Wednesday, July 11, 2012

Cerpen : Di Sini Kasih Kita Abadi



Jari jemarinya begitu pantas ligat mencalit warna pada kanvas dihadapannya. Dia kesuntukan masa, perlu menyiapkan karyanya secepat mungkin sebab pelanggannya mahukan karyanya untuk dijadikan cenderahati kepada kenalan yang berkunjung dari luar negara. Inilah kerjanya, yang telah bersebati dalam jiwanya walaupun bidang ini dulu tidak langsung diminatinya pada zaman kanak-kanaknya, tetapi segalanya berubah semenjak dia menginjak sekolah menengah, mungkin sebab penangan seorang guru yang mesra dipanggil "mama" oleh setiap pelajarnya suatu ketika dulu menyebabkan sedikit sebanyak mencambahkan minat dalam jiwanya.

Dia tersenyum sendirian. Jika lama dahulu dia langsung tak tahu tentang teknik-teknik campuran warna, garisan-garisan dalam sebuah karya begitu juga dengan teknik pencahayaan, tetapi tidak pula untuk sekarang. Mungkin darah seni yang diturunkan dari arwah pakciknya membuatkan dia berbeza dari abang-abangnya, bahkan pernah sekali lukisannya dirosakkan oleh abang sulongnya dahulu.

Ah... itu kisah kira-kira 7 tahun lalu. Kini mereka telah menginjak dewasa dan faham apa yang diminati oleh adik bongdu mereka itu. Keras kepala, apa yang dia hendak mesti dia akan dapatkan. Hehehe.... anak bongsulah katakan, dah tu perempuan tunggal, memanglah manja... Ceh termengelamunlah pulak. Dia tersenyum sendirian dengan bicara hatinya sendiri.

Dia mengerling seketika pada jam dipergelangannya.

Alamak dah pukul 5 lebih.aku nak pegi jumpa Iqa. Semalam dah janji dengan dia. Getus hatinya kalut. Suri pantas mengemas berus lukisannya. Mencuci tangannya yang telah terpalit dengan warna-warna itu.

Urggh aku ni melukis kat kanvas ke kat muka? Soalnya kepada diri sendiri tatkala terpandang palitan warna diwajahnya. Hisy entah apa-apakan aku ni. Dia tersenyum sendirian. Selendang yang tergantung di dinding biliknya dicapai. Pantas dililitkan ke kepalanya, menutup mahkota ikalnya.

******

Tanah perkuburan itu tetap sunyi seperti selalu.. Hanya nisan kaku yang tegak berdiri menyambut kunjungan. Tiada apa-apa yang berbeza atau luar biasa. Tetap seperti kunjungannya yang lepas-lepas.

Haruman kemboja menusuk rongga hidungnya. Disinilah tempat dia menghabiskan petangnya hampir saban hari. Perpisahan itu memang tak pernah diduga dan perpisahan itulah yang sering ditangisinya dahulu kerana dirasakan terlalu sakit hendak diterima sebab hadirnya terlalu cepat dan mendadak. Gelap seketika dunianya ketika dikhabarkan tentang berita itu suatu ketika dulu. Tapi itu kisah lebih 9 tahun lalu.

******

"Iqa, kenapa rambut kau nipis sangat ha? Tak macam rambut aku ni?" Suri bertanya. Sedari dulu lagi dia sering tertanya kenapa temannya yang satu ini punya rambut yang sedikit.
"Oh aku silap pakai syampoo. Tu yang rambut aku nipis. Banyak yang gugur... huhu." Syafiqa menjawab sambil lewa, acuh tak acuh dengan soalan Haryani itu.

Hari itu mereka berdua bersama-sama menghabiskan masa terluang dengan bersiar-siar. Seperti biasa menunggang motosikal honda 70 milik Suri. Sambil menunggang sambil bercerita kadang-kadang bersulam gelak ketawa. Saat itu, yang ada hanya sebuah bahagia. Tiada langsung penah terfikir wujudnya sebuah takdir yang perit di sebalik tawa mereka.

Syafiqa sahabatnya. Seorang yang dikenali tidak sampai setahun lalu. Berlainan kelas tapi entah kenapa dia berasa senang bila bersama gadis itu. Hairankan? Setahunya dirinya bukan mudah untuk bergaul mesra dengan orang tapi dengan Syafiqa tak sampai beberapa hari mereka dah rapat dan mesra bagaikan telah berteman dengan lama.
"Iqa next week sekolah buat rombongan ke Ulu Yam. Kau nak pergi tak?" Dia bertanya sambil merenung sisi wajah sahabatnya yang asyik menghadap pantai di sekitar rumah mereka.
"Aku tak sure lagi aku dapat pergi or tak." Agak lama barulah Syafiqa menjawab pertanyaannya itu.
"Ala... kalau kau tak pergi tak bestla. Lagipun kita belum pernah pergi bercuti sama-sama tau. Kalau kau sayang aku kau pergi ek?" Suri buat muka ala-ala mahu merajuk hendakkan perhatian dari temannya itu.
"Yalah-yalah aku pergi. Kau ni kan.... Heyyy manja! Sikit-sikit nak merajuk. Malas aku nak layan kau. Dah jangan nak buat muka cemberut macam tu dekat depan aku ni. Kalau comel tak apalah gak. heheheh..." Syafiqa ketawa. Sengaja menyakat Suri. Jawapannya itu menyebabkan wajah mendung Suri bertukar kembali menjadi cerah.

******

Rombongan ke Ulu Yam sudah lama berlalu, meninggalkan kenangan terindah antara mereka. Namun begitu Suri perasan akan perubahan dalam diri Syafiqa. Entah kenapa sahabatnya kini sering tak hadir ke sekolah. Setahunya Syafiqa bukannya pelajar kaki ponteng.
Uik mana Iqa ni? Hari ni pun tak datang lagi. Mesti ada sebab dia tak hadir. Tak apalah lepas kelas nanti aku singgah rumahnya. Putus hatinya membuat keputusan.
Usai habis waktu sekolah hari itu suri bergegas menuju ke rumah Syafiqa. Sesampai saja dilihat suasana rumah itu agak sunyi. Sepi seolah tiada berpenghuni.

"Assalamualaikum....." Suri memberi salam. Hampir seketika kemudian barulah dia terdengar ada suara garau yang menjawab salamnya.
"Iqa ada pakcik?" Terlihat sahaja wajah pak Deris ayah temannya itu. Pantas soalan dilontarkan kepada lelaki itu.

"Ada dekat dalam tu. Ha... masuklah." Pelawa lelaki separuh umur itu.
"Iqa kenapa tak datang sekolah? Kau sakit ke?" Pantas mulutnya bertanya sebaik sahaja terlihat kelibat Syafiqa itu.

"Tak adalah aku sihat. Cuma kau faham sajalah. Aku inikan tak ada mak. Adik aku demam tak ada siapa nak jaga dia. Ayah akukan kena berkerja, tak akan aku nak biarkan dia sorang-sorang pula dekat rumah ni. Apa-apa jadikan susah nanti." Panjang jawapan diberikan oleh Syafiqa.

Suri mengangguk faham. Sedikit lega dia apabila mendengar jawapan temannya itu.Namun tetap timbul rasa hairan dalam hatinya bila melihat wajah pucat Syafiqa itu dan rasa hairan itu dipendam saja dalam hatinya. Tak mahu mempersoalkannya.

Dia sendiri sedia maklum yang Syafiqa telah kematian ibunya kira-kira 7 tahun akibat satu penyakit yang tak dapat dikesan. Ada orang kata yang ibu temannya itu terkena penyakit buatan orang akibat hasad dengki. ALLAHuaklam dia pun sukar nak percaya benda-benda yang melibatkan ilmu yang tak dapat dilihat oleh mata kasar ni. Perkara tahyul tanpa bukti logik akal memang sukar nak dipercayai. Almaklumlah dia sendiri jenis yang berfikir ikut logik akal.
"Suri aku nak bagitau kau ni, yang ayah aku nak pindahkan aku akhir tahun ni. Dia nak hantar aku balik kampung asal arwah mak aku dekat Pahang. Dekat sana ramai lagi adik beradik arwah mak aku yang boleh jaga dan tengok-tengokkan aku." Tiba-tiba tanpa angin tanpa ribut Syafiqa memberitahu sebuah berita yang tak terduga ini.
"Pindah? Kenapa pula dengan tiba-tiba? Sebelum ni kau tak pernah pun cakap tentang hal ni dengan aku? Kau sengaja nak tinggalkan aku ke?" Wajah lega Suri tadi semerta kini bertukar suram
"Taklah aku sendiri pun tak tahu apa-apa Suri. Hal ini hadir secara mendadak. Aku siapa untuk membantah keputusan ayah aku tu. Aku terpaksa. Aku minta maaf Suri." Kedengaran lemah sekali jawapannya dan Suri mengangguk lesu. Cuba menerima berita yang disampaikan oleh Syafiqa itu walaupun sukar.

"Kalau itu keputusan ayah kau. Siapalah aku untuk menghalangnyakan? Nanti kalau kau dah pindah dekat sana jangan pula kau lupakan aku ni tau? Rajin-rajinlah hantar surat dekat aku ni." Dia berpesan. Kedengaran sebak nada suaranya tika itu.
"InsyaALLAH... Janganlah kau risau ya Suri. Persahabatan kita ini takkan sekali-kali pernah putus walaupun aku dah tak ada. Ingat itu ok?" Mendalam sekali maksud ungkapan yang diberikan oleh Syafiqa. Suri mengangguk sambil mengukir senyum dalam kesenduan.


******

Setahun berlalu dan cepatnya putaran waktu itu. Syafiqa kini telah pun berpindah ke kampung asal arwah ibunya. Suri kini kembali hidup sendirian. Walaupun ada kawan-kawan yang lain tapi tetap tak mampu menggantikan tempat Syafiqa dihatinya. Baginya teman itu istimewa. Setiap masa mereka habiskan bersama pasti meninggalkan momen yang manis dalam hidupnya.

"Iqa kenapa kau tak hantar surat? Kenapa tak telefon aku? Tak rindukah kau pada aku ni atau kau dah lupakan aku?" Rintih hatinya hiba. Kelopak matanya terasa bergenang secara tiba-tiba.
"Suri!" Terdengar namanya dipanggil. Pantas air mata yang hampir mahu gugur itu diseka.
Dia menoleh....

"Ada apa Syauqi" Dia bertanya tatkala terlihat Syauqi berdiri tidak jauh dari situ. Ditangan pemuda itu tergenggam satu sampul surat. Pemuda itu melangkah perlahan menghampiri dirinya.
"Nah, ni ada surat untuk kau." Ujar Syauqi sambil menghulurkan sekeping sampul putih kepada dirinya.

"Surat? Surat untuk aku aku? Dari siapa?" Terluncur laju pertanyaan dari mulutnya. Dia kehairanan.

Tak akan surat dari peminat kut? Ceh jangan perasaanlah Suri. Sempa lagi hatinya bermonolog sendiri.
"Surat dari Iqa. Jawab Syauqi ringkas dan terus berlalu tanpa sempat dia bertanya lebih lanjut.

*******

Ouchhh!! Dia mengaduh kuat secara tiba-tiba bila terasa jari kakinya sakit seolah digigit sesuatu. Kelihatan seekor semut merah sedang menyusup laju melarikan diri. Lamunannya pecah kala itu. Dia kembali ke alam nyata kini.

Apa khabar agaknya kau hari ini teman? Aku harap kau tenang dan bahagia di sana. Suri mengusap lembut batu nisan yang menjadi tanda pada tempat persemadian temannya itu. Seketika kemudia terdengar suaranya gemersik mengalun Surah Yasiin untuk sahabatnya.
Assalamualaikum wbt sahabatku Suri,
Mungkin tika warkah ini sampai kepadamu aku sudah pun tiada lagi di dunia ini. 

Maafkan aku kerana terpaksa berbohong dengan kau. Aku tak balik pahang pun sebenarnya tapi aku di hospital menjalani rawatan untuk penyakit leukimia aku ni. Sekali lagi maafkan aku. 

Bukan niat aku untuk merahsiakan perkara ini daripada kau tapi aku tak nak susahkan hati kau.

 Tahu tak, setiap hari aku di sini tak pernah sekali pun aku lupakan kau. Hanya Syauqi saja yang tahu keadaan aku. Ayahku hanya sesekali datang menjenguk aku sebab sekarang dia sedang asyik dilamun cinta dengan seorang janda anak satu. Tak apalah aku redha asalkan ayah bahagia sudah memadai bagi aku.
Suri sahabatku,
Mungkin dunia kita kini berbeza, tapi aku mohon jangan sesekali kau putuskan persahabatan kita ni.

 Mengenalimu satu perkara yang terindah dalam hayat aku. Masa bersamamu terlalu berharga buat aku. Terima kasih kerana buat aku rasa bahagia walaupun hanya seketika dan terima kasih tak terhingga kerana hadir dalam hidup aku dan sudi menjadi kawan aku.

Suri,
Jika pilihan itu ada untukku, ingin sekali aku terus tinggal disisimu. Bersama-sama jatuh bangun untuk mencapai cita-cita kita, tapi apalah dayaku untuk melawan takdirNYA. DIA lebih tahu segalanya. Lagipun aku bahagia kini kerana hasratku menemani ibuku akan tercapai.
Sahabatku...
Izinkan aku terus tinggal dalam hatimu selama mungkin selagi kau merelakan. Hiduplah dengan gembira seperti dahulu. Capailah cita-citamu sebab aku sentiasa memerhatimu dari jauh dan mendoakanmu.
Salam sayang dan rindu dari kejauhan,
Dari sahabatmu,
Syafiqa Bt Idris
******
Amin ya rabbal alamin...

Surah Yasiin itu ditutupnya dan dikucup perlahan usai saja menghabiskan ayatnya yang terakhir. Air bercampur pelbagai bunga-bungaan disiram perlahan keatas pusara sahabatnya.
Walaupun jasadmu telah bersemadi lama dan kita terpisah dengan dunia yang berbeza, namun kasih sayang aku tak pernah padam bahkan sentiasa subur mekar mewangi seperti haruman kemboja itu Iqa. Disinilah kasih kita abadi selamanya. Suri berbisik perlahan.
Matahari mula membenamkan wajahnya, menandakan siang mahu berakhir tak lama lagi.

"InsyaALLAH, jangan risau persahabatan kita takkan putus walaupun aku dah takda" Terngiang-ngiang ucapan terakhir arwah Syafiqa itu dimindanya. Fahamlah Suri kini akan makna ungkapan itu.
"Selamat tinggal Iqa. Semoga damailah kau dalam persemadianmu, esok InsyaALLAH aku datang lagi."


*** Cerpen pertama saya yang ditulis sepanjang saya bergelar penulis. Post kembali sempena ramadhan yang semakin menjelma ini. Buat dia yang telah pergi, Al-fatihah. ***

3 comments:

Anonymous said...

thumbs up! 4 mydear uCi

Nuril Bahanudin said...

Siapakah anonymous ni? Adakah Kak nor_matahatiku? Terima kasih jengah-jengah uci punya blog :)

norihan mohd yusof said...

tu lah hakikat kehidupan,hidup mati ketentuan yg Maha ESA.cuma nak temui sahabat sejati amat payah...tangis tawa suke dn duka bersame selari ditempuhi.cerpen adek ne memapar kn masih ujud gak kasih sayang sahabat hingga ke akhir hayat.menarik but sedeh gak...

Cerita-cerita yang dinukilkan adalah antara kisah-kisah yang terjadi di sekeliling ini. Sekadar berkongsi suka-duka kepada semua. Yang baik sama-sama kita jadikan tauladan, dan yang buruk itu kita ambil dan jadikan sebagai sempadan.

Segala cerita dalam ni adalah karya asal, sebarang copy adalah tidak dibenarkan. Mana-mana kisah yang mungkin ada menyinggungkan perasaan semua tu di luar sedar saya, salam kemaafan saya hulurkan terlebih dahulu.


Salam dari saya,