Monday, August 8, 2011

Cerpen : Tinta Cinta Ramadhan

1 ramadhan..
Alhamdulillah, walaupun hariku ini berulit sibuk, aku berjaya tempuhi jua, habisi hari ini, ramadhan di perantauan untuk kali yang ke-4 nampaknya.

Helaian kertas kumal yang usang itu diselak lagi, untuk kesekian kalinya tanpa rasa jemu malah semakin kerap bila ramadhan menjelang tiba.

Ini sahaja yang tinggal, pengikat kasih, penyambung ingatannya pada si dia jantung hatinya yang jauh kini, teramat jauh jaraknya sehingga sukar untuk digapai. Inilah yang ditemui dibilik sewa gadis itu bila dia tiba untuk mengutip barang-barang gadis itu yang tinggal.

Ah enam tahun yang berlalu langsung tak mampu merubah segala rasa cintaku kepadanya, malah semakin menyala, membara setiap waktu. Merindu dan mengingati dua rasa yang tak mampu dipisahkan daripada tubuhnya kini. Hebat sungguh penangan kasihmu sayangku... sehinggakan aku terpaksa merebut kasihmu dengan DIA. Degilkan aku? Seolah tak mampu menerima kenyataan yang terbentang jelas.

2 ramadhan,
Hari ini jam dipergelangan tanganku kehabisan bateri, isk isk.. seronok menikmati juadah sahur, namun hampir tersembur nasi didalam mulut yang sedang dikunyah bila melihat sang mentari yang malu-malu mula mengintai dibalik awan. Sekali dikerling pada jam yang bergantung kaku di dinding bilik, Aarghh sudah melewati 6.45 pagi rupanya. Darurat kan? aku tak sengaja, maafkan aku ya ALLAH.

Dia tersenyum lagi dalam genangan air mata yang bila-bila saja akan jatuh berguguran dipipinya. Sungguh semenjak kehilangan dahulu, dia langsung tak pernah malu untuk menitiskan air mata lelakinya. Berbeza dengan dirinya yang dulu, ego dan sentiasa mahukan kemenangan sentiasa memihak padanya walaupun dia tahu semestinya dia perlu beralah.

Kau memangkan sayangku, selalu begitu, menghiburkanku dengan kerenahmu yang lepas laku begitu. Itulah kau yang membuatkan aku terus jatuh cinta, mengikat hatiku untuk terus mengingatimu, menyintaimu, menyayangimu, tanpa rasa jemu

7 Ramadhan..
Terima panggilan dari 'dia' siapa dia kalau kalian mau tahu? Semestinya dia yang namanya sentiasa bertahta di hatiku. Agaknya dia salah tidur malam tadi kut, tiba-tiba menelefon dan mengucapkan kata-kata rindu. Oh tuhan, sekali lagi aku telah jatuh cinta. Jatuh cinta pada suami sendiri tak salahkan?? Hehehehe...(tersenyum dengan muka kemerah-merahan)

Dia masih ingat lagi hari itu, malam itu, dia mimpikan Noor Syuhadanya, yang hadir dalam tidurnya, mengucup dahinya penuh kudus. Sepertinya kau terlalu merinduiku. Sudahnya pagi-pagi selepas solat subuh di tunaikan, terus bergegas dia mencapai telefon. Rindu mendengar suara gadis itu memaksanya membuang ego. Hebatkan penanganmu. Tergagap-gagap gadis itu menyambut kata keramat yang terluah dari bibirnya.

"Noor Syuhada, Fi errr abang cintakan sayang, rindukan sayang.." tak pernah-pernah dia bahasakan dirinya sebagai 'abang' pada isterinya itu, panggilan yang selayaknya daripada seorang isteri untuk sang suami yang disayangi dan dihormati.

"Hah??" kehilangan kata kedengarannya di sebalik nada bicara gadis itu.

"Noor Syuhada tak cintakan abang? Tak rindukan abang?" berdebar hatinya menanti balasan dari si isteri.

"Err.. errr saya.. err Noor"

"Susah sangat ke mahu membalas kata abang tu?" hampa bila mendengar hanya itu yang keluar dari mulut isterinya, menyambut ungkapan kata keramatnya itu.

"Noor err Noor.. err Noor pun sama, rindukan abang, cintakan abang" terus ganggang telefon diletak, dan dia di sini ternganga.Sudah dapat dibayangkan bagaimana merahnya rona muka Noor Syuhadanya kala ini. Perlahan-lahan dia mengulum senyum.

"Yes! Yes!" girang dia menjerit.

"Kamu kenapa Ahmad Sufi, pagi-pagi buta dah terjerit terlolong" Mama menegur, dan dia terus mendakap mama lagak seperti dia memeluk Noor Syuhadanya itu.

"Sufi dah jatuh cinta mama"

"Hah jatuh cinta??? Dengan siapa? Eh ingat sikit yang kamu tu dah beristeri, walaupun jauh nun di sana tapi jangan sesekali kamu khianati cinta dia" mama mula berleter dan Ahmad Sufi langsung tak mahu ambil peduli malah bertambah tersenyum lebar mendengarnya. Nampak sangat sayang mama kepada kamu kan? Bisik hatinya, kembang...

15 ramadhan,
Hari ini luangkan masa didapur, pertama kali beraya bersama si dia dalam erti kata yang sebenarnya, aku ingin kelihatan sempurna, selama ni 3 tahun aku bersendirian di sini, dia langsung tak mahu ambil peduli, menelefon jarang sekali, tapi tahun ni berbeza, dia pula yang lebih-lebih, sibuk mengingatkan itu dan ini. Tak sabarnya rasa pulang ke tanah air. Tak sangka ALLAH makbulkan doa aku, ubahkan hatinya daripada membenci kepada menyinta.

Awal-awal pagi sudah masuk dapur, sebelah tangan memegang buku resepi (errr aku bukan tukang masak yang handal) sebelah tangan lagi sibuk memasukkan segala bahan mengikut sukatan. Hai Noor, berdoalah biskut kau tak jadi keras ya, yang akhirnya hanya akan jadi bahan perhiasan dalam balang kaca, cantik tapi tak bisa dikunyah, sebab keras macam batu. Hah siap, cantik, sekarang kita masukkan ke dalam oven, dan tunggu apa jadi selepas itu. Suamiku, tengok aku pun pandai memasak  juga apa, eh-eh tiba-tiba kenapa dia pun ada tercatat dalam diariku ini.

Sniff... snifff hidung terhidu bau hangit tiba-tiba, namun mata masih juga pegun pada skrin komputer, menyemak email-email yang sangat banyak datang dari sahabat dan dia. Eh baru teringat sesuatu. Alamakkkk!!! biskut rayaku yang sememangnya berwarna coklat kini sudah bertukar kehitaman, hangus terbakar. Itulah kononnya mahu menyiapkan dua kerja dalam satu masa. Hai Noor kau memang tak berbakat dalam menyiapkan kerja. Err Ahmad Sufi nampaknya kuih raya separa hangus saja mampu ku kirimkan kepadamu..

Ya.. aku terima bungkusan kuihmu, namun aku terkilan sayangku... ia tidak tiba bersamamu dan aku tak dapat nikmatinya bersama dengan mu di pagi syawal itu selamanya. Hiba hatinya setiap kali mengenangkan impian yang tak kesampaian itu. Direngut sekelip mata hanya dengan satu tragedi.

25 ramadhan...
Tak sabarnya ya ALLAH.. Hari ini tiba juga, tak lama lagi akan ku jejakkan kaki ini ke tanah air yang tercinta. ALLAH selamatkan perjalananku. Aku ingin bertemu dia, insan yang berjaya mengusik hati ini dan mengajarku erti rindu.

"Ahmad Sufi..." ganggang telefon dipegang oleh mama terlepas dari genggamannya dan dia terpinga terkesima.

"Kenapa mama?" dia bertanya dengan hati yang mula digalau walang.

"Noor Syuhada..." mama tak mampu meneruskan kata-katanya, kelihatan seolah-olah sedang menahan sebak yang menggila.

"Kenapa dengan dia mama?" kenapa dengan Noor Syuhadaku mama, beritahulah aku mama, jangan biarkan aku terus tenggelam dalam lautan persoalan mama, rintih hatinya

"Noor Syuhada kemalangan, bas yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan, kawannya di sana baru call mama tadi" dalam esak tangis mama memberitahu, gelap terasa dunianya kala itu.

ALLAH dugaan apa pula kali ini? mengapa pula ini yang berlaku bila hatiku mula berubah 360 darjah dari membenci untuk mencintai? kenapa ya ALLAH? apakah aturanmu pula kali ini? Dia menggetap bibir menahan sebak yang mula meribut dalam dada. Bila-bila sahaja tangisannya pasti terhambur.

Hanya ini yang tinggal Noor Syuhada, enam tahun ini dia tetap sendiri, walaupun kenyataan memang sudah terbentang nyata di hadapannya yang isterinya sudah tiada, namun dalam hatinya tetap berdegil, belum mahu mencari pengganti, berdegil untuk terus menyinta. Sampai bila? Jangan ditanya sebab dia pun tak tahu, tak ada jawapan yang khusus.

Lebih 10 tahun lalu...

"Sufi tak boleh terima dia mama, dalam hati tak pernah ada cinta untuk dia mama"

"Ahmad Sufi perasaan cinta boleh dipupuk sayang.."

"Sufi tahu, tapi bukan dengan dia mama"

"Kenapa tidak dengan dia? Dia perempuan yang kesuciannya masih terpelihara, cantik dengan tingkah laku dan punya budi pekerti yang tersusun, walaupun dalam kalangan bukan yang berada".

"Sufi mahukan gadis yang moden mama, mampu bergaya, yang bila langkahnya diatur, semua akan terpegun melihatnya, bukan bertudung litup semua ditutup layak seperti berada dikutub utara mama.."

"Astaghfirullahalazim, Ahmad Sufi, kecantikkan seorang isteri bukan untuk ditonton oleh mata-mata lelaki yang bukan muhrimnya, Ahmad Sufi sudah lupa apa yang ustazah ajar dulu? apa yang ustaz ajar, apa yang mama ajar?

"Sufi mahu seorang isteri yang boleh buatkan Sufi bangga bila berjalan di sisinya"

Noor Syuhada Binti Maliki, sebuah nama yang dituturkan oleh mama sebagai bakal isterinya, gadis yang terpilih, gadis yang berjaya merobek perasaan mama, yang berjaya memecahkan tembok cerewet mama.

"Kalau kamu anggap diri tu masih lagi anak mama, masih teringin merasai kemanisan redha ALLAH itu, mama pohon terimalah dia sebagai suri dalam hidup kamu Ahmad Sufi, mama pasti tersenyum bahagia punya menantu yang molek pekerti seperti dia"

"Tapi mama..." memang dari kecil dia tak pernah diajar untuk membantah.

"Ahmad Sufi.." mama memotong agak keras nadanya.

"Baiklah mama" kalau itu yang mama mahukan. Tak apalah biarlah dia berkorban selagi mama masih bernyawa adalah tugas dia untuk membahagiakan mama, wanita yang tabah, membesarkan dirinya seorang diri tanpa seorang ayah disisinya. Almarhum ayahnya Ahmad pergi tatkala dia dua bulan didalam kandungan, seperti junjungan besar Rasulullah s.a.w menjadi yatim ketika usia dua bulan dalam kandungan.

Noor Syuhada Binti Maliki dan Ahmad Sufi Bin Ahmad, bersatu atas izin ALLAH, bersama atas takdir ALLAH dan berpisah atas kehendak ALLAH..

"I tak suka baju ni, gosokkan yang lain" bentaknya, sering kali dia cuba menguji silap Noor Syuhada, namun gagal! tembok sabar gadis itu sentiasa utuh, kukuh.

"Sufi hari ni kan hari jumaat, kan nampak sopan kalau berbaju melayu ke pejabat" masih dengan senyuman yang bergayut mekar dibibirnya memujuk, sedikit pun tidak berubah riak wajah itu bila dibentak.

Akhirnya dalam pada dia membentak tetap juga menuruti kehendak Noor Syuhadanya itu.

"Handsome Encik Sufi hari ni, pandai isteri encik pilih warna dia, sesuai dengan kulit encik"

Kembang hatinya menerima pujian daripada stafnya. Tak sangka pilihan Noor Syuhada itu kena pada tempatnya. Pandai juga dia, pujinya dalam tak sedar.

*******

Dah sampai masanya, dia bergumam dalam hati. Sudah terlalu lama rasanya berkelana.

"Apa yang dimenungkan? Seperti ada sesuatu yang bermain difikiranmu anakku" penuh pengertian wanita itu bertanya. Tangan tua itu mengusap kepalanya penuh kasih.

"Umi.. saya terlalu merindui dia, malah semakin menyala rindu itu lewat ini, walaupun hakikat dia mungkin sudah punya keluarga, dan sudah melupakan saya, secebis kisah yang hanya datang singgah dalam hidupnya untuk sementara dan pergi tanpa meninggalkan apa-apa kesan, saya mahu pulang mi.."

"Umi faham... kalau itu yang kamu inginkan umi tak akan menghalang, umi menyokong segala tindakan kamu asalkan memberi kebahagian kepada kamu.

Dia tersenyum dalam hiba, syukur ditemukan dengan insan suci seperti uminya, sangat memahami, sangat mengerti apa yang diinginkan oleh hatinya.

ALLAH berikan umi kebahagian di dunia ini dan juga kebahagian di akhirat. Insan sebaik dia yang banyak berkorban untuk aku, selayaknya diberikan kebahagiaan dalam hidupnya.

*******

"Mama kenapa?" hairan bila melihat kaki mama berbalut dan tangan mama yang luka disapu iodin. Eh siapa pula gadis itu yang bersama dengan mama? Tak pernah pun aku lihat dia. Sejak bila pula mama punya kawan seperti dia ni. Berjilbab seluruh tubuh, hanya sepasang mata yang terlihat, tapi... renungan mata itu memang diakui, sangat memukau mampu membuatkan dirinya terbuai, terpanar.

"Mama kena ragut tadi, kaki terseliuh ditolak peragut, nasib baik ada Noor Syuhada dia yang tolong mama, orang lain semua hanya tau tengok saja tanpa buat apa-apa"

Oh gadis itu bernama Noor Syuhada. Eh...

"Macam mana sampai boleh kena ragut? Berapa kali saya pesan pada mama, berhati-hati berjalan seorang diri, jangan lalu ditempat yang sunyi" hati digamit risau.

"Alah Sufi, dah nak kena... " tenang mama membalas bebelannya.

"Kalau tak kena tadi, tak adalah mama kenal dengan gadis manis macam Noor Syuhada ni, lagipun mama dah buat police report, biarlah mereka yang tangkap penjenayah tu."

Dia menjeling ke arah gadis itu, dan gadis itu hanya tertunduk malu mendengar pujian daripada mamanya, jarang mama mahu memuji orang, tapi kalau mama dah memuji bermakna mama dah suka dengan orang tu. Ah biarlah... mamakan cerewet.

"Sufi, termenung lagi... sudahlah tu nak, dah 6 tahun dia pergi, mama yakin dia mesti sedih kalau tengok keadaan Sufi macam"

"Entahlah mama, Sufi tak tahu tapi Sufi akui Sufi tak boleh lupakan dia, mungkin ini balasan ALLAH pada Sufikan, sebab tak menghargai dia bila dia masih ada disisi Sufi"

"Sudahlah tu Sufi, berhenti menyalahkan takdir ALLAH, dia pergi sebab ALLAH sayangkan dia, dan Sufi jadi begini bukan sebab lain, tapi sebab hati Sufi sendiri tak mahu redha dengan pemergian dia, Sufi.. ingat nak, ALLAH tak akan uji Sufi kalau ALLAH tahu Sufi tak mampu nak tanggung ujian ALLAH ni. Yang pergi tetap pergi, kita yang hidup ini kena teruskan hidup. Dahlah jom masuk. Senja-senja ni tak elok mengelamun kat luar, kejap lagi nak masuk azan Maghrib, waktu berbuka puasa. Hurm hari ni dah 27 ramadhan, cepat sangat rasanya kan"

Noor Syuhada cinta hati Ahmad Sufi selamanya. Kalau ini ujian dariMu ALLAH, aku redha. Tempatkan isteriku dalam kalangan hambamu yang solehah, bibir langsung tak pernah kering untuk mendoakan kesejahteraan isterinya.

Akur, dengan berat hati dia melangkah membututi langkah mama, untuk kesekian kalinya syawal yang menjelang terasa tidak bermakna semenjak kehilangan bertahun dahulu.

Isteriku, kau pergi langsung tak tinggalkan apa-apa tanda, tanpa pusara untuk aku terus lawatimu bila hatiku terasa rindu.

"Bas yang dia naiki kemalangan, dan hangus terbakar, semua mangsa terperangkap dan turut terbakar hingga sukar untuk dikenal pasti" itulah yang diberitahu oleh teman gadis itu kepadanya.

*******

"Kita dah sampai.. " umi menepuk lembut bahunya. Umi, wanita Indonesia yang sudah lama berkelana di bumi Melbourn.

Takdir ALLAH yang manis, dalam keadaan sebatang kara, ALLAH hadirkan wanita berhati mulia itu dalam hidupnya, menjaga dirinya yang serba kekurangan itu.

"Umi, betul kita dah sampai? ALLAH syukur.. kau permudahkan perjalanan kami hari ini" bertakung air mata gembira di kelopak matanya, gembira yang tak terluah.

"Ya sayang... ikut alamat yang kamu beri, inilah rumahnya, tapi macam tak ada orang saja kayaknya, sunyi sahaja rumah ni" sesekali tetap tergelincir juga slang Indonesia daripada lidah umi walaupun sudah lama bermastautin di luar daripada negaranya.

"Ada bell umi? cuba tekan.. Rumah ni memang sunyi sebab hanya ada dia dan..."

Tak sempat menghabiskan ayat, tiba-tiba terdengar bunyi deruman enjin kereta yang kian mendekat berhenti berhampiran dengannya.

"Assalamualaikum kalian berdua mencari siapa?" satu suara lembut menegur bertanya soalan.

Suara itu, ya suara itu.. aku kenal siapa pemiliknya walaupun bertahun tak pernah mendengarnya, aku tetap takkan pernah lupa...

"Waalaikumussalam" serentak mereka menjawab.

*******

"Saya di mana?" tak tahu kepada siapa dia melontarkan tanya, kenapa gelap sangat ni? black out ke? hati bertanya hairan.

"Alhamdulillah sedar juga kamu ya, syukur pada tuhan, risau benar umi"

Eh siapa umi? kenapa dia bahasakan diri umi padaku? aku kenal dia ke?

"Kenapa gelap sangat ni?"

"Bersabarlah, ini ujian ALLAH nak, setiap yang dimiliki itu hanya pinjaman dariNYA, bila dia inginkan kembali dia akan ambil daripada kamu"

"Ambil kembali? maksudnya apa? saya buta? ALLAH kenapa ini harus terjadi pada aku?" dia meratap hiba.

Gelap dunia dirasakan kala itu. Apa yang harus dilakukan? Bagaimana dia harus berdepan dengan lelaki itu? Sementalah kecoh didada akhbar yang semua penumpang terkorban, tiada satu pun yang bernyawa dek kemalangan bas itu, kerana dia sendiri pun tercampak keluar, betul-betul terjatuh di hadapan kereta umi. Nasib juga umi sempat memberhentikan keretanya kalau tidak mungkin dia juga turut terkorban seperti mereka yang lain.

"Kenapa baru sekarang Noor Syuhada datang kembali pada abang?" lambat-lambat dia membuka bicara, bila melihat gadis itu seolah tenggelam dalam lamunannya.

Sungguh diia tak tahu apa perasaannya kini, gembira atau pun marah? Marah untuk apa? Ataupun gembira? Ya mungkin gembira sebab orang yang disangka sudah tiada rupanya masih bernyawa dan marah sebab rasa diri seolah ditipu.

"Maafkan Noor, Sufi.."

"Semudah itu??? Noor ingat abang punya perasaan ni apa? Rasa terkilan abang mudah dilenyapkan dek ungkapan maaf itu?" terkeluar juga api marahnya yang cuba dikawal.

"Saya dah tak sempurna untuk awak, saya malu untuk tunjukkan diri pada awak dalam keadaan serba kekurangan ini" lirih nadanya, bertahun dia cuba mencari kekuatan, mengutip semangat demi berdepan dengan hari ini, waktu ini, saat ini.

"Maafkan abang.." bergegar tubuhnya bila diraih oleh tubuh itu secara tiba-tiba dan dia, dia merelakan perbuatan lelaki itu.

Hangatnya pelukan lelaki itu meresap ke segenap ruang nafas tubuhnya. Rindu sekali untuk menatap wajah lelaki itu. Wajah yang masih segar dalam simpanan memorinya. Perlahan-lahan dia merenggangkan pelukan lelaki itu. Terketar-ketar tangannya menyentuh wajah lelaki itu. Membayangkan, adakah masih sama seperti 6 tahun yang lalu, atau sudah berubah dibawa dek masa.

Agak jelas terasa tulang pipi lelaki itu yang agak timbul, ah adakah dia juga menanggung derita seperti apa yang ku rasa?

"Abang tak pernah gembira semenjak Noor Syuhada 'pergi', hidup abang terasa kosong, bertahun-tahun abang cuba pujuk diri sendiri untuk terima kenyataan, tapi hati abang degil. Tak mahu terimanya dan hari ini nampaknya firasat hati abang benar. Noor Syuhada abang masih ada, masih bernyawa"

'Noor Syuhada abang'.. berbunga perasaannya mendengar kata lelaki itu. Noor pun begitu bang... namun hanya terluah dalam hatinya. Lidah terasa kelu tiba-tiba.

"Noor Syuhada kah itu?" tersentak dia bila terdengar suara lelaki itu seusai salam yang diberi dijawab.

"Mama, Sufi tak bermimpikan mama?" terdengar suara lelaki itu yang berbaur teruja.

"Ya sayang, Ahmad Sufi tak bermimpi nak.."

"Ya ALLAH syukur, mama nampakkan, Noor Syuhada Sufi sudah pulang, dia tak mati lagi kan?"

Pecah empangan air matanya tadi. Tak sangka dirinya amat berharga dalam hidup lelaki itu, tak sangka dirinya amat didamba oleh lelaki itu.

"Mengelamun? baru jumpa sudah pandai mengelamun? tadi pun mengalamun juga, apa yang sedang bermain difikiranmu sayang?"

Tersentak ditegur.. ya ALLAH hari ini 28 ramadhan, tarikh yang paling bermakna dalam hidupku dan akan diingat sepanjang hayatku.

"Hai Ahmad Sufi takkan gembira sangat sampai tak mahu di bawa masuk Noor Syuhada kamu tu" mama menegur.

"Err... mama Sufi terlalu gembira sampai lupa nak buat apa, jom sayang kita masuk.. rumah ni pun mesti dah rindukan sayang.." sempat berjenaka.

Jari jemari lembut itu diraih, dipimpin penuh hati-hati.

"Jemput kak.."

"Sulasteri.." laju umi menyambung, memberitahu namanya. Mereka berpapasan, dalam hati terasa begitu lapang melihat pasangan muda yang berjalan berpimpinan tangan mendahului mereka. Semoga bahagia itu terus mengiringi hidup mereka.

"Terima kasih, jagakan Noor Syuhada untuk saya kak.." ucap mama ikhlas, tak kira apa pun alasan anak itu selama 6 tahun menyepikan diri dia tidak kisah. Dia rela maafkan sebab kalau dia ditempat Noor Syuhada mungkin dia akan melakukan seperti apa yang gadis itu lakukan, bukan mudah menerima hakikat yang diri sudah kekurangan dan bukan mudah menghadapinya seorang diri ditempat asing begitu. Noor Syuhada memang tabah.

"Tugas kita sebagai saudara seagama, membantu saudaranya yang lain andai dilanda kesusahan" balas umi tenang.

Hari ni buat pertama kalinya sepanjang 6 tahun, dia melihat mata Noor Syuhada bersinar galak, walaupun sudah hilang fungsinya dek hentakkan yang kuat itu.

*******

"Selamat Hari Raya sayangku.. " lembut ungkapan itu dibisikkan ke telinganya.

"Selamat Hari Raya bang, maaf segala dosa dan salah silap Noor, saya gagal jadi isteri yang membahagiakan abang yang tak membebankan abang.."

"Syii apa cakap macam tu? sayang isteri terbaik yang pernah abang miliki buat masa ni" tak suka bila mendengar Noor Syuhadanya itu menyalahkan diri sendiri.

"Buat masa ini? Maksud abang apa?... Oooo pandai, diam-diam merancang menambahkan cawangan ya?" laju tangannya menjalar mencubit lengan lelaki itu.

"Aduh, abang bergurau sajalah, tak mahu tengok isteri abang ni berduka. Sayang, anugerah yang paling berharga pernah abang miliki, lagipun kalau betul abang berniat begitu dari dulu lagi abang dah cukupkan kuota empat ni". Walaupun kau kekurangan kini, tapi kau tetap kelihatan sempurna dimataku.

Segalanya jelas nyata kini, tiada lagi api marah yang menyala dalam jiwanya, tiada lagi rasa terkilan yang bertunas dalam perasaannya, tenang jiwanya langsung tak pernah terfikir untuk merasai ketenangan seperti hari ini.

Angin tolong tiupkan awan hitam itu pergi jauh dariku. Matahari tolong sinari cahayamu terangkan hariku. ALLAH terima kasih atas kurniaan yang tak ternilai ini. Terima kasih hadirkan aku ujian yang berat ini, kerana mengajarkan aku erti sebenar kasih dan cinta.

No comments:

Cerita-cerita yang dinukilkan adalah antara kisah-kisah yang terjadi di sekeliling ini. Sekadar berkongsi suka-duka kepada semua. Yang baik sama-sama kita jadikan tauladan, dan yang buruk itu kita ambil dan jadikan sebagai sempadan.

Segala cerita dalam ni adalah karya asal, sebarang copy adalah tidak dibenarkan. Mana-mana kisah yang mungkin ada menyinggungkan perasaan semua tu di luar sedar saya, salam kemaafan saya hulurkan terlebih dahulu.


Salam dari saya,