat dengan abang.”

“Abang pun sama juga, bahagia sangat dapat hidup dengan Mya. Kita lupakan kisah lalu kita tu supaya kita mampu mencorak hidup kita yang baru bersama buah hati kita yang bakal lahir tak lama lagi.”

Mya Zara tersenyum bahagia bila terasa usapan kasih lelaki itu diperutnya. Bukti cinta mereka kini sedang memekar dalam tubuhnya. Perlahan-lahan dia lentukkan kepalanya ke dada bidang milik lelaki itu.

Terima kasih tuhan hadirkan lelaki ini dalam hidupku. Encik Kuning yang hadirnya seperti sang mentari terang yang memberi cahaya terang dalam kesuraman hidupku.


*** Ada sesuatu yang terjadi sehingga menerbitkan idea untuk melahirkan cerpen ini :) Selamat menikmati. Segala kekurangan mohon maaf terlebih dahulu ***

2 comments:

Eykay said...

How suuuweeettt!!

Nuril Bahanudin said...

Terima kasih eykay :)

Cerita-cerita yang dinukilkan adalah antara kisah-kisah yang terjadi di sekeliling ini. Sekadar berkongsi suka-duka kepada semua. Yang baik sama-sama kita jadikan tauladan, dan yang buruk itu kita ambil dan jadikan sebagai sempadan.

Segala cerita dalam ni adalah karya asal, sebarang copy adalah tidak dibenarkan. Mana-mana kisah yang mungkin ada menyinggungkan perasaan semua tu di luar sedar saya, salam kemaafan saya hulurkan terlebih dahulu.


Salam dari saya,