Wednesday, July 25, 2012

Cerpen : Alahai Syawal

Photo Ihsan Google


Syawal termenung panjang di birai tingkap rumah kampung itu. Hampir dua jam dia di situ. Merenung jauh dengan pandangan mata yang beku. Kaki berjuntaian dengan sesekali digoyangkan.

Apa salahku? Aku dan dia tiada bezanya, tapi kenapa aku dan dia ditegah untuk bersama? Pelik sungguh rasanya. Aku punya mata dua dan dia pun sama juga. Mulutku satu, dan dia pun begitu. Kenapa emakku, kenapa bapakku? Kenapakah tega kalian menghalang perhubungan suci kami ini? Apakah menjadi dosa andai kami cuba mematrikan cinta yang kian bersemi ini? Walaupun aku tak pasti perasaan dia pada diri ini, tapi aku tak peduli, yang penting hatiku ini sudah terpaut pada dia. Pedulilah kalau dia mahu kata apa. Ah sedangkan kerak nasi itu kalau direndam lama-lama boleh lembut jadinya inikan perasaan yang sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan dan masa.

"Syawal, udah-udahlah tu mahu termenung nak.. Hari sudah senja ini. Emak mahu tutup tingkap ni. Kalau lambat mahu nyamuk banyak masuk berkeliaran..." Mak Piah dengan mulut tersungging tembakau menegur dia. Namun dia buat tidak dengar saja.

Ah, biar nyamuk gigit sampai kering darah ini pun tak apa. Mati pun tak mengapa. Sebab keputusan kalian itu buat aku hampa! Kecewa mak! Laung hatinya kuat, bergema dalam setiap ruang tubuhnya.

"Syawal, ni bapak ada bawak balik pisang berangan ni meh makan meh."

Dia hanya memandang sekali lalu saja beberapa biji pisang yang disuakan oleh Pak Atan itu.

Huh, bagi aku setandan pisang pun aku tak mahu bapak. Selagi kau tak turutkan apa yang ku hendak. Bisik hatinya bungkam, walaupun kecur air liurnya melihat pisang yang sudah masak ranum bewarna kekuningan itu. Nasib aku tengah mogok sekarang ni bapak. Kalau tidak memang aku dah makan semua pisang-pisang ni. Setakat dua tiga biji manalah cukup buat perut ku ini.

Selamba dia mengatur langkah melepasi batang tubuh Pak Atan yang masih terpinga-pinga itu. Hairan bila pisang yang disuakan sebentar tadi langsung tak disentuh oleh Syawal.

"Apa kena dengan si Syawal tu Piah?"Soalnya pada si isteri.

"Entahlah bapaknya. Saya pun tak tahu. Monyok saja dua tiga hari ni, agaknya rindukan Semah kut, sebab lama budak tu tak datang sini. Sibuk agaknya, SPM kan dah nak dekat." Jawab Mak Piah acuh tak acuh. Alah biasalah tu, budak nak membesar. Macam-macamlah ragamnya, ya tak?

"Huh, saya ingat awak marahkan dia ke pukul dia ke tadi maknya. Tak pernah-pernah dia menolak kalau saya bagi dia pisang kegemaran dia ni." Tubuhnya disandarkan ke dinding rumah kayu itu. Melepaskan lelah seketika.

Hai kalaulah Syawal ni macam budak-budak yang lain kan seronok. Boleh juga tolong aku di kebun tu. Menyangkul, menyabit, cabut ubi ke apa ke apa ke, ringan sikit terasa beban ni tapi apa nak buat Syawal aku ni berbeza.

"Piah, buatkan aku kopi keras satu." Seperti selalu, minuman kesukaannya, air kopi yang pekat dengan gula yang kurang.

"Ya bapaknya, sebentar.." Laung Mak Piah dari arah dapur.

Kiokkk!!! jerit ayam belaannya kuat daripada arah luar rumah, bahagian dapur..

Hisyy ini tak lain tak bukan kerja si Syawallah ni, desis hatinya.

Pantas dia menjengah dan nyata agakannya tidak silap.

"Syawal, isk buat apa kau kejar ayam tu? Nampak dek bapakmu nanti karang, teruk dimarahnya kamu, dah-dah mari masuk, hari dah senja ni.."

Akur mendengar teguran Mak Piah itu. Menunduk jalannya ketika melalui emaknya itu. Memang dia gerun sedikit dengan bapak, sebab angin bapak sukar diduga.

**********

Semah, dah 5 hari kau tak datang ke sini menjenguk aku. kenapa ya? Apa salahku sehingga begitu tega kau buatku separuh nanar begini Semah? Sampainya hati kau..

Air mata terasa bergenang di tubir matanya, hanya menanti masa untuk melimpah saja.

Semah aku ingat lagi waktu itu. Kau dan aku jalan berpengangan tangan. Sesekali kau akan mengusap tanganku, membelai kepalaku. Ah bahagianya perasaanku tika itu. Betapa aku semakin jatuh cinta padamu bila melihat sikapmu kepadaku. Kau begitu ambil berat padaku. Melayaniku seadanya, menjahitkan butang bajuku yang hampir tercabut dan membetulkan seluarku yang sedikit senget itu. Oh indahnya saat itu Semah, sehingga aku rasakan dunia ini milik kita berdua sahaja.

Semah, rinduku yang membuak-buak di dalam dada ini sudah tidak terbendung lagi rasanya. Kenapa kau tiba-tiba menghilang? Aku ingat lagi pada detik akhir pertemuan kita hari tu. Sebagai balasan atas setiap layanan mu itu, aku dengan ikhlas menghadiahkan kucupan dipipimu itu. Ku peluk bahumu, ku rangkul erat lehermu yang jenjang itu dan sesekali menggigit manja telingamu itu. Kita pasangan bahagia Semah, tak ada celanya pada mataku ini, tapi mengapa Semah?

"Huh budak ni, puas termenung di tingkap, dia termenung di tangga pula." tegur Mak Piah agak kuat sambil mencekak pinggang dan mengeleng-gelengkan kepalanya. Dilihatnya pinggan nasi yang diberikan pada Syawal tadi masih tak terusik.

"Hisy kau ni kenapa Syawal? Macam mati bini saja gayanya,"

Bukan mati binilah mak tapi Syawal nak Semah, mak faham tak? Hidup Syawal tak bermakna tanpa Semah di sisi. Laung hatinya lantang.

"Dah-dah pergi petikkan mak kelapa sebiji dua. Mak nak masak kuah lemak cili api ni. Bapak kau suka tau masakan lemak cili apa mak ni."

Masih juga tidak berganjak mendengar arahan Mak Piah itu. Syawal meneruskan menungan yang panjang tanpa penghujung.

"Isk Syawal ni." Mak Piah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal yang telah ditumbuhi separuh uban itu.

"Syawal, engkau dengar tak mak suruh ni? Pergi petikkan mak buat kelapa. Mak nak masak ni, kut-kut kalau Semah datang nanti boleh juga dibagi sikit." Suruh Mak Piah lagi.

Semah?? Hah Semah nak datang? Terus bertukar sedikit ceria wajahnya. Laju dia melompat turun. Tanpa menggunakan tangga lagi terus memanjat pokok kelapa yang berhampiran. Mak Piah hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat perangai Syawal itu. Tak faham sungguh!

Ah Semah, demimu Semah usahkan sebiji kelapa aku sudi petikkan, seratus biji pun aku sanggup. Jerit hatinya riang. Tak sabar ingin bersua muka dengan Semahnya itu. Melepaskan rindu dendam yang sarat membusung di dalam dada ini.

Dari satu pokok ke satu pokok kelapa dia menggugurkan buahnya. Huh demimu Semah pokok kelapa satu kampung pun aku sanggup petik buahnya. Ah Semah suka minum air kelapa muda. Aku mesti cari kelapa muda yang terbaik buat dia.

Dalam fikiran sudah terbayang aksi dia melutut sambil menyuakan sebiji kelapa muda yang sudah siap ditebuk untuk diminum kepada Semah, gadis pujaannya itu. Oh dapat aku bayangkan betapa romantiknya saat itu.

"Lailahaillallah Syawal! Mak minta sebiji dua saja. Ini dah macam ambil kelapa untuk masak bagi makan orang satu kampung" Mak Piah menepuk dahi. Pening dengan si Syawal. Hai lama-lama aku melayan dia ni boleh naik darah tinggi aku.

"Assalamualaikum. " Terdengar suara orang memberi salam.

Laju Syawal menuruni pokok kelapa yang sedang dipanjatnya itu. Dia kenal suara itu! Itu suara gadis pujaannya.

Eh, Semah tak berseorangan nampaknya. Eh siapa awek di sisi Semah itu ya? Hati mula tertanya-tanya hairan.

"Waalaikumussalam Semah. Hah panjang pun umur kamu. Baru Mak Piah sebut-sebut nama kamu tadi. Lama kamu tak datang sini? Syawal ni dah rindu benar dengan kamu.."

"Semah sibuk sikit Mak Piah. Peperiksaan dah nak dekat, kena ulang kaji sikit.."

"Oh.."

"Syawal. Mari sini..." Gamit Semah kepadanya. Ikutkan hatinya kalau Semah berseorangan tadi sudah lama dia meluru kepada Semah. Memeluk tubuh gadis pujaan hatinya itu melepaskan kerinduannya tapi dia malu kini bila terpandangkan awek memakai gaun merah jambu di sisi Semah itu. Awek cun pula tu, walaupun gelap sikitlah dari Semah.

"Eh siapa yang kamu bawa tu Semah?" Dari tadi tak tertanya-tanya siapa yang bersama dengan Semah itu.

"Ini Cek Mek, Mak Piah. Semah pinjam daripada jiran sebelah rumah. Saja bawa sini buat kawan untuk si Syawal ni." Sambil mata meleret pada Syawal yang merenung tajam padanya. Sesekali menjeling Cek Mek yang berada di sisinya. Ewah-ewah dua-dua malu kucing pulak tu. Desis hatinya.

"Hah baguslah tu kamu bawak Cek Mek ni. Syawal ni Mak Piah tengok lain macam benar dua tiga hari ni. Monyet biarkan dengan monyet. Tak akan dengan manusia pula, ya tak?"

"Ha'ah Mak Piah"

Aku monyet? Syawal menggaru-garu kepalanya, errrr betullah... Hampir terlupa pula yang aku ni monyet. Patutlah mak dan bapak sedikit risau aku rapat dengan Semah, hehehe..

Cek Mek.... aku datang.. Semakin ceria hatinya bila melihat Cek Mek si monyet betina yang tadinya malu-malu kini sudah berani melangkah mendekati dia.

"Tak lama lagi bercuculah Mak Piah ya?" Ucap Semah berlulucon bila melihat kemesraan yang mula terbit antara Syawal dan Cek Mek. Syawal, monyet yang dinamakan syawal sempena dengan bulan waktu Pak Atan menemui Syawal terperangkap dalam jerat buatan manusia dan ditinggalkan oleh ibunya sendirian tahun lepas.

Alahai Syawal..

***Cerpen lama tapi dipos kembali sempena syawal yang bakal menjelma***

2 comments:

Kk Zen said...

alahai cik writter..
Memang cinta terhalang sungguh.Pttlah suka
makan pisang.Monyet rupanya.
Memang suspen laa hehe..Best..

sharifah muda said...

adesss.. ingt syawal tu manusia.. rupanya cik nyet2...huhuhu tipah tertipu.. tq

Cerita-cerita yang dinukilkan adalah antara kisah-kisah yang terjadi di sekeliling ini. Sekadar berkongsi suka-duka kepada semua. Yang baik sama-sama kita jadikan tauladan, dan yang buruk itu kita ambil dan jadikan sebagai sempadan.

Segala cerita dalam ni adalah karya asal, sebarang copy adalah tidak dibenarkan. Mana-mana kisah yang mungkin ada menyinggungkan perasaan semua tu di luar sedar saya, salam kemaafan saya hulurkan terlebih dahulu.


Salam dari saya,