Wednesday, June 20, 2012

Cerpen : Korban Kasih



Dia melangkah perlahan-lahan. Longlai sekali, tidak bermaya kelihatannya. Mana taknya sudah seharian perutnya terbiar kosong tidak diisi oleh apa-apa. Peluh yang menitis ke pipi diseka dengan belakang tangannya. Badan sudah berbau, berlengas namun dia langsung tak mahu peduli. Dia sedar setiap kali dia lalu melintasi orang lain, mereka pasti memandang dia dengan pandangan yang semacam. Ah mereka jijik barangkali melihat dirinya yang berpakaian lusuh, menyeret guni yang berisi bahan buangan itu.

Euuwww busuknya budak ni, uwek!!

Atau…

Eh jangan dekat dengan dia, nanti berjangkit kuman dari badan dia.” Kedengaran pula emak-emak menghalang anak-anak kecil mereka yang kononnya ingin mendekati dirinya.

Tak apalah,  sebenarnya telinganya sudah pun lali mendengar kata-kata sebegitu. Alah bisa tegal biasa, bak kata orang tua. Dia bukannya buat jahat pada orang pun untuk dia terus dicaci hina. Dia sendiri tak faham sebenarnya kenapa orang selalu memandang hina mereka yang tak berharta? Seolah menjadi seorang yang miskin tak berharta itu satu dosa dalam kehidupan bermasyarakat.

“Nur Masyitah, saya bercakap dengan awak bukannya cakap dengan kerusi meja ni!”

Dia tersentak bila dibentak sebegitu. Berkecai lamunannya tentang ingatan berkaitan hari-hari yang dilaluinya. Dia pucat berserta cemas. Kelas 5 Harmoni menjadi sepi. Masing-masing mula gerun melihat kemarahan yang mula bertanda di wajah guru berusia lewat 20-an itu.

“Kamu ni memang kurang ajar, dengan guru pun tak mahu nak hormat. Mana kerja rumah semalam yang saya suruh siapkan? Cepat letakkan kerja tu atas meja, saya mahu tengok.” Garang wajah Jessie Ng, guru kacukan cina dan india itu memandang ke wajahnya. Bengang agaknya bila melihat gadis itu membiarkan soalannya terbiar, sepi tanpa sebarang jawapan.

Kenapa orang dewasa selalu melabelkan orang muda yang tak menjawab soalan mereka sebagai seorang yang kurang ajar? Dia mengetap bibir. Kalau aku jawab nanti, lagi dia katakan aku kurang ajar, tak hormat dia. Jawab atau tak tetap sama sahaja dengan apa yang terjadi di penghujungnya nanti.

“Jawab soalan saya Nur Masyitah! Atau awak punya telinga tapi tak mendengar?”

“Maaf cikgu, saya…”

“Awak tak siapkan kerja saya ya? Saya dah agak dah, dasar budak bermasaalah” Potongnya laju sebelum sempat gadis itu menghabiskan katanya.

Siapa tak kenal dengan pelajar bernama Nur Masyitah itu. Selalu menjadi bahan bualan guru-guru di sekolah ini. Pelajar bermasalah, tak pernah cukup 5 hari kedatangannya dalam satu minggu. Apa nak jadi entah. Tak berdisiplin langsung. Jessie Ng mengomel dalam hati.

Dia menelan air liur kesat, pahit. Nur Masyitah hanya mampu menundukkan wajah mendengar kemarahan gurunya itu. Tak mampu mengangkat wajah untuk bertentang mata memandang wajah yang mencerun garang itu. Memang salah dia, semalam dia terlalu sibuk sehingga langsung terlupa akan kerja yang diberikan oleh gurunya itu.

“Kakak adik lapar..” adu Nur Mahira adiknya yang paling bongsu.

Kesian adikku ini. Keluhnya. Hari ini pendapatannya tidak seberapa, tak banyak bahan buangan yang dapat dikutip dan dijual. Sementalah pula hari ni hujan, banyak kotak-kotak yang basah tak boleh dijual. Hanya botol-botol dan tin-tin kosong sahaja yang dapat dijual.

“Maaf, kakak lambat hari ini. Kakak kena kerja kuat, kalau tak nanti kita tak dapat makan pula hari ini.” Dia mengusap penuh kasih rambut si adik yang berusia 7 tahun itu.

Semenjak ayah meninggal dunia hampir dua tahun lalu, dialah yang mengambil alih tugas ayah. Emak pula diserang strok, mungkin terkejut dengan berita kematian ayah yang mendadak. Ayah pergi dalam tidur, tanpa meninggalkan sebarang petanda awal. Kini emak hanya mampu baring terlantar di atas tilam usang yang sengaja diletakkan di tengah ruang tamu rumah itu.  Senang untuk dia memerhati keadaan emak bila emak inginkan sesuatu ketika dia sedang mengulang kaji ataupun ketika dia sedang sibuk membantu adik-adiknya menyiapkan kerja sekolahnya.

Nasib juga sebelum ayah pergi, ayah sempat membeli rumah yang mereka duduki sekarang ni. Kalau tak pasti hidup mereka lagi sukar, tidur berbumbungkan langit dan berlantaikan tanah sahaja. Sedikit beruntung juga dia punya jiran-jiran yang mengambil berat tentang nasib dia dan adik-adiknya. Kadang-kadang jiran sebelahnya Premadevi yang berkerja sebagai jururawat akan datang melawat melihat keadaan emak. Membantu mengurut-urut tubuh emak, mengendurkan urat-urat yang tegang itu.

Bubur nasi yang sudah sedia masak itu dituang penuh cermat ke dalam mangkuk putih yang berada di tangannya. Bubur nasi makanan ruji untuk emak. Disebabkan tubuh emak yang lemah tak berkudrat, emak tidak mampu menelan makanan pejal. Hari ini makan malam mereka hanya berlaukkan kangkung goreng dan ikan gelama masin. Itupun kangkung yang dikutip di tepi longkang yang tumbuh meliar. Syukurlah rezeki dari tuhan untuk dia dan adik-adik.

“Kena denda pun masih termenung lagi, apa nak jadilah dengan kamu ni Nur Masyitah?” Bulat matanya yang sepet itu memerhati perlakuan Nur Masyita yang sedang didenda berdiri di luar pintu kelas tingkatan 5 Harmoni itu.

“Maaf cikgu, saya…”

“Dah, lepas habis waktu sekolah nanti, kamu ditahan untuk sesi kaunseling dengan Cikgu Rasidah. Saya mahu kamu jumpa dia dan jangan nak beri alasan itu dan ini.

“Tapi cikgu, saya…”

“Kan saya dah kata saya tak mahu kamu beri alasan apa-apa. Kamu faham ke tidak?”

“Fa…ham cikgu” lemah dia mengiakan. Kesian emak di rumah nanti pasti kelaparan. Adik-adikku juga begitu, mesti mereka ke sekolah sesi petang dengan perut kosong. Gundah hatinya.

******

“Kamu murid harapan sekolah ni, dulu kamu tak macam ni tapi kenapa akhir-akhir ni prestasi kamu merudum? Kamu ada masalah ke Nur Masyitah?” Lembut Cikgu Rasidah bertanya kepadanya. Cuba menyelami apa yang terpendam di dasar hati gadis 17 tahun yang duduk berhadapan dengannya.

“Tak ada apa-apalah cikgu, saya cuma hilang fokus dalam kelas sahaja.” Seboleh-bolehnya dia cuba untuk tidak membebankan sesiapa pun. Selagi dia ada dan bernyawa biarlah dia yang menjaga kebajikan keluarganya, bukan orang lain. Itu prinsipnya.

“Betul ni kamu tak ada masalah? Tak akan sebab kamu hilang fokus sahaja. Hilang fokus mesti ada sebab lainkan? Ada sesuatu yang membebankan kamu? Ceritalah jangan malu-malu dengan cikgu, tugas cikgu di sini pun memang untuk membantu pelajar meringankan beban pelajar dan masalah pelajar”

Dia menggeleng. Dia tak mahu bila kisahnya diceritakan, orang akan memberi simpati pada dia.

“Cikgu…”
“Ya..” laju membalas. Mungkin menjangka yang Nur Masyitah sudah bersedia menceritakan masalahnya tapi meleset jangkaannya.

“Kalau tak ada apa-apa lagi boleh saya pulang cikgu? Saya ada hal sedikit petang ni”

“Baiklah awak boleh balik..” Hampa. Apalah daya untuk dia memaksa kalau muridnya itu tak mahu untuk berkongsi.

Dia bergegas. Perlu cepat walaupun dia sememangnya pasti dia sudah melewati waktu yang sepatutnya. Kayuhan basikalnya dilajukan. Sesampai sahaja di rumahnya, suasana agak sunyi. Dia hampa. Buru-buru dia menongkatkan basikalnya. Ah pasti mereka sudah pergi ke sekolah. Adiknya yang 7 tahun bersekolah agama dan seorang lagi Ahmad Muzammil bersekolah di tingkatan dua.

Dia menolak pintu rumah, melangkah masuk perlahan-lahan bila terpandang mata emak yang terpejam. Lena barangkali dan dia tak mahu mengejutkan emak. Pasti emak juga sudah lapar. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi seolah-olah orang sedang membuka paip air di sinki dapur. Siapa? Hatinya diduga risau. Tak akan pula pencuri disiang-siang hari. Bisik hatinya. Terhendap-hendap dia menuju ke dapur. Cuba melihat siapa yang berada di dapur rumahnya kala itu.

“Dah balik Ita?”

Hampir terjerit dia. Terkejut.

“Kak.. kak Prema. Eh macam mana boleh tahu Ita dah balik? Apa akak buat dekat sini? Akak tak kerja ke hari ni?”

“Kakak kerja syif malam hari ni. Kakak dengar bunyi kamu terhendap-hendap tadi. Lambat kamu balik? Kenapa? Kamu ingat akak pencuri ya? Hehehe” sempat mengusik.

“Adik-adik kamu dah pergi sekolah. Kamu dah makan ke? Ni akak ada masak sedikit, jomlah kita makan sama.. Emak kamu, kakak dah suapkan makan tadi” sambung Premadevi lagi.

“Susah-susahkan akak saja. Maaflah saya ada hal di sekolah tadi tu yang lambat baliknya”

“Eh tak adalah susah mana, kebetulan kakak datang sini saja nak jenguk emak kamu. Lagipun kakak tak ada kerja nak buat dan tak seronok rasanya makan seorang diri, jadi kakak masak di sini, boleh makan sekali dengan kamu. Kitakan hidup berjiran. Adat berjiran memang macam ni tau”

Sungguh dia terharu. Mendengar kata-kata wanita di hadapannya itu. Sungguh dia berasa teramat beruntung punya jiran-jiran yang mengambil berat. Agaknya masih adakah suasana begini di kejiranan lain?

******

“Nur Masyita… ada orang nak jumpa kamu”

Orang nak jumpa aku? Siapa? Kenapa? Dia yang sedang tekun dalam kelas sejarah terkejut bila tiba-tiba dipanggil oleh seorang guru. Beribu persoalan berlegar dalam ruang kepalanya.

“Kak Prema, kenapa?” Hatinya digalau walang bila melihat wajah keruh Premadevi yang sedang menantinya di bilik tetamu itu.

“Jom balik.. Muzammil cedera, tangannya kena kaca tingkap yang pecah tiba-tiba sewaktu dia tengah menolong Makcik Rabiah mengemas rumahnya. Makcik Rabiah jiran rumah sebelah kanannya.

“Hah? Teruk ke?” Mesti teruk, kalau tak teruk masakan dia dijemput pulang.

“Teruk juga, dalam lukanya.. kakak ada cuba berhentikan pendarahannya tapi tak mampu, mungkin terkena urat utama.”

Oh tuhan. Berat sungguh ujianMu kali ini. Bantulah aku dalam menangani situasi ini. Doanya dalam hati. Tak satu, satu yang menimpanya. Namun dia redha.

“Tak apalah Nur Masyitah, awak boleh balik. Saya dah dengar apa yang menimpa keluarga awak dari Cik Premadevi. Nanti pihak sekolah akan menyusul melawat adik kamu, dia pun pelajar sekolah sini juga kan?”

******

Kertas akhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia itu dijawab dengan tenang. Pernah dulu dia terbaca sebuah tajuk dalam sebuah novel karya seorang penulis yang dia sudah lupa namanya Badai Pasti Berlalu, dan kini seolah berlaku dalam hidupnya. Ya badai gundah dan sukar itu sudah pun berlalu.

Semuanya bermula dengan kemalangan yang menimpa adiknya Ahmad Muzammil membongkarkan segala kesukaran hidupnya. Betullah kata orang, setiap ujian itu ada hikmahnya. Dia ingat lagi bagaimana Cikgu Jessie Ng memeluk tubuhnya erat dan menyatakan kekesalannya terhadap sangkaan buruk kepada dirinya dulu.

“Maafkan cikgu Nur Masyitah. Kalau cikgu tahu hidup kamu sukar begini cikgu tak akan kata kamu bukan-bukan, marah-marah kamu bila kamu gagal buat apa yang cikgu suruh. Cikgu sepatutnya membimbing kamu bukannya menambahkan bebanan perasaan kamu dengan melemparkan kata-kata sinis kepada kamu. Maafkan cikgu” berulang kali kata maaf itu meluncur dari bibir gurunya itu.

“Tak apalah cikgu, saya dah maafkan. Cikgu tak salah, saya yang bersalah sebab buat cikgu sangka saya yang bukan-bukan. Maafkan saya cikgu.”

“Kamu budak baik Nur Masyitah, juga anak yang baik dan bertanggungjawab. Kalau cikgu berada di tempat kamu belum tentu cikgu dapat lakukan seperti apa yang kamu lakukan ini”

“Saya tak akan mampu tanpa sokongan mereka semua cikgu, mereka itulah tiang semangat saya, yang menyokong diri saya ni.” Sambil memandang satu persatu wajah insan-insan yang berada disekelilingnya. Wajah Adiknya Nur Mahira, wajah Ahmad Muzammil yang baru tersedar dari pengsannya. Wajah Makcik Rabiah dan suaminya Pakcik Ehsan, wajah Kak Premadevi yang suka melayan kehendak adik-adiknya dan wajah jiran-jiran yang lain yang sering menghulurkan keperluan asas kepada dirinya. Betul dia tak akan kuat kalau mereka tiada.

Sekarang dia tak perlu mengutip barang-barang lusuh lagi, sekarang dia tak perlu berkerja sehingga lewat malam semata-mata untuk memastikan mereka sekeluarga tidak kelaparan. Sekarang mereka kini menerima bantuan daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk yuran sekolah adik-adiknya dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu keluarganya. Semuanya atas usaha pihak sekolah dan jiran-jirannya.

Emak? Ya keadaan emak kini sudah tidak seperti dulu. Semenjak menjalani rawatan fisioterapi, tubuh emak sudah mula menunjukkan perkembangan positif. Emak sudah boleh menggerakkan sedikit tubuhnya dan bertutur walaupun butir bicaranya agak kurang jelas. Doktor yang merawat emak pernah berkata kepadanya.

“Kalau keadaan ini berterusan, tak mustahil untuk mak awak untuk pulih sepenuhnya. Dia punya semangat yang kuat dan saya kagum”

Teringat akan kata-kata hikmah tulisan seorang cendikiawan dari seberang, setiap ujian itu ada hikmah di sebalik kejadiannya- Hamka. Benar dan dia tidak menafikan dan dia sudah merasainya kini.

“Ok, masa dah tamat, berhenti menulis semua, letakkan kertas jawapan anda di sebelah kiri meja” suara pegawai yang menjaga peperiksaan itu mengembalikan dirinya ke alam nyata.

Dia menarik nafas panjang. Lega dan tenang. Ah perjuangan masih belum berakhir. Ini baru permulaannya. Dia sedar dia contoh dan tauladan adik-adiknya. Angin telah meniupkan awan mendung pergi dari hidupnya. Dia tersenyum dalam langkahnya meninggalkan dewan peperiksaan itu. Mulutnya perlahan mendendangkan lagu Berkorban Apa Saja.

Berkorban apa sahaja,
Harta atau pun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia…

***Tamat-
Nuril bahanudin ~ bayu 2011 ~ Cerpen ini sebenarnya cerpen lama untuk projek bacaan pelajar sekolah usia 15 tahun ke bawah, jadi gaya bahasa dia agak skema sikit... selamat membaca***

Thursday, June 14, 2012

Cerpen : Cinta


"Anak dara tak elok duduk di tangga, nanti sampai ke tua tak berlaki tau." Dia terkejut bila bahunya ditampar lembut. Huh kacau saja, ana baru nak layan blues, tapi bukan majalah Blues tu tau..

"Eiii ukhti ni, cuba kalau sehari tak kacau ana tak boleh ke?" Dia menggetap bibir, marahlah kononnya.

Temannya itu hanya tersenyum, menayangkan barisan giginya yang teratur itu, putih bersih, maklumlah hari-hari guna ubat gigi kayu sugi.

"Udah-udahlah tu Nia, semenjak balik dari Mesir, bahasa kau ni dah jadi macam minah arab tau, ukhtilah, analah, antalah, entelah.. Tak faham aku. Kau tau sajalah aku ni belajar sekolah omputih, bukannya sekolah arab." Sempat dia membebel. Alah bebel-bebel sayang.. Raralyssa bangun, menarik tangan sahabatnya.

"Jom." Hanya sepatah kata tanpa memberitahu ke mana arah tujunya.

"Kita nak ke mana ukhti?" Soal Nia. Mulutnya riuh bertanya, mengalahkan orang mahu kena culik. Cuak wajahnya mula kelihatan.

"Jomlah, aku nak pergi jalan-jalan. Tengok pakwe-pakwe main sepak takraw kat balairaya hujung kampung tu." Riak nakal mula tertera diwajahnya.

"Ui tak maulah ukhti, seganlah.." Dia cuba meleraikan pegangan tangan Raralyssa itu, namun temannya itu lagi menguatkan pegangan tangannya.

"Alah kau, sikit-sikit segan. Eh dekat arab sana, kau tak dapat tau tengok pakwe-pakwe melayu yang maskulin tau? Semuanya pak arab yang badan besar macam king kong."

"Besar macam king kong, isk tak baiklah cakap macam tu." Gayanya macam pernah nampak king kong saja dia ni.

"Ah apa-apa jelah. Kau tunggu sini kejap, aku nak pergi pinjam basikal Nek Limah tu. Petang-petang naik basikal keliling kampung syok juga kan?"

Huh tu dia, ada saja agendanya kalau dah di kampung ni, Nia hanya memerhati langkah temannya.

"Nia naiklah..."

"Err.."

"La apa err-err kau tak yakin yang aku masih boleh bawak basikal ni ke?"

"Bukanlah.."

"Habis tu?"

"Errr takkan ukhti nak bawak basikal dengan skirt pendek tu. Err kau nak buat free show ke apa?" Terus hilang slang arabnya, huh kalau dah lidah melayu tu, melayu juga.

"Alah loratlah kau ni. Bukannya pendek mana pun. Dah-dah yang kau pakai jubah panas-panas terik ni kenapa? Tutup habis semua sampai nampak mata saja. Dah macam ninja dah aku tengok ni"

"Mana ada panas, tanah arab tu lagi panaslah.."

"Suka hati kaulah Nia, kalau terpengsan atas basikal nanti, aku biarkan saja."

Huhu bandingkan panas dunia, apalah sangat. Esok dekat akhirat, lagilah panasnya api neraka tu kalau tak tutup aurat tau. Sempat hati kecilnya berbisik, kurang senang dengan teguran temannya itu.

*******

"Uiii minah salleh dan mek arab mana sesat kat kampung ni?" Hampir hilang fokusnya bila melihat seorang gadis yang berpakaian habis singkat dan yang seorang lagi sehabis labuh melintasi depan matanya. Terlebih kontralah pulak, isk.

"Mana-mana?" Teman-teman yang lain laju bertanya.

"Tuuul..." Panjang muncungnya menunjuk ke arah dua gadis yang sedang menaiki basikal, menghampiri dan melintasi mereka.

"Nan, bola kau." Sergah Maliq kepadanya yang hampir terleka melihat pemandangan itu.

Laju kakinya menyepak bola rotan itu, terkejut akibat disergah. Nasib baik tak hilang fokus.

Puk!!!

"Oh mak kau, bom jatuh atas kepala aku, ayarkkk!" Tu dia, dua orang gadis yang betul-betul sedang melintasi terkena bola rotan yang disepaknya.

"Huii minah salleh pandai cakap bahasa melayulah. Siap melatah lagi." Ternganga dia seketika, dan dua gadis itu pula sudah tertonggeng melanggar tiang elektrik. Hilang kawalan.

"Aduh.. Rara.. oit kau dah terpengsan ke? Tulah kau yang pergi gatal lalu sini kenapa, kan dah kena bola. Lepas tu pengsan pula. Isk susah betullah dia ni" Bebelnya perlahan. Terkial-kial dia bangun cuba mengalihkan basikal yang menghempap si Raralyssa itu.

"Errr awak tak apa-apa ke cik?"

Diam tiada apa-apa jawapan pada soalannya.

"Eh lupa pulak dia ni minah arab, manalah tau cakap melayu." Adnan Mauriz menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Menelan air liur yang terasa kelat tatkala sepasang mata bundar itu tajam merenungnya, Mesti lawa dia ni. Tengok matanya saja pun dah terpaut, walaupun pandangannya tajam menusuk.

"Woit Nan yang kau tercegat tu kenapa? tolonglah angkat kawannya tu. Ini semua kau punya hallah.. isk." Marah Maliq bila melihat temannya yang seolah-olah terpegun.

******

"Aduh;" sakitnya badan aku.

"Hah baguslah dah sedar budak ni. Itulah Nek Limah dah kata basikal tu takda brek. Kamu tak percaya. Ha tengok la ni dah tertonggeng. Kepala benjol. Nasib baik tak koma terus tadi. Tulah dia budak-budak la ni, cakap orang tua tak mau dengar, kan dah dapat bala.. pok pek pok pek.." Nek Limah membebel dengan tangannya laju menuam kepala Raralyssa. Tak mahu benjolnya bertambah besar.

"Alah Nek Limah, mintak sorrylah"

"Mintak sorry konon, yang sakit tu kamu, bukan aku."

"Err Nia mana nek?" Cepat-cepat menukar topik. Tak mahu bebelan wanita itu bertambah memanjang.

"Tu kat dapur. Nasib baiklah budak Adnan dan kawannya ada tolong hantar kamu."

"Nia tak apa-apa ke nek?" Risau pula kalau temannya tercedera, yalah dia yang beria mengajak si Nia tu.

"Luka sikit tangannya. Melecet kut terkena tar jalan. Nenek dah suruh dia letak ubat."

"Nia..." Bingkas dia bangun. Hilang segala rasa sakit ditubuhnya. Dia lebih risaukan Nia berbanding dirinya.

"Ya ukhti, apanya? Eh kau dah ok ke? Siapa suruh bangun ni?"

"Aku sihat dah, mana tangan kau? Mintak sini." Laju tangannya memegang tangan temannya mencari yang mana satu yang terluka.

"Ana tak apa-apalah. Luka tu ana dah letak ubat..."

"Oowh ada pun suara dia. Ingatkan bisu tadi." Tiba-tiba satu suara garau menyapanya.

Isk siapa pula watak yang tak diundang ni? Muncul menyampuk tiba-tiba... Sumbat mulut dia dengan iodin karang baru tau. Bebel Nia dalam hati.

"Sorry Nia, salah aku."

"Takpalah sikit je."

"Aku gian nak naik basikal, tapi tak sangka pula boleh tertonggeng. Tu semua gara-gara benda bulat tulah. Sesedap je hinggap dekat dahi aku ni.."

"Bolalah..." Tegur Nia. Benda bulat, benda bulat....

Eh-eh aku ni macam halimunan pula depan mereka berdua ni. Macam tak wujud pula. Adnan mengomel perlahan..

"Nia siapa dia ni? Maid baru Nek Limah ke?" Handsome juga mamat ni. Badan pun sasa. Sempat matanya melirik nakal pada pemuda itu.

Maid? Amboi minah ni... Nuka aku kacak lagi bergaya mengalahkan Brad Pitt ni dipanggil maid. Minah salleh ni memanglah sengaja nak cari pasal. Menyesal aku tolong dia. Kalau aku tau begini jadi, aku biar je dia pengsan terus kat situ.

"Errr.. Rara, dia.."

"Hai saya Adnan Mauriz, boleh panggil Nan, nak panggil Mauriz pun boleh, tuan Mauriz pun ok gak"

Wah, gila lelaki ni, berangan nak jadi tuan konon. Nia mencebik bibir disebalik purdahnya. Huh ni lagi sorang tersengih sampai ke telinga. Entah apa yang disukanya dengan lelaki itu aku pun tak tau. Dasar miang betul si budak Rara ni.

"Saya Rara, Raralyssa, from KL, tu yang minah arab tu namanya Nia, Nia Medina. Dia arlegik dengan lelaki sikit, jadi bisu bila dengan lelaki. Aduh!! Apa ni siku-siku pinggang aku? Patah karang, tak dapat aku nak jadi model lagi dah." Matanya mencerun geram pada Nia yang hanya buat selamba. Muka tak berdosa.

La tak habis-habis nak mengelamun dia ni..

"Rara... oit cik Rara!"

"Ya.." Masih juga tenggelam dengan dunianya.

"Show dah nak mula ni." Jenny memandang hairan.

Isk dia ni semenjak pulang bercuti dua minggu lalu, asyik termenung saja taunya. Nak kata macam ada masalah, macam pula tak ada sebab walaupun termenung, mukanya tetap tersenyum memanjang. Hai tak faham aku.

Hurm kenapalah si Nan tu tak contact aku? Nak kata aku tak bagi nombor telefon, aku bagi. Ke dia tak berminat dengan aku? Tapi aku minatlah dia huhu... Nia tolong aku, aku dah jatuh cinta dengan lelaki Melayu, walaupun hakikat aku pandang rendah dengan lelaki-lelaki melayu.

******

Dia ni kenapa? Aku dah tak layan tu dahlah. Si Rara tu yang betul-betul berminat dengan dia tak nak pula dilayannya. Rimaslah aku. Kurang senang bila setiap pagi ada saja jambangan bunga terdampar di atas meja kerjanya.

Dah dapat ke bungan saya? ~AM

Mesej itu dibaca sekali lalu. Bayangan perbualan dia dan Raralyssa menjelma di ruang matanya.

"Nia aku rasa aku dah tangkap cinta dengan lelaki tu."

"Eh bukan kau kata kau tak suka lelaki melayu ke? Bukan kau kata lelaki melayu malas ke? Tak gentleman suka pukul perempuan. Ni apa cerita ni?"

"Yalah tu dulu, sebelum aku kenal lelaki Melayu yang satu ni. Alahai rasa macam dalam novellah pulak kisah aku ni. Excident then diselamatkan lepas tu jatuh cinta dengan orang yang selamatkan aku. Nia tolonglah aku. Aku dah jadi separa tak betul dah ni dua tiga hari ni."

"Kau banyak baca novellah sebenarnya ni Rara.."

"Mana ada. Perasaan aku bukan novel tau. Ni asli ok, real bukan copy paste punya. Eh dia ada contact kau ke Nia?"

"Tak da pula." Hakikatnya ada, namun dia sengaja memberi jawapan begitu tak mahu teman yang satu itu salah sangka, hatta hampa.

"Nanti kalau dia ada contact aku. Aku cakap dengan dia kau suka dia ek? Kau janganlah gelabah macam laki nak kawin lain. Rimas mata aku ni ha."

"Oitt janganlah berterus-terang sangat, nampak macam aku yang terhegeh-hegeh pula, malulah aku."

"La dah tu nak buat macam mana pula kalau tak berterus terang? dah betul kenyataannya macam tu kan?"

Rara, kita memang sahabat yang terbaik. Terbaik dunia akhirat. Susah kau susahlah aku. Suka kau sukalah aku. Cinta kau cintalah aku, dan persahabatan ini membuatkan aku serba salah. Aku rasa aku pun tersuka dia. Walaupun aku menidakkan demi kau. Nia mengeluh. Tertekan dengan perasaannya sendiri. Mana mungkin dia akan membiarkan perasaannya yang ini terus bercambah? Dia tak sanggup melukakan insan yang sangat dia sayangi hanya kerana perasaannya kepada lelaki itu. Kepalanya terasa berdenyut sakit tiba-tiba, migrain ni makin menjadi - jadi pula akhir-akhir ini..

Jangan risau, aku akan cuba buat dia sukakan kau. Tak ada apa yang mampu membahagiakan diri ini selain melihat kau bahagia. Lagipun aku dah banyak terhutang budi dengan kau. Kau mampu buat aku bangun bila aku sendiri tak mampu berdiri setelah tersungkur jatuh dengan ujian dunia. Semangat kau buat aku kuat untuk terus hidup hingga ke hari ini.

******

Adnan Mauriz serba tak kena. Kejap dia duduk kejap pula dia berdiri. Aircond yang terpasang seolah langsung tak berfungsi. Dia panas, rasa rimas pun ya juga.

Adnan, boleh kita berjumpa?

Mesej dari Nia Medina yang sudah 3 bulan lebih tak dengar khabar betul-betul membuatkan dia tersentak. Berbunga ceria hatinya. Sangkanya hati gadis itu sudah terbuka untuk dirinya, tapi tak sangka lain yang diduga lain pula jadinya.

"Adnan... saya memang sukakan awak. Seperti yang awak sukakan saya barangkali."

Berbunga hatinya bila mendengar pengakuan gadis itu.

"Tapi..."

"Tapi apa lagi Nia? Saya memang sukakan awak saat pertama kali kita bertentang mata. Aura awak memikat hati dan perasaan saya. Jadi tak ada masalah kalau kita panjangkan lagi hubungan kita dengan ikatan yang suci.. Saya faham orang macam awak mesti tak ada perkataan cinta sebelum pernikahan kan? Saya sudi terima awak seadanya, dengan syarat awak terima saya seadanya juga."

Nia menggeleng..

"Tidak! Saya akui saya memang mula cintakan awak, tapi saya lebih cintakan persahabatan saya dengan Raralyssa, dan dia menyintai awak."

"Perasaan saya kepada dia tidak sama dengan perasaan saya terhadap awak Nia. Masakan saya mahu terima dia Nia?"

"Awak boleh belajar cintakan dia selepas awak kenal dengan dia Adnan."

"Saya hanya cintakan awak Nia."

"Tidak awak tak cintakan saya Adnan!" Tegas.

"Kenapa pula awak sanggup kata saya begitu?"

"Kalau awak cintakan saya ni Adnan awak mesti sanggup biarkan saya dengan pilihan yang saya pilih sendiri dan kalau benar awak cintakan saya Adnan, suntinglah Raralyssa jadi milik awak yang sah demi saya Adnan."

"Awak sengaja menyeksa perasaan saya Nia."

"Jadi awak rasa saya tak terseksa dengan permintaan saya ini Adnan? Ini permintaan yang adil."

"Dah tu kenapa awak minta itu kalau awak terseksa? Persetankan persahabatan awak tu. Kita boleh pergi jauh dari kawan awak tu. Bina hidup baru, berdua, awak dan saya sahaja tanpa sebarang gangguan. Kenapa nak complicatedkan perasaan awak tu?"

"Senanglah awak cakap Adnan. Saya hanya ada Raralyssa dalam hidup saya, masakan saya mampu tinggalkan orang paling berharga dalam hidup saya demi awak lelaki yang saya baru kenali. Lelaki yang baru muncul dalam hidup saya tak sampai beberapa bulan pun."

"Adnan... cinta bukan bermaksud memiliki, cinta bermaksud pengorbanan. Berkorban apa saja untuk insan yang kita cinta, kita sayang, kita kasihi, walaupun kita tahu pengorbanan tu kadangkala menyakitkan kita tapi lambat laun awak akan merasai kemanisan pengorbanan itu. Awak fikirkanlah kata saya ni. Saya minta diri dulu Adnan, assalamualaikum..."

"Waalaikumussalam warahmatullah..." Menerima orang yang aku tak cinta demi kau Nia? Adakah ini ujian untuk kita bersama? Kenapa kau minta benda yang mustahil untuk aku sendiri lakukan? Apa persahabatan itu lebih suci daripa ikatan cinta? Tapi kalau aku tak tunaikan mesti dia anggap perasaan cinta aku sekadar main-main, kalau aku tunaikan aku sendiri ibarat mencampakkan diriku ke lembah duka.. Arghh Nia kenapa buat aku macam ni?

*******

7 bulan berlalu...

"Kenapa ni?" Dia hairan melihat Nia yang tercegat didepan pintu biliknya. Kamar pengantin itu berhias indah dengan warna kesukaannya.

"Nak tidur sama boleh?"

Tersentak mendengar pemintaan temannya itu. Uikk bukan Nia tak suka berkongsi katil ke selama ini? Alasannya dia tak biasa tidur dengan orang.

"Kenapa pula tiba-tiba ni Nia? Tak sihat ke? Muka pun nampak pucat saja?" Laju tangannya mendemah dahi temannya itu. Tak ada panas pula, biasa saja suhunya.

"Sakit kepala sikit, tak tahu kenapa." Bergumam nadanya dia menjawab. Dari siang tadi asyik berdenyut-denyut sakit, namun dilawankan juga demi temannya.

"Nia..." Tegurnya bila perasan yang Nia Medina asyik merenung wajahnya lama.

"Hurmm.."

"Kenapa pandang aku macam tu?"

Pelik benar perangai sahabatnya hari ni. Dahlah nak tidur bersama sekatil, lepas tu asyik merenung wajahnya seolah-olah sudah lama tak bersua muka.

"Saja. Lepas ni kita dah tak dapat bersama selalu. Kau kan dah bersuami.."

"Alah sentimentallah pulak kau ni."

"Betullah apa aku cakap ni."

"Ra..."

"Hurm.. esok hari jumaat kan? Genap 9 tahun dah ibu bapa aku pergi. Genap juga 9 tahun parut ni bertanda dekat dagu aku..."

Bayangan peristiwa kebakaran dirumahnya masih lagi jelas di ruang matanya. Betapa ayahnya mengorbankan diri mengeluarkan dirinya dari rumah itu terlebih dahulu sebelum masuk kembali dalam api marak untuk cuba menyelamatkan nyawa bondanya pula, dan selepas itu ayahnya langsung tak keluar-keluar lagi. Mereka akhirnya pergi membawa cinta bersama. Doa mereka untuk kononnya mahu sehidup semati dan ya dan akhirnya ALLAH makbulkan doa mereka. Mayat mereka ditemui dalam keadaan berpelukan oleh anggota penyelamat... Ah ajaibnya cinta sehingga menghilangkan gentar dan sakit. Buktinya ayah langsung tak gentar meredah api demi bonda..

"Ya tak sangka masa berlalu dengan cepatkan."

"Ra.. aku rindukan mereka..." Betul dia tak tahu kenapa perasaan itu semakin menikam menusuk jiwanya semenjak akhir-akhir ini.

"Sabarlah Nia... Mereka pun mesti rindukan kau juga. Tidurlah.. " Tubuh teman itu dipeluknya erat.

"Lepas ni kau dah tak boleh merasa dah tidur dengan aku sambil dipeluk oleh aku, melainkan cik abang aku outstationlah..;" Sempat dia bergurau. Mengusik menceriakan temannya.

Nia hanya tersenyum... Mulutnya terkumat-kamit. Membaca doa tidur barangkali sebelum memejamkan mata.

"Ra..."

"Ya tidurlah..."

"Selamat malam... meh kiss aku sikit."

"Kau ni kenapa terlebih manja pula ni Nia?"

"Saja... tak boleh ke?"

"Boleh... tapi pelik." Namun tetap ditunaikan permintaan Nia itu. Kenapa kau ni sebenarnya Nia? Apa yang bermain di fikiran kau? Tolong jangan risaukan hati aku..

*******

"Adnan.. terima kasih." Senyuman manis dihadiahkan kepadanya. Memikat dan indah sekali dipandangan matanya..

"Terima kasih untuk apa Nia?" Soalnya kurang mengerti.

"Sebab awak sunting Rara jadi suri hati awak. Saya harap awak bahagiakan dia. Awak ingat lagi tak pertemuan kita yang dulu.. Ini membuktikan yang perasaan awak pada saya tak palsu, dan saya bahagia dengan apa yang buat."

"Nia saya akan cuba bahagiakan dia tapi saya tak janji saya akan mampu cintakan dia sebagaimana saya cintakan awak."

"Tak apa Adnan, Rara dah cukup bahagia berada di sisi awak. Tak payah paksa perasaan cinta awak tu, sebab ia akan bercambah sendiri suatu hari nanti.."

"Nan..." kocoh-kocoh Raralyssa menghampiri. Terbang melayang segala imbauan lalunya.

"Kenapa Lyssa?"

"Nia Nan.. Nia!" Suaranya terasa sekat di rengkungnya.

"Ya kenapa dengan Nia? Cuba bertenang Lyssa. Tarik nafas perlahan-lahan, beritahu satu-satu..." Tubuh isteri yang baru dinikahi tidak sampai satu jam itu diraih. Dipegangnya bahu gadis itu, cuba menenangkan.

"Nia..."

"Ya sayang kenapa dengan Nia?"

"Nia dah tak ada..." Lirih dan sendu nadanya.

"Whaa... whattt? innalillahiwainnailaihirajiun"

"Taaad.. di.. selepas kita nikah, Lyssa masuk bilik ingatkan Nia sedang solat, sebab tubuhnya betul-betul tengah sujud, ta..tapi rupanya dia dah tinggalkan kita..."

"ALLAH lebih sayangkan dia... Redhakanlah pemergian dia Lyssa"

Nia tak sangka selepas 9 tahun kau terpisah dengan mereka. Hari ni kalian disatukan kembali. Mudahnya kau pergi. Pergi dalam keadaan sujud padaNYA pula tu. Semoga kau bahagia di sana, ditempatkan dalam kalangan orang yang solehah sahabatku...

Nia, saya janji, saya akan bahagiakan Raralyssa dan belajar menyintai dia seperti yang awak harapkan. Sebab ini sajalah bukti cinta kita. Ya Nia saya faham maksud awak. Cinta bukan bermaksud memiliki tapi membahagiakan orang yang memerlukan kita. Saya tahu kalau saya bahagiakan Raralyssa, awak pun akan turut bahagia.

*******
Dedikasi buat mereka yang sedang bercinta, menyintai dan dicintai, cinta bukan sesuatu sebab untuk memiliki, cinta itu kebahagian, memberi dan menerima seadanya (cerpen ini pernah dipostkan diblog saya yang lagi satu. Kepada yang belum pernah membacanya dijemput membacanya....
Cerita-cerita yang dinukilkan adalah antara kisah-kisah yang terjadi di sekeliling ini. Sekadar berkongsi suka-duka kepada semua. Yang baik sama-sama kita jadikan tauladan, dan yang buruk itu kita ambil dan jadikan sebagai sempadan.

Segala cerita dalam ni adalah karya asal, sebarang copy adalah tidak dibenarkan. Mana-mana kisah yang mungkin ada menyinggungkan perasaan semua tu di luar sedar saya, salam kemaafan saya hulurkan terlebih dahulu.


Salam dari saya,