Saturday, September 17, 2011

Cerpen : Kuih Makmur Untuk Adik

Pagi itu lain daripada hari-hari yang biasa. Riuh, persediaan menyambut Aidilfitri semakin rancak. Kak long sibuk memanjat kerusi. Menukar kain langsir lama kepada yang baru. Abang ngah pula sibuk bermandi peluh, dengan cat berwarna jingga terpalit di hidung dan wajah. Isk abang ngah ni. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Kerja-kerja saat akhir nampaknya dilaksanakan penuh dedikasi oleh abang ngah. Menukar warna rumah dari coklat kusam ke warna jingga ceria, nampak berseri gitu.

Kak lang yang sedang sarat mengandung tujuh bulan kelihatannya bersandar lelah pada dinding rumah, dalam pada itu tangannya tetap ligat menganyam ketupat. Tak mahu kalahlah tu...

Achik tersenyum melihat suasana-suasana yang terhidang di ruang matanya itu. Sesungguhnya dia sangat bahagia menikmati suasana seperti kala ini.

Eh mana emak ya? Tak nampak pula di ruang tamu. Ayah seorang sahaja tu. Biasanya dimana ada ayah di situ ada emak. Merekakan pasangan bahagia, ke mana sahaja pasti berdua. Jarang berpisah haluan.

"Emak mana ayah?" dia bertanya.

"Ke kedai hujung simpang sana, katanya mahu beli bahan-bahan untuk buat kuih" jawab ayah acuh tak acuh.

"Lah ayah tak temankan emak ke? Kenapa biarkan emak pergi seorang diri?" risau pula hatinya.

Emak bukannya sihat sangat. Lututnya pun bukannya kuat sangat untuk dibawa berjalan jauh. Maklumlah sudah dimamah usia. Badan pun sudah tak sekuat mana, seiring dengan usianya menginjak ke waktu emas.

"Alah bukannya jauh pun, lagipun ayah ni letih, penat memanjat pokok kelapa pun tak hilang lagi, macam mana nak temankan emak kamu tu"

Achik terdiam mendengar jawapan ayah itu. Ada logiknya juga. Ayah tentu letih, penat, maklumlah musim-musim raya ni memang banyak tempahan kelapa untuk diguna membuat santan masak lemak, rendang, kuah lodeh. Pendek kata semua masakan yang melibatkan santanlah. Itu belum lagi dengan permintaan daunnya untuk dibuat ketupat.

Anak muda sekarang ni pun bukannya ramai yang tahu memanjat kelapa. Silap perkiraan boleh terjatuh, cedera tak pasal-pasal beraya di hospital. Rakan-rakan seangkatan dengan ayah hanya tinggal satu dua sahaja yang masih sihat dan gagah meneruskan kerja ini, selebihnya ada yang sudah uzur dimamah usia dan ada juga yang sudah pergi menyahut panggilan ilahi.

Emak ni, kuih apa lagilah yang nak dibuatnya. Bukan kuih dah banyak yang dibeli ke? Kalau dihitung kira rasanya dah lebih dari 20 jenis kuih yang ada dekat dapur tu. Seorang beli 5,6 jenis, dicampur sekali maka banyaklah jadinya. Achik mengomel perlahan, terkumat kamit mulutnya.

"Hoi achikkk!!" sergah kak long.

"Opocot!!" terlepas penyapu yang berada ditangannya.

Dia mengurut dadanya terkejut. Bertuah punya kak long. Nasib terlepas jatuh, kalau tersesah ke muka dia tadi baru padan dengan muka. Biar beraya dengan muka bertanda. Bibir diketap, matanya menjeling geram pada kak longnya itu dan kak long seperti biasa hanya mempamerkan riak muka tak berdosanya. Cis!

"Apa kak long ni main sergah-sergah orang?" marah.

"Anak dara apa buat kerja sambil termenung? Dah tu bercakap sorang-sorang, alamatnya sampai ke rayalah rumah ni masih tak bersih-bersih sawangnya" kak long membebel sinis.

"Mana ada termenung orang berfikirlah.."

"Alasan, teringatkan boyfriendlah tu"

"Mana adalah, orang mana ada boyfriend"

"Alah achik malu-malu pulak dia. Eh awak tu bukan budak-budak lagi. Dah nak masuk 26 tahun pun. Kalau berkahwin, anak pun dah boleh ada 2 tau"

"Dah-dah kak long, jangan nak mengarut ok, orang tak puas lagi hidup membujang tau" rimas, kadang-kadang tu dia hairan kakak yang seorang ni suka sangat menggiat dia dengan usikan sebegitu.

"Tak puas membujang lagi konon. Alasanlah tu. Sebenarnyakan tak mahu nak berpisah dengan emakkan? Eh kak long dulu umur 22 dah kahwin tau. Orang dok sibuk kelek buku kak long dok sibuk kelek baby tapi dapat gak habiskan degree tau."

"Huh kak long tu memang gatal, emak dengan ayah hantar belajar suruh dia cari ilmu tapi dia pergi cari cinta"

"Ewah-ewah sedap mulut kata orang gatal. Eh abang long Naim kau tu yang gatalkan kak long tau"

"Samalah je tu 2x5"

"Eh-eh emak mana?"

"Ha jangan nak tukar topik pula ya kak long"

"Assalamualaikum.." kedengaran suara memberi salam.

"Waalaikumussalam" jawab mereka berdua serentak.

Hah panjang pun umur emak ni, baru saja disebut-sebut tentangnya.

Emak melangkah lelah memanjat anak tangga rumah kampung itu sambil mengibas-ngibas selendang tudung yang dipakainya.

"Emak ke mana tadi? Kenapa tak suruh abang Naim hantarkan?" soal kak long.

"Ke kedai, alah bukannya jauh pun, dekat hujung simpang sana tu je, boleh mak exercise sekali" sempat berlulucon emak.

"Emak-emak... kut ya pun mahu ke kedai, kamikan ada. Pergi sorang-sorang, kalau apa-apa jadikan susah" Dia membebel.

"Mak bukan apa achik, mak tak mahu susahkan kamu. Lagipun mak tengok kamu masing-masing sibuk. Tak ada apa-apalah, tengok mak dah balik pun ni"

"Mak buat apa ke kedai? Ayah cakap mak nak beli bahan-bahan buat kuih. Kuih apa yang mak nak buat? Bukan kami dah belikan banyak kuih ke?"

"Tak sama dengan kuih yang mak nak buat ni achik" jawab mak sambil mengulum senyum.

"Kuih apa mak?" soal mereka serentak.

"Kuih makmur, adik kamukan suka kuih tu" ujar emak sambil melangkah gontai menuju ke dapur.

Dia dan kak long berpandangan sesama sendiri mendengar jawapan emak itu. Biar betul.

*******

"Adikkkk oiii! masuklah nak. Isk budak bertuah ni, dah senja pun masih tak nampak pintu rumah lagi" emak mula membebel sambil bercekak pinggang memerhati adik yang masih leka dengan batang pancing buluh buatan tangannya.

"Kejap lagilah mak, lagi seekor je. Dapat seekor lagi, adik janji adik balik ya mak" laung adik membalas panggilan emak.

Kakinya berjuntai santai di titi jambatan kayu itu. Wajahnya begitu teruja, sesekali matanya menjeling pada baldi yang terletak disisinya yang dipenuhi beberapa ekor ikan itu. Ada ikan keli, puyu, tilapia, haruan dan lundu. Wah seronoknya nanti boleh suruh emak bakarkan ikan-ikan ni, boleh cicah sekali dengan air asam. Mesti lazat. Dia menjilat bibir sendiri membayangkan keseronokan menikmati hasil tangkapannya sendiri.

"Hah!!!" tiba-tiba dia disergah daripada arah belakang. Lambat-lambat dia menoleh dan alangkah terkejutnya sekujur tubuh lembaga putih tegak berdiri dihadapannya kini.

"Makkkk hantu parit!!!" jerit adik.

Zupppp.. laju adik berlari meninggalkan hasil tangkapannya itu. Tak sedar hantu itu sebenarnya hasil kerja kreatif abang ngah yang menggunakan kain telekung emak. Budak nakal memang perlu diajar begitu.

3 hari adik demam dek peristiwa itu.

*******

"Tak tidur lagi mak?" achik menegur.

Emak kelihatannya sedikit tersengguk di hadapan oven. Berkali-kali dipujuk agar meninggalkan kerjanya itu namun emak tetap juga berkeras

"Biarlah achik siapkan untuk emak, emak pergilah tidur dulu, emak mesti dah letih" dia menawarkan diri untuk menyiapkan kerja emak.

"Tak apalah achik, sikit saja lagi ni. Lagipun emak takut kalau kamu yang buat takut tak jadi pula hasilnya. Bantat, kamu tu kan berkerja dengan komputer saja hari-hari bukan macam emak ni berkerja dengan kuali periuk memasak tiap hari. Karang kalau silap perkiraan tak jadi pula kuih ni. Kesian adik..."

*******

"Adik janganlah usik anak burung tu" dia menegur kurang berkenan dengan perbuatan adik itu.

Mereka pasangan kembar tapi punya sikap yang berbeza, ibarat saling lengkap melengkapi. Adik lasak orangnya semua benda diredahnya berbeza dengan dirinya yang terlalu berhati-hati, lemah lembut, manja dan sering menjadi mangsa usikan adik. Pernah suatu hari...

"Achik.. achikk... adik ada hadiah untuk achik"

"Hadiah? Tiba-tiba mahu bagi achik hadiah, adik ni kenapa?" hairan dan muskil melihat wajah adik yang tersengih nakal itu.

"Alah terima sajalah, cepat tutup mata, lepas tu tadah tangan kanan ok"

"Err.." masih ragu-ragu.

"Cepatlah.." gesa adik lagi.

Akhirnya dalam keterpaksaan dia menutup mata menuruti kehendak adik. Sejuk... tapak tangan terasa sejuk. Eh apa yang diletak oleh adik itu.

Gopoh-gopoh dia membuka mata.

"Emakkk!!!" dia menjerit histeria. Seekor katak bulan elok terletak di atas tapak tangan kanan miliknya itu.

"Lailahaillallah, adikkk!!!" emak menepuk dahi, pusing kepala dengan perangai adik.

Keliling rumah emak mengejar adik. Tak cukup tanah adik berlari. Nakalnya adik memang menguji sabar.

"Alah adik nak bela anak burung tu. Buat macam anak angkat"

Lamunannya pecah dek mendengar jawapan daripada mulut adik itu.

"Adik nak bagi dia makan apa nanti? Adikkan manusia, bukannya mak burung pun nak buatkan dia jadi macam anak angkat adik. Adik ni ada-ada sajalahkan"

Tak sampai satu minggu akhirnya anak burung itu mati, sebabnya adik tak reti menjaganya. Adik... adik memang tak berbakat dalam membela binatang.

*******

Satu Syawal menjelang tiba,
Sanak saudara kunjung berkunjungan,
Sepuluh jari disusun sama,
Marilah kita bermaaf-maafan.

Cantik. Kuih yang disusun cermat dalam bekas kaca itu. Entah kenapa dalam banyak-banyak kuih yang ada hanya satu itu sahaja yang menarik minatnya. Kuih buatan tangan emak. Kuih Makmur kesukaan adik.

7 tahun lalu...

"Ayah..." tersedu-sedu dia langsung tak mampu meneruskan kata-katanya.

"Kenapa ni achik?" suara di hujung talian telah bertukar, nampaknya emak telah merampas talian daripada ayah.

"Adik.. adik mak.." putus-putus suaranya memberitahu.

"Ya ALLAH anak aku..." emak meraung dihujung talian dan dia terjelepok lesu, tidak peduli langsung pandangan orang yang lalu lalang di pondok telefon awam itu.

Adik degil, tak mahu dengar larangan achik. Dia menggetap bibir cuba menahan sendu. Dia benci dirinya! Semuanya salahnya kini.

"Adik ada kucing comellah.." dia menyiku pinggang adik.

Waktu itu mereka berjalan beriringan menuju ke stesen bas. Pulang daripada menghadiri kuliah, kononnya ingin berbuka puasa bersama keluarga.

"Mana??" melilau matanya mencari kucing comel yang dikatakan oleh achik itu.

"Itu" tunjuknya sambil menudingkan jari ke arah seberang jalan.

"Eeeii comelnya dia.. Adik rasa nak peluk-peluk je achik" puji adik.

Adik memang begitu, sangat sukakan binatang. Adik penyayang dalam pada sikapnya yang kasar itu.

"Alamak eh kucing tu nak melintaslah.." jerit adik, menggelabah tiba-tiba.

Wajah adik kelihatan cemas. Apatah lagi bila melihat kenderaan yang lalu bertali arus. Dia risau, tak mahu apa-apa terjadi kepada kucing comel itu.

Tiba-tiba adik meluru...

"Adik jangannn!!!" jerit achik menegah, namun sudah terlambat.

Dumm!!! hanya dentuman kuat menyambut tegahannya. Tubuh adik tercampak melayang jatuh berlumuran darah dilanggar sebuah kereta Proton Saga berwarna merah.

Kucing yang comel itu terselamat dalam pelukan adik. Achik rebah, pandangannya gelap terkejut melihat keadaan adik yang menyayat hati itu.

"Adik..."

Sedar-sedar dia berada di hospital, digagahkan dirinya untuk mengheretkan kakinya yang terasa longlai mencari telefon awam. Ayah dan emak mesti diberitahu, bisik hatinya.

"Termenung lagi di pagi raya? Memang betul agaknya saranan kak long ni, achik kena kahwin ni biar sembuh penyakit termenung suka mengelamun tu." Bahu terasa ditepuk perlahan.

Huh kak lang ni, mesti berpakat dengan kak long. Tengok muka kak long yang tersengih kambing tu dah tau dah mereka berdua ni berkomplot. Ceh!

"Hisy kak lang ni.. sama jelah dengan kak long tu, asal termenung je mesti dah angau, lepas tu suruh orang kahwin cepat-cepat, habis kalau emak tu termenung je, maksudnya emak tengah angaulah ya? Kena kahwin cepat-cepat? Dah tu ayah nak letak ke mana?"

Mengekek ketawa kak long dan kak langnya mendengar kata-katanya itu.

"Aduiii achik ni bercakap macam budak darjah satu, maksud kata kami tadi hanya sesuai dengan orang muda macam kamu tu, bukan macam emak.. apa da" tempelak kak long.

"Ye ke? Hehehe.. "

*******

"Emak..." terketar-ketar bibir pucat itu memanggil emak.

Emak yang terlena keletihan terpisat-pisat membuka mata. Gopoh mendekati adik.

"Adik, ya ALLAH alhamdulillah sedar juga kau nak" emak menadah tangan mengucap syukur. Gembira tidak terkira. Adik sedar juga setelah telantar koma hampir 6 hari lamanya.

"Emak.. aa.. ad.."

"Ya adik, emak ada di sini sayang" emak mengusap perlahan wajah pucat milik adik itu.

"Ad.. addi. aadik.. teringin nak makan kuih makmur mak" lambat-lambat, putus-putus suaranya memberitahu.

"Kuih makmur? Mana nak cari ya.. ha tak apa, nanti emak buatkan untuk adik ya? Lepas tu adik boleh makan puas-puas tau" balas emak dengan juraian air mata. Susah mana pun permintaan adik, dia tetap akan cuba tunaikan. Dia tak mahu kalau apa-apa terjadi, dia akan diselubungi kekesalan sepanjang hidupnya.

"Ayahnya.. jom temankan saya carikan bahan-bahan buat kuih untuk adik ni" ajak emak sambil menarik tangan ayah.

"Dik emak pergi ya? Nanti emak datang balik bawakkan kuih untuk adik ya?"

Adik hanya menggangguk lesu, sebelum memejamkan matanya kembali, kembali lena. Achik yang berada disisi menggenggam tangan kurus milik adik. Sejuk, rasanya. Dia mengambil alih tugas emak sementara emak tiada.

"Mana nak cari kedai yang buka pada raya-raya ni ayahnya?" risau, apa jadi pun permintaan adik mesti ditunaikan.

"Entahlah emaknya, ayah rasa kalau dalam kampung ni memang tiada, tapi kalau kedai dekat kampung seberang tu adalah. Kedai si Ah Wa sana"

"Ha kalau gitu mohlah kita ke sana ayahnya, lagi cepat kita pergi lagi cepat dapat apa yang kita cari, dapatlah saya siapkan kuih tu cepat-cepat"

Syukur, emak bersyukur dalam hati. Rezeki adik nampaknya, bahan dicari ada dikedai itu. Susah payah berbaloi rasanya bila dapat menyiapkan kuih itu.

"Adik.." emak menyeru perlahan memanggil adik yang kelihatannya lena.

"Adik... emak datang ni nak, emak dah bawakan apa yang adik minta, bangun nak, buka mata tu" panggil emak sekali lagi bila melihat tiada tindak balas daripada adik..

Lama barulah adik membuka matanya itu, begitu payah sekali kelihatannya.

"Adik, biar mak suapkan adik ya?"

Adik mengangguk kepalanya lambat-lambat menyetujui saranan emak itu.

Sebiji Kuih Makmur buatan tangan emak suakan pada adik dan lambat-lambat adik mengunyahnya sebelum menelannya penuh kepayahan. Hanya sebiji, selepas itu adik menggeleng-gelengkan kepalanya. Emak menyuakan segelas air, dan perlahan-lahan juga adik meneguknya. Sukar..

"Emak... adik sejuk" adu adik tiba-tiba.

Emak terdiam mendengarnya. Ayah membisu. Lain benar cara adik ni. Kak long, abang ngah, kak lang dan achik, masing-masing wajahnya bertanda persoalan. 

"Emak peluk adik ya?" sambil tangan membetulkan letak duduk selimut yang menutupi tubuh adik itu.

Emak duduk di birai katil. Memeluk adik penuh kasih. Membiarkan adik bersandar pada dadanya. Mengusap-ngusap bahu adik. Sesekali dia tunduk mengucup dahi adik.

Achik menggenggam jari jemari adik. Sejuk benar rasanya. Adakah ini petanda?? Ya ALLAH... hati digalau resah tiba-tiba.

"Adik mengantuk" adu adik lagi.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Mula menghidu kelainan pada bicara adik itu.

"Adik mengucap nak.." ayah bersuara bimbang.

Adik tersenyum tawar.

"Ad... adi.. adik nak pergi dah, adik minta maaf adik bukan anak yang baik, adik yang baik pada semua" antara dengar tak dengar suara adik itu.

Adik pergi jua.. Mudahnya adik pergi. Tenang sekali wajah adik waktu itu, dalam dakapan emak akhirnya adik menghembuskan nafas yang terakhirnya. Rupa-rupanya ALLAH hanya pinjamkan adik untuk 19 tahun bersama kami. Adik tau tak kami rasa sunyi semenjak adik pergi. Rumah tak lagi riuh dengan usikan adik. Tiada lagi jeritan emak yang pening kepala dengan kerenah adik tu.

Perlahan-lahan tangannya menyentuh bekas kaca berwarna jernih itu.

"Adik mesti bahagia dekat sana kan?" dia berbisik perlahan.

"Emak rindu sangat dengan adik.." emak yang muncul tiba-tiba melabuhkan punggung disisinya seolah dapat membaca apa yang sedang bermain dalam isi hatinya itu.

Achik tersenyum pahit mendengar kata emak itu. Kalau emak merindu, dia lebih dua kali merindu adik. Merekakan pasangan kembar, dari dalam perut berdua, tapi akhirnya kini dia terpaksa bersendirian meneruskan kehidupan di dunia ini.

Adik, awalnya adik pergi tinggalkan achik. Belum puas rasanya bersama adik. Sungguh achik rindu sangat dengan gurauan adik, disakat oleh adik dan dibuli oleh adik.

"Kadang-kadang emak rasa macam adik masih ada bila melihat achik ni.." emak meramas tangannya perlahan.

"Itukah sebabnya emak membuat kuih makmur setiap kali hari raya tiba?" dah lama rasanya dia ingin bertanya tentang yang ini.

"Tak" sepatah emak menjawab sebelum menyambungnya lagi.

"Emak tau adik selalu perhatikan kita sekeluarga. Emak mahu adik tahu, walaupun adik dah lama tinggalkan emak, tinggalkan kita semua, emak takkan pernah sekali-kali melupakan adik, malah setiap hari emak sentiasa mengingatinya, merinduinya tanpa jemu. Mengasihi dia tak pernah pudar. Mak mahu adik gembira di sana. Tak rasa dirinya terasing"

Achik mengangguk. Fahamlah dia, emak tak pernah nyanyuk, emak bukan juga dah tak betul, tapi emaklah, emak yang terbaik.

1 comment:

hazulfa said...

benarlah kasih ibu membawa ke syurga....bila bc jer hati terus terkenang mak kat kg..apapun cerita ni cukup menyentuh hati....

Cerita-cerita yang dinukilkan adalah antara kisah-kisah yang terjadi di sekeliling ini. Sekadar berkongsi suka-duka kepada semua. Yang baik sama-sama kita jadikan tauladan, dan yang buruk itu kita ambil dan jadikan sebagai sempadan.

Segala cerita dalam ni adalah karya asal, sebarang copy adalah tidak dibenarkan. Mana-mana kisah yang mungkin ada menyinggungkan perasaan semua tu di luar sedar saya, salam kemaafan saya hulurkan terlebih dahulu.


Salam dari saya,