Wednesday, June 20, 2012

Cerpen : Korban Kasih



Dia melangkah perlahan-lahan. Longlai sekali, tidak bermaya kelihatannya. Mana taknya sudah seharian perutnya terbiar kosong tidak diisi oleh apa-apa. Peluh yang menitis ke pipi diseka dengan belakang tangannya. Badan sudah berbau, berlengas namun dia langsung tak mahu peduli. Dia sedar setiap kali dia lalu melintasi orang lain, mereka pasti memandang dia dengan pandangan yang semacam. Ah mereka jijik barangkali melihat dirinya yang berpakaian lusuh, menyeret guni yang berisi bahan buangan itu.

Euuwww busuknya budak ni, uwek!!

Atau…

Eh jangan dekat dengan dia, nanti berjangkit kuman dari badan dia.” Kedengaran pula emak-emak menghalang anak-anak kecil mereka yang kononnya ingin mendekati dirinya.

Tak apalah,  sebenarnya telinganya sudah pun lali mendengar kata-kata sebegitu. Alah bisa tegal biasa, bak kata orang tua. Dia bukannya buat jahat pada orang pun untuk dia terus dicaci hina. Dia sendiri tak faham sebenarnya kenapa orang selalu memandang hina mereka yang tak berharta? Seolah menjadi seorang yang miskin tak berharta itu satu dosa dalam kehidupan bermasyarakat.

“Nur Masyitah, saya bercakap dengan awak bukannya cakap dengan kerusi meja ni!”

Dia tersentak bila dibentak sebegitu. Berkecai lamunannya tentang ingatan berkaitan hari-hari yang dilaluinya. Dia pucat berserta cemas. Kelas 5 Harmoni menjadi sepi. Masing-masing mula gerun melihat kemarahan yang mula bertanda di wajah guru berusia lewat 20-an itu.

“Kamu ni memang kurang ajar, dengan guru pun tak mahu nak hormat. Mana kerja rumah semalam yang saya suruh siapkan? Cepat letakkan kerja tu atas meja, saya mahu tengok.” Garang wajah Jessie Ng, guru kacukan cina dan india itu memandang ke wajahnya. Bengang agaknya bila melihat gadis itu membiarkan soalannya terbiar, sepi tanpa sebarang jawapan.

Kenapa orang dewasa selalu melabelkan orang muda yang tak menjawab soalan mereka sebagai seorang yang kurang ajar? Dia mengetap bibir. Kalau aku jawab nanti, lagi dia katakan aku kurang ajar, tak hormat dia. Jawab atau tak tetap sama sahaja dengan apa yang terjadi di penghujungnya nanti.

“Jawab soalan saya Nur Masyitah! Atau awak punya telinga tapi tak mendengar?”

“Maaf cikgu, saya…”

“Awak tak siapkan kerja saya ya? Saya dah agak dah, dasar budak bermasaalah” Potongnya laju sebelum sempat gadis itu menghabiskan katanya.

Siapa tak kenal dengan pelajar bernama Nur Masyitah itu. Selalu menjadi bahan bualan guru-guru di sekolah ini. Pelajar bermasalah, tak pernah cukup 5 hari kedatangannya dalam satu minggu. Apa nak jadi entah. Tak berdisiplin langsung. Jessie Ng mengomel dalam hati.

Dia menelan air liur kesat, pahit. Nur Masyitah hanya mampu menundukkan wajah mendengar kemarahan gurunya itu. Tak mampu mengangkat wajah untuk bertentang mata memandang wajah yang mencerun garang itu. Memang salah dia, semalam dia terlalu sibuk sehingga langsung terlupa akan kerja yang diberikan oleh gurunya itu.

“Kakak adik lapar..” adu Nur Mahira adiknya yang paling bongsu.

Kesian adikku ini. Keluhnya. Hari ini pendapatannya tidak seberapa, tak banyak bahan buangan yang dapat dikutip dan dijual. Sementalah pula hari ni hujan, banyak kotak-kotak yang basah tak boleh dijual. Hanya botol-botol dan tin-tin kosong sahaja yang dapat dijual.

“Maaf, kakak lambat hari ini. Kakak kena kerja kuat, kalau tak nanti kita tak dapat makan pula hari ini.” Dia mengusap penuh kasih rambut si adik yang berusia 7 tahun itu.

Semenjak ayah meninggal dunia hampir dua tahun lalu, dialah yang mengambil alih tugas ayah. Emak pula diserang strok, mungkin terkejut dengan berita kematian ayah yang mendadak. Ayah pergi dalam tidur, tanpa meninggalkan sebarang petanda awal. Kini emak hanya mampu baring terlantar di atas tilam usang yang sengaja diletakkan di tengah ruang tamu rumah itu.  Senang untuk dia memerhati keadaan emak bila emak inginkan sesuatu ketika dia sedang mengulang kaji ataupun ketika dia sedang sibuk membantu adik-adiknya menyiapkan kerja sekolahnya.

Nasib juga sebelum ayah pergi, ayah sempat membeli rumah yang mereka duduki sekarang ni. Kalau tak pasti hidup mereka lagi sukar, tidur berbumbungkan langit dan berlantaikan tanah sahaja. Sedikit beruntung juga dia punya jiran-jiran yang mengambil berat tentang nasib dia dan adik-adiknya. Kadang-kadang jiran sebelahnya Premadevi yang berkerja sebagai jururawat akan datang melawat melihat keadaan emak. Membantu mengurut-urut tubuh emak, mengendurkan urat-urat yang tegang itu.

Bubur nasi yang sudah sedia masak itu dituang penuh cermat ke dalam mangkuk putih yang berada di tangannya. Bubur nasi makanan ruji untuk emak. Disebabkan tubuh emak yang lemah tak berkudrat, emak tidak mampu menelan makanan pejal. Hari ini makan malam mereka hanya berlaukkan kangkung goreng dan ikan gelama masin. Itupun kangkung yang dikutip di tepi longkang yang tumbuh meliar. Syukurlah rezeki dari tuhan untuk dia dan adik-adik.

“Kena denda pun masih termenung lagi, apa nak jadilah dengan kamu ni Nur Masyitah?” Bulat matanya yang sepet itu memerhati perlakuan Nur Masyita yang sedang didenda berdiri di luar pintu kelas tingkatan 5 Harmoni itu.

“Maaf cikgu, saya…”

“Dah, lepas habis waktu sekolah nanti, kamu ditahan untuk sesi kaunseling dengan Cikgu Rasidah. Saya mahu kamu jumpa dia dan jangan nak beri alasan itu dan ini.

“Tapi cikgu, saya…”

“Kan saya dah kata saya tak mahu kamu beri alasan apa-apa. Kamu faham ke tidak?”

“Fa…ham cikgu” lemah dia mengiakan. Kesian emak di rumah nanti pasti kelaparan. Adik-adikku juga begitu, mesti mereka ke sekolah sesi petang dengan perut kosong. Gundah hatinya.

******

“Kamu murid harapan sekolah ni, dulu kamu tak macam ni tapi kenapa akhir-akhir ni prestasi kamu merudum? Kamu ada masalah ke Nur Masyitah?” Lembut Cikgu Rasidah bertanya kepadanya. Cuba menyelami apa yang terpendam di dasar hati gadis 17 tahun yang duduk berhadapan dengannya.

“Tak ada apa-apalah cikgu, saya cuma hilang fokus dalam kelas sahaja.” Seboleh-bolehnya dia cuba untuk tidak membebankan sesiapa pun. Selagi dia ada dan bernyawa biarlah dia yang menjaga kebajikan keluarganya, bukan orang lain. Itu prinsipnya.

“Betul ni kamu tak ada masalah? Tak akan sebab kamu hilang fokus sahaja. Hilang fokus mesti ada sebab lainkan? Ada sesuatu yang membebankan kamu? Ceritalah jangan malu-malu dengan cikgu, tugas cikgu di sini pun memang untuk membantu pelajar meringankan beban pelajar dan masalah pelajar”

Dia menggeleng. Dia tak mahu bila kisahnya diceritakan, orang akan memberi simpati pada dia.

“Cikgu…”
“Ya..” laju membalas. Mungkin menjangka yang Nur Masyitah sudah bersedia menceritakan masalahnya tapi meleset jangkaannya.

“Kalau tak ada apa-apa lagi boleh saya pulang cikgu? Saya ada hal sedikit petang ni”

“Baiklah awak boleh balik..” Hampa. Apalah daya untuk dia memaksa kalau muridnya itu tak mahu untuk berkongsi.

Dia bergegas. Perlu cepat walaupun dia sememangnya pasti dia sudah melewati waktu yang sepatutnya. Kayuhan basikalnya dilajukan. Sesampai sahaja di rumahnya, suasana agak sunyi. Dia hampa. Buru-buru dia menongkatkan basikalnya. Ah pasti mereka sudah pergi ke sekolah. Adiknya yang 7 tahun bersekolah agama dan seorang lagi Ahmad Muzammil bersekolah di tingkatan dua.

Dia menolak pintu rumah, melangkah masuk perlahan-lahan bila terpandang mata emak yang terpejam. Lena barangkali dan dia tak mahu mengejutkan emak. Pasti emak juga sudah lapar. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi seolah-olah orang sedang membuka paip air di sinki dapur. Siapa? Hatinya diduga risau. Tak akan pula pencuri disiang-siang hari. Bisik hatinya. Terhendap-hendap dia menuju ke dapur. Cuba melihat siapa yang berada di dapur rumahnya kala itu.

“Dah balik Ita?”

Hampir terjerit dia. Terkejut.

“Kak.. kak Prema. Eh macam mana boleh tahu Ita dah balik? Apa akak buat dekat sini? Akak tak kerja ke hari ni?”

“Kakak kerja syif malam hari ni. Kakak dengar bunyi kamu terhendap-hendap tadi. Lambat kamu balik? Kenapa? Kamu ingat akak pencuri ya? Hehehe” sempat mengusik.

“Adik-adik kamu dah pergi sekolah. Kamu dah makan ke? Ni akak ada masak sedikit, jomlah kita makan sama.. Emak kamu, kakak dah suapkan makan tadi” sambung Premadevi lagi.

“Susah-susahkan akak saja. Maaflah saya ada hal di sekolah tadi tu yang lambat baliknya”

“Eh tak adalah susah mana, kebetulan kakak datang sini saja nak jenguk emak kamu. Lagipun kakak tak ada kerja nak buat dan tak seronok rasanya makan seorang diri, jadi kakak masak di sini, boleh makan sekali dengan kamu. Kitakan hidup berjiran. Adat berjiran memang macam ni tau”

Sungguh dia terharu. Mendengar kata-kata wanita di hadapannya itu. Sungguh dia berasa teramat beruntung punya jiran-jiran yang mengambil berat. Agaknya masih adakah suasana begini di kejiranan lain?

******

“Nur Masyita… ada orang nak jumpa kamu”

Orang nak jumpa aku? Siapa? Kenapa? Dia yang sedang tekun dalam kelas sejarah terkejut bila tiba-tiba dipanggil oleh seorang guru. Beribu persoalan berlegar dalam ruang kepalanya.

“Kak Prema, kenapa?” Hatinya digalau walang bila melihat wajah keruh Premadevi yang sedang menantinya di bilik tetamu itu.

“Jom balik.. Muzammil cedera, tangannya kena kaca tingkap yang pecah tiba-tiba sewaktu dia tengah menolong Makcik Rabiah mengemas rumahnya. Makcik Rabiah jiran rumah sebelah kanannya.

“Hah? Teruk ke?” Mesti teruk, kalau tak teruk masakan dia dijemput pulang.

“Teruk juga, dalam lukanya.. kakak ada cuba berhentikan pendarahannya tapi tak mampu, mungkin terkena urat utama.”

Oh tuhan. Berat sungguh ujianMu kali ini. Bantulah aku dalam menangani situasi ini. Doanya dalam hati. Tak satu, satu yang menimpanya. Namun dia redha.

“Tak apalah Nur Masyitah, awak boleh balik. Saya dah dengar apa yang menimpa keluarga awak dari Cik Premadevi. Nanti pihak sekolah akan menyusul melawat adik kamu, dia pun pelajar sekolah sini juga kan?”

******

Kertas akhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia itu dijawab dengan tenang. Pernah dulu dia terbaca sebuah tajuk dalam sebuah novel karya seorang penulis yang dia sudah lupa namanya Badai Pasti Berlalu, dan kini seolah berlaku dalam hidupnya. Ya badai gundah dan sukar itu sudah pun berlalu.

Semuanya bermula dengan kemalangan yang menimpa adiknya Ahmad Muzammil membongkarkan segala kesukaran hidupnya. Betullah kata orang, setiap ujian itu ada hikmahnya. Dia ingat lagi bagaimana Cikgu Jessie Ng memeluk tubuhnya erat dan menyatakan kekesalannya terhadap sangkaan buruk kepada dirinya dulu.

“Maafkan cikgu Nur Masyitah. Kalau cikgu tahu hidup kamu sukar begini cikgu tak akan kata kamu bukan-bukan, marah-marah kamu bila kamu gagal buat apa yang cikgu suruh. Cikgu sepatutnya membimbing kamu bukannya menambahkan bebanan perasaan kamu dengan melemparkan kata-kata sinis kepada kamu. Maafkan cikgu” berulang kali kata maaf itu meluncur dari bibir gurunya itu.

“Tak apalah cikgu, saya dah maafkan. Cikgu tak salah, saya yang bersalah sebab buat cikgu sangka saya yang bukan-bukan. Maafkan saya cikgu.”

“Kamu budak baik Nur Masyitah, juga anak yang baik dan bertanggungjawab. Kalau cikgu berada di tempat kamu belum tentu cikgu dapat lakukan seperti apa yang kamu lakukan ini”

“Saya tak akan mampu tanpa sokongan mereka semua cikgu, mereka itulah tiang semangat saya, yang menyokong diri saya ni.” Sambil memandang satu persatu wajah insan-insan yang berada disekelilingnya. Wajah Adiknya Nur Mahira, wajah Ahmad Muzammil yang baru tersedar dari pengsannya. Wajah Makcik Rabiah dan suaminya Pakcik Ehsan, wajah Kak Premadevi yang suka melayan kehendak adik-adiknya dan wajah jiran-jiran yang lain yang sering menghulurkan keperluan asas kepada dirinya. Betul dia tak akan kuat kalau mereka tiada.

Sekarang dia tak perlu mengutip barang-barang lusuh lagi, sekarang dia tak perlu berkerja sehingga lewat malam semata-mata untuk memastikan mereka sekeluarga tidak kelaparan. Sekarang mereka kini menerima bantuan daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk yuran sekolah adik-adiknya dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu keluarganya. Semuanya atas usaha pihak sekolah dan jiran-jirannya.

Emak? Ya keadaan emak kini sudah tidak seperti dulu. Semenjak menjalani rawatan fisioterapi, tubuh emak sudah mula menunjukkan perkembangan positif. Emak sudah boleh menggerakkan sedikit tubuhnya dan bertutur walaupun butir bicaranya agak kurang jelas. Doktor yang merawat emak pernah berkata kepadanya.

“Kalau keadaan ini berterusan, tak mustahil untuk mak awak untuk pulih sepenuhnya. Dia punya semangat yang kuat dan saya kagum”

Teringat akan kata-kata hikmah tulisan seorang cendikiawan dari seberang, setiap ujian itu ada hikmah di sebalik kejadiannya- Hamka. Benar dan dia tidak menafikan dan dia sudah merasainya kini.

“Ok, masa dah tamat, berhenti menulis semua, letakkan kertas jawapan anda di sebelah kiri meja” suara pegawai yang menjaga peperiksaan itu mengembalikan dirinya ke alam nyata.

Dia menarik nafas panjang. Lega dan tenang. Ah perjuangan masih belum berakhir. Ini baru permulaannya. Dia sedar dia contoh dan tauladan adik-adiknya. Angin telah meniupkan awan mendung pergi dari hidupnya. Dia tersenyum dalam langkahnya meninggalkan dewan peperiksaan itu. Mulutnya perlahan mendendangkan lagu Berkorban Apa Saja.

Berkorban apa sahaja,
Harta atau pun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia…

***Tamat-
Nuril bahanudin ~ bayu 2011 ~ Cerpen ini sebenarnya cerpen lama untuk projek bacaan pelajar sekolah usia 15 tahun ke bawah, jadi gaya bahasa dia agak skema sikit... selamat membaca***

2 comments:

My Beadz World said...

Sedih n terharu wlp pendik tapi amat menyentuh hati

Nuril Bahanudin said...

Salam My beadz world :)
Terima kasih sudi baca cerpen saya ni. Pendek sebab untuk bacaan budak sekolah

Cerita-cerita yang dinukilkan adalah antara kisah-kisah yang terjadi di sekeliling ini. Sekadar berkongsi suka-duka kepada semua. Yang baik sama-sama kita jadikan tauladan, dan yang buruk itu kita ambil dan jadikan sebagai sempadan.

Segala cerita dalam ni adalah karya asal, sebarang copy adalah tidak dibenarkan. Mana-mana kisah yang mungkin ada menyinggungkan perasaan semua tu di luar sedar saya, salam kemaafan saya hulurkan terlebih dahulu.


Salam dari saya,