Sunday, October 9, 2011

Cerpen : Karya Terakhir


Rintik-rintik hujan itu semakin deras menimpa kepalanya yang dilitupi selendang ungu itu. Lama dibiarkan dirinya dibasahi hujan. Buntu...!! Sekian lama karyanya terbengkalai, tanpa penamat tanpa noktahnya.

Keluhan nafas berat dilepaskan sekali lagi. Ah.. best juga sesekali bermain hujan, serentak bibirnya mengukir senyum menyetujui bicara hatinya sendiri. Reya Fatiha terus tenggelam dalam dunia sendiri. Tak sedar berapa lama dia membasahkan dirinya dengan air hujan, cuma yang pasti... dia hanya masuk kedalam rumah bila badan terasa mula menggigil kesejukan dek siraman air hujan.

Acchooo....!!! Untuk kesekian kalinya dia terbersin. Kulit putih wajahnya mula kemerahan, suhu badannya juga mula membahang. Kak Nah di sisi hanya mampu mengeleng-gelengkan kepalanya. Itulah siapa suruh main hujan macam budak-budak. Tengok sekarang dah demam, siapa yang susah? Diri sendiri juga. Dahlah suruh makan ubat tak mahu. Macam budak-budak betul makan ubat pun takut. Bebel wanita lewat 30an itu di dalam hati..

"Reya, kita pergi klinik ye?" Usul Kak Nah, bila melihat keadaan gadis itu betul-betul tak bermaya. Timbul juga riak risau diwajahnya.

"Tak naklah Kak Nah, alah Reya ok, Reya nak tidur, nanti bangun karang sure Reya dah sihat balik.." pantas gadis itu menolak usul cadangan pembantu rumahnya.

"Alah bukannya Kak Nah tak tahu yang Reya tu takut nak jumpa doctor. Takut nak makan ubat. Kalau macam tu Kak Nah telefon Dr Fakri je lah suruh dia datang tengok Reya ek?"

"Alah tak payah lah kak Nah, Reya ok, tengok ni..." sambil dia cuba untuk mendudukkan dirinya, tapi hakikatnya kepala yang sakit memberat tidak memungkinkan dia untuk duduk.

"Yelah tu ok, nak duduk pon tak mampu tu kata ok tak apa-apa, tak ada tak ada.  kak Nah nak telefon Dr Fakri juga... atau... kalau Reya tak nak dengan Dr Fakri, kak Nah suruh Pak Lan hantar kamu ke hospital je mahu??" Kali ni dia bertegas. Tak peduli gadis itu mahu atau tak, kuasa veto dilancarkan.

"Alahai kak Nah... Suka hati kak Nahlah" akhirnya dia mengalah. Malas mahu berdolak-dalik. Dia rasa sangat letih. Apa yang di mahukan pada waktu ini hanyalah tidur tanpa diganggu oleh siapa-siapa pun.

*********

"Kenapa?? Call daripada siapa tu dear?" Datin Khairun An-Nissa bertanya sebaik sahaja melihat suaminya meletakkan ganggang telefon.

"Call dari Kak Nah, si Reya demam katanya, tapi dia dah suruh doktor kita rawat si Reya tu. Alah budak tu dah besar, lagipun demam biasa jea, tak perlulah risau.." ujar Dato' Hanzalah

Datin Khairun An-Nissa hanya mengangguk, setuju dengan kata suaminya, yelah takkan sebab semata-mata demam Reya yang tak seberapa tu mereka perlu bergegas harus pulang ke Kuala Lumpur dan membatalkan beberapa meeting penting.

"Budak degil tu, ikut perangai siapa entah. Suruh belajar tak nak, suruh kerja kat syarikat kita pun tak nak, lepas tu jadi penulis yang entah apa-apa kerjanya. Pendapatan pun tak menentu, masa depan pun belum pasti terjamin. Hai dahlah ingatkan budak tu buat darah tinggi I naik saja. You dah siap ke honey? Kalau dah jom kita pergi." Sambungnya lagi.

Mereka berpimpinan tangan keluar dari kamar vip hotel itu. Malam ini mereka ada janji untuk dinner bersama beberapa client penting syarikat.

Memang jika diingatkan perangai anak tunggalnya itu bikin dia pusing kepala, degil dan hanya tahu ikut kata hati sendiri saja. Dato' Hanzalah mengetap bibir.


**********

Dia membuka mata perlahan-lahan. Dipandang sekeliling kamar tidurnya. Sepi seperti selalu. Sentiasa dia mengharapkan kehadiran mamanya di sisi setiap kali dia mencelikkan mata, menghadiahkan kucupan kasih, terutama jika dalam keadaan kurang sihat seperti ini... Aduyy touching lah pulak aku ni. Tukas hati kecilnya.

Perlahan didudukkkan tubuhnya. Terasa lebih segar dari semalam. Ini mesti kesan dari suntikan doktor tu. Dia menggeleng-gelengkan kepala bila teringatkan peristiwa semalam. Betapa kuat rontaannya tatkala terpandang jarum suntikan di tangan doktor awal 50an itu dan yang menjadi bertambah hairan dia yang pada mulanya lemah, boleh meronta dengan kuat, sehingga Pak Lan terpaksa menenangkan dirinya yang sememangnya sangat takutkan jarum itu... Ekekeke.. lawak pun ada jugak aku ni, penakut bebenor..

Pintu bilik dikuak dari luar, kelihatan Kak Nah melangkah masuk sambil menatang dulang yang berisi semangkuk bubur nasi dan segelas susu. Sebuah senyuman terukir di bibir wanita itu.

"Selamat pagi Reya, dah sihat?" Tanya wanita sambil tangan mendemah dahinya.

"Hurm.. panasnya dah kurang, Reya ni breakfast, makan tau..Semalam pun Reya makan sikit jea, kalau tak makan macam mane nak cepat baik, badan tu takda tenaga, bla..bla..pot..pet.."

"Nanti Reya makan ek kak, Reya nak mandi dulu.." pantas dia memotong cakap pembantu rumah itu sebelum bebelannya bertambah panjang. Aduyy boleh bernanah telinga ni kalau hari-hari kena leter. Mengalahkan maknenek kak Nah ni.. pot pet pot pet semedang.

"Ha... semalam akak dah call dato' beritahu yang Reya demam.."

"Alah akak beritahu ke tak ke sama saja. Mereka bukannye pedulikan Reya ni, apa yang penting bagi diaorang adalah bisnes, kerja, syarikat, client, duit...Itu sajalah, agaknya Reya tak penting bagi mereka." Potongnya, berjauh hati nadanya. Baginya memang benar ke dua orang tuanya hanya mementingkan harta benda. Dia yang satu-satunya zuriat keluarganya pun jarang dipedulikan.

********

Dato' Hanzalah tersenyum lebar, gembira. Syarikatnya berjaya mendapatkan tender bernilai RM2 juta dari Angsana Holding. Satu lagi kejayaan berjaya dilakar oleh syarikatnya.

Nampaknya dia perlu menangguhkan dulu kepulangannya ke Kuala Lumpur, urusan di sini lebih penting untuk di selesaikan.

Tubuhnya disandar perlahan pada sofa yang terdapat di situ. Kepalanya di dongak memandang siling bilik itu. Lama dia merenungnya sehinggalah dia terasa ada tangan mengurut lembut bahunya.. Bibirnya mengukir senyum kini..

"Hai dear, happy nampak? Ada apa-apa ke?" soal Datin Khairun An-Nissa. Hairan melihat sang suami begitu ceria, senyum tak lekang-lekang dari bibir.

"Mana tak happy honey, benda yang kita idam-idamkan kini dalam genggaman." Beritahunya sambil mengukir senyum lebar.

"Maksud you, syarikat kita dapat tender dari Angsana Holding tu...???" Soalnya seolah tak percaya.

"yup.."

"Wah... thanks god..tahniah sayang." Sebuah kucupan dihadiahkan ke pipi suaminya itu sebagai tanda sokongan.

"Nampaknya kita kena tangguhkan dulu untuk balik KL nanti honey"

"I tak kisah dear..I ikut you.."

********

"Reya, tak tidur lagi? Kan Reya tak sihat, tak payah nak paksa diri Reya tu.." Tegur Kak Nah apabila melihat Reya Fatiha masih lagi berteleku di meja kerjanya mengadap laptop yang terpasang.

"Kejap lagi Reya tidurlah kak, nak siapkan sikit lagi, lagipun dateline dah dekat ni kak. Tengah ada idea ni baik Reya siapkan novel ni dulu.

"Kalau macam tu kak Nah tidur dululah selamat malam Reya.." ucapnya, Kakinya diatur menuju ke biliknya yang berada di tingkat bawah.

"Selamat malam kak Nah.." balas Reya.

"Oh ye Reya, sebelum kak Nah terlupa, tadi datin telefon, papa dan mama Reya tak jadi balik esok, katanya munkin paling cepat mereka balik pun minggu depan."

"Alah macam tak biasa pula kak Nah ni, biasanya kan begitu mereka tu, kata saja nak balik hari ni tapi belum tentunya balik hari ni," ujar Reya Fatiha selamba. Sudah biasa dah dengan perkara begitu.

Matanya kembali di tumpukan pada skrin laptop yang masih terpasang. Matanya laju membaca baris ayat demi ayat petikan dalam novel "TakdirNya Begitu" karya terbarunya itu. Kebuntuan lagi kini. Adeys penamat bagaimana perlu aku noktahkan dalam novel kali ni? Dia bergumam sendirian.

Tinggal beberapa bab terakhir sahaja untuk novelnya itu selesai.....

Sarafeena Ilyana mengukir senyum tatkala matanya bertemu pandang pada wajah lelaki kesayangnya itu. Tak sangka dalam benci ada sayang, dalam benci ada nada rindu yang mula berlagu.

Ikmal idham mengatur langkah ke arah gadis kesayangannya, kegembiraan, kepuasan, segalanya bercampur menjadi satu bila insan yang disayangi hampir dimiliki.

Sebuah kereta meluncur laju tiba-tiba dan pemandunya seolah tidak nampak batang tubuh Ikmal Idham yang sedang ingin melintas jalan, dan akhirnya.... sebuah dentuman kuat kedengaran, bersama itu... pandangan mata Sarafeena Ilyana menjadi gelap, dunianya menjadi sunyi sama sunyi dengan dunia Ikmal Idham kini. Tubuh lelaki itu melayang jatuh di bahu jalan behampiran tubuh Sarafeena yang terkulai pengsan kerana terkejut......

Reya Fatiha tersengguk-senguk kini. Rasa mengantuk yang menyerang membuatkan taipannya mula perlahan dan akhirnya terhenti. Tanpa dapat ditahan kepalanya terus melentok di atas meja kerjanya. Akhirnya dia terlena dan hanya sedar bila terasa bahunya di goyang oleh Kak Nah mengejutnya untuk solat subuh.

**********

"Huh, macam mana boleh jadi macam ni hah? Kan hari tu dah janji yang Angsana holding dah setuju bagi tender kat syarikat kami?" Melengking suara Dato' Hanzalah

Datin Khairun An-nissa menelan liur. Kecut melihat perihal suaminya yang marah ketika bercakap dengan telefon.

Ganggang telefon dihempas kasar, serentak itu tubuhnya juga di hempas kasar ke sofa yang terdapat di situ. Hembusan nafas kasar juga dibebaskan.. Huh tulah dia manusia pantang disogok sikit, mulalah gelap mata lepas tu lupe janji. Bebelnya dalam hati.. bengang tak terhingga rasanya.

"Honey siap pack barang, kita balik KL hari ni.." Setelah hmpir 15 minit mendiamkan diri akhirnya Dato' Hanzalah membuat keputusan. Yelah buat apa berlama di sini, bukannya dapat pun tender tu. Baik balik KL selesaikan kerja-kerja yang melambak kat pejabat tu..

Datin Khairun An-Nissa akur, lagipun dalam keadaan begini dia lebih suka diam, membiarkan suaminya tenang dulu, kalau tak nanti tak pasal-pasal dia yang kena maki. Bukan dia tak arif dengan perangai suaminya yang sedikit berangin itu.

************

"Reya oi..... bangunlah.... Dah tengah hari ni, aduy liatnye nak bangun anak dara sorang ni. Itulah malam tadi tidur pukul berapa entah.." bebel kak Nah. Penat mengejut dari tadi tapi tak ada tindak balas langsung. Ceh.. budak bertuah.

Reya Fatiha merengek dalam tidurnya.Bengang bila lenanya diganggu. KakNah hanya mengeleng-geleng kepalanya.

"Reya, kejap lagi mama, dan papa Reya balik. Cepat bangun, mandi, nanti karang membebel pulak dato' tengok anak daranya bangun meninggi hari "

"Alah...kak Nah ni, Reya ngantok lagilah...." dia menjawab dengan malas. Matanya masih terpejam, sukar untuk dibuka.

"Tulah malam tadi siapa suruh tidur lewat... Hah tu loceng pintu bunyi kak Nah turun dulu tengok siapa datang. Bangun cepat, nanti boleh makan sama-sama dengan mama dan papa Reya.

Hisy siapa lak yang datang ni... Bbelnya dalam hati. Pantas kakinya diatur ke pintu utama, melihat siapakah gerangan si penekan loceng.

Pintu utama dibuka dan dia terkejut melihat susuk tubuh Dato' Hanzalah dan Datin Khairun An-Nissa tegak berdiri di situ. Wajah Dato' Hanzalah mencuka, menyebabkan rasa kecut mula terbit di dalam hatinya... Huh budak Reya ni dah bengun ke belum? Silap-silap kena leterlah nanti... Gumamnya dalam hati.

"Err... selamat pulang dato', aatin.."

"Hurmm... kak Nah nanti suruh Pak Lan bawak barang-barang saya ni masuk" arah Datin Khairun An-Nissa

Kak Nah hanya mengangguk. Fuh nasib baik aku dah siap masak tadi. Dia menarik nafas lega, perlahan kakinya di atur langkah membuntuti langkah majikannya..

***********

Reya Fateha menghempaskan tubuhnya pada sofa yang terdapat di dalam biliknya. Dia bengang mengenangkan peristiwa sewaktu makan tengah hari siang tadi.

Salah ke jadi penulis? Hina sangat ke kerja seorang penulis tu? Dia tak faham kenapa keluarganya tak suka dia menjadi penulis. Huh zaman sekarang bukan macam dulu, menulis pun boleh buat duit apa... lagipun aku tak susahkan siapa-siapa pun. Aku tak mintak pun duit mereka.

"Huh ape nak jadi dengan kamu ni Reya hah? Kerja tak tentu masa. Anak dara apa bangun matahari dah tegak kat atas kepala?..." Dato' Hanzalah mula membebel bila melihat kelibat anak gadisnya melangkah turun dari tangga...

Dia hanya diam, malas menjawab bebelan itu, kalau menjawab karang dikatakan melawan nanti jadi anak derhaka lah pulak... Sabarlah hati.

"Papa nak lepas ni Reya masuk office tolong papa. Papa tak nak Reya jadi penulis lagi, itu pun kalau Reya masih rasa Reya tu anak papa. Masih hormat papa.. papa dah sediakan segalanya tinggal hanya Reya menyambungkan legasi papa jea.." arahan tegas dari Dato' Hanzalah.

"Tapi papa......"

"Tak ada tapi-tapi, kalau Reya masih anggap kami ni papa dan mama Reya, ikut apa yang papa suruh" Datin Khairun An-Nissa pula menyampuk belum sempat bicaranya habis, kata-katanya telah dipotong..

Biasanya begitulah... Jarang sekali mamanya membelai dia, kata-kata papa semua betul, beruntunglah papa dapat isteri yang sentiasa patuh dengannya..

"Reya akan masuk office macam apa yang papa harapkan, tapi bagi Reya masa siapkan karya Reya yang terakhir dulu.. then lepas ni Reya promise Reya takkan menulis lagi.." akhirnya dia mengalah. Ikut sajalah apa yang mereka nak selagi mereka masih ada, putus hatinya.

"Ok...papa bagi Reya 2 minggu untuk siap kan kerja Reya, lepas tu no more excuse ok.."

Reya Fatiha mengeluh lagi. Bosan dengan kerenah kelurganya yang jarang nak faham apa minatnya. Nampaknya hidup aku ni sampai ke tualah diatur oleh mereka, itu pun kalau sempat tualah. Dia mengomel.. 2 minggu mana cukup nak siapkan cerita tu. Dahlah aku tengah tak berapa nak ade idea ni. Teringat lagi peristiwa siang tadi menyebabkan hatinya gusar.

***********

Tinggal lagi 2 hari lagi tempoh masa yang diberikan oleh papanya. Karyanya juga masih seperti hari-hari yang lalu, tiada perubahan. Reya Fatiha termenung di balkoni biliknya. Berdiri memandang langit yang dihiasi jutaan bintang malam, cantikk... desis hatinya. Biasanya kalau dia dalam kebuntuan dia suka melihat bintang ciptaan Yang Maha Agung. Memang tiada tandingan dan punya fungsi tersendiri.

Tiba-tiba melintas sesuatu difikirannya.. Ok gak kalau aku akhirkan novel aku macam tu, asyik buat happy ending saja, sesekali tukar sad ending lah pulak. Dia memetik jari. Mari sambung buat kerja. Hatinya berlagu riang, idea datang secara tiba-tiba alhamdulillah.

Kamar sepi itu kini menjadi rumah keduanya. Hampir saban malam dia menjadi penghuni di situ. Menunggu si kekasih bangun dari lenanya yang panjang. Sarafeena Ilyana memandang sayu wajah kekasih hati yang masih lagi enggan mahu sedar dari lenanya.

Segalanya terlalu pantas berlaku di depan matanya. Mimpi ngeri sepanjang hayat rasanya bila melihat insan yang paling dicintai ditabrak tanpa belas dan pemandunya sedikit pun tidak mahu berhenti membantu. Kejam sungguh orang itu, langsung tak ada sifat tanggungjawab, sungutnya dalam hati.

Teringat detik-detik waktu dulu, tika zaman mereka bermusuh-musuhan, segalanya ade yang tak kena antara mereka. Pantang bersua pasti ada sahaja benda yang nak digaduhkan. Pernah sekali akibat terlalu geram sangat dengan perangai Ikmal, Sarafeena secara curi-curi telah menuangkan sebotol minyak cap kapak ke dalam botol minuman Ikmal dan akibatnya lelaki itu terpaksa mc 2 hari kerana sakit perut. Aduyy jahatnya aku waktu dulu.. Sarafeena mengeleng-gelengkan kepala.

Ikmal juga tak kurang juga nakalnya tika itu, dia yang sememangnye suka memakai kasut tumit tinggi telah menjadi mangsa balas dendam dek perpuatannya hari tu. Ingat lagi hari tu dia ke surau, ingin menunaikan solat zohornya dan tanpa diduga Ikmal mencuri kasutnya dan mematahkan tumitnya. Akibatnya sebelah lagi kasutnya juga tepaksa dipatahkan tumitnya... Hampeh betul mamat tu. Sarafeena tergelak kecil mengingatinya..

"Ik.. bilalah Ik nak sedar ni, Ik tak kesian ke kat Sara ni, Ik bangunlah Sara rindukan Ik. Rindukan gurauan Ik, rindu nak gaduh, nak kena sakat dengan Ik" Sarafeena berbisik lembut ke telinga Ikmal. Mengharap sangat yang lelaki itu mendengarnya.

Melihat seolah tiada tindak balas, lelaki itu masih lagi terbaring sayu menyebabkan air matanya mengalir lagi. Hiba sungguh hatinya melihat penderitaan insan kesayangannya. Terpaksa bertarung dengan kesakitan akibat kecuaian manusia lain.

Dia menarik nafas panjang... Ah tiada guna aku dok menangis meratap begini. Tiba-tiba terbit sebuah semangat baru. Sarafeena bingkas bangun ingin menuju ke bilik air, mengambil wuduk, ingin menunaikan solat hajat memohon dipermudahkan segalanya yang sukar baginya.

"Ya ALLAH aku mohon kepada mu Tuhanku yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Yang sentiasa mendengar dan mengetahui bicara hati ini. Permudahkan apa yang sukar bagiku Ya ALLAH. Ringankalah beban yang ditanggung oleh teman ku ini Ya Tuhan.. Ya ALLAH andai aku di beri pilihan redha aku menggantikan tempatnya. Berkongsi sakit yang ditanggungnya, Hanya kepadaMu aku memohon dan meminta...." antara doanya dalam solatnya tadi, moga-moga doa aku dimakbulkan.

Sarafeena menutup mulutnya menahan kuap, rasa mengantukknya datang secara tiba-tiba. Perlahan-lahan dia melangkah menghampiri katil Ikmal, dan melabuhkan duduknya di kerusi yang terdapat di situ. Kepalanya diletakkan diatas katil dengan berbantalkan lengan. Beberapa ketika kemudian dunianya menjadisunyi, lenanya membawanya ke alam lain..........

Mata yang semakin memberat membuatkan penulisannya terhenti, sekali lagi Reya Fatiha terlena di depan meja kerjanya..Zzz

Ya ALLAH budak bertuah ni. Tidur dengan laptop yang terpasangnya, dengan lampu bilik tak dimatikan. Bebelnya perlahan

"Reya....ohhh... Reya... wake up.. Kalau ya pun nak tidur, pergilah tidur betul-betul. Macam tak ada katil nak tidur atas katil tu." Bebel Datin Khairun An-Nissa. Dia yang terjaga tengah malam kerana berasa dahaga itu berasa terpanggil untuk menjengah kamar anaknya yang masih terang lampunya.

"Tulah sebab daddy kamu tak suka kamu jadi penulis. Kerja tak tentu masa, kesihatan pun tak terjaga..." leter wanita itu lagi.

*************

Hari ini hari terakhir tempoh di berikan oleh papanya. Esok dia kena masuk pejabat dan memulakan kerja... Huhuhu mesti bosan, keluhnya...

"Hai jauh termenung Reya, fikirkan apa ni??" Dia tersentak ditegur tiba-tiba. Pantas dia menoleh ke arah suara yang menegur.

"Tak ada fikir apa-apalah papa, cuma rase gementar first time nak masuk office esok.." semaksimum mungkin dia cuba memaniskan wajahnya menghadap papanya.

"Alah nanti lama-lama oklah tu. Papa gembira sebab akhirnya Reya sudi gak kerja kat syarikat kita tu, yelah nak harapkan siapa lagi melainkan Reya. Reya pun satu-satunya waris papa..." wajah Dato' Hanzalah nampak begitu riang hari ni. Gembira anak yang selama ini berkeras memilih jalan sendiri akhirnya menuruti kehendaknya..

"Ya papa Reya akan cuba jadi staff yang terbaik..."

"Papa yakin Reya akan jadi contoh pada staf-staf yang lain nanti. Selama ni papa risau, harta-harta papa, syarikat-syarikat papa tak ada siapa yang akan jaga. Yalah Reya langsung tiada minat pada syarikat, yang Reya tahu menulis yang entah apa-apa tu."

"Maafkan Reya sebab menyusahkan dan menimbulkan kerisauan papa.." Tak apalah tugas seorang anak adalah membahagiakan kedua ibu ayahnya. Berkorbanlah untuk sementara ini, pujuk hati kecilnya pula.

"Hai rancak dua beranak berbual, mengumpat mama ke?" Datin Khairun An-Nissa yang tak tahu dari mana munculnya menyampuk. Hairan melihat kemesraan 2 beranak itu. Biasanya pantang berjumpa, ada saja yang ditelagahkan.

"Uikk tak ada maknanya nak mengumpat mama, kan papa?"

"Betul-betul bukannya ada faedah pun nak mengumpat honey tu. Buat kurus pahala jea.." sokong Dato' Hanzalah.

"Aikk sejak bila jadi member baik kalian berdua ni? Pelik bin musykil mama..."

"Ekekeke mama ni... baru nak mesra-mesra ni..." hurm kan best kalau hari-hari begini, sentiasa ada masa untuk bersama, bergurau senda bergelak ketawa. Inilah kehidupan yang aku rindukan sejak dari dulu. Reya Fatiha tersenyum manis kearah ke dua ibu bapanya.

"Dah jom masuk, hari ini mama sendiri yang masak untuk dinner kita tau."

"Wahhh... mama masak hari ni, macam tak percaya je Reya"

Suasana ceria terus terbawa sehingga ke ruang makan. Memang lain daripada hari-hari yang lepas. Itulah yang dirasakan kini. Senyum mekar masih tak lepas dari bibirnya, gembira segala rasa pun ada...

***********

Matanya masih lagi ralit mengadap skrin laptop. Hari ini dia mengambil keputusan menyiapkan novelnya itu. Jari jemari mula menari di papan kekunci, menaip babak-babak akhir dalam karya terakhirnya mungkin...

Ombak didada Ikmal mula mengencang, Sarafeena di sisi terlalu diulit lena sehinga tidak sedar keadaan Ikmal Idham tika itu. Mungkin sudah sampai masa untuk lelaki itu untuk pergi setelah sekian lama terlantar tak sedarkan diri. Bertarung dengan derita dan kesakitan.

Garis-garis hijau yang tepapar di skrin mula mendatar dan akhirnya butang merah yang terdapat di situ mula menyala. Sarafeena masih seperti tadi terlentuk lena di sisi katil.

Pintu wad terbuka secara tiba-tiba. Kelihatan beberapa orang jururawat dan doktor menerpa masuk. Mencuba membantu sedaya mungkin, mengembalikan denyutan jantung Ikmal.. Dalam keadaan bertungkus lumus itu, seorang jururawat cuba mengejutkan Sarafeena, tetapi tetap tiada tindak balas.

"Doktor..." akhirnya jururawat itu memanggil salah seorang doktor yang terdapat di situ. Meminta melihat keadaan Sarafeena pula.

"Cik..." Doktor itu menggoyangkan lembut tubuh Sarafeena. Tetap tiada tindak balas dan akhirnya goyangan dikuatkan, menyebabkan kepala gadis itu terlentuk. Rasa hairan mula terbit dalam hati doktor itu. Perlahan pergelangan tangan Sarafeena dicapai, denyutan nadi dirasa.. tiada denyutan...! Wajah doktor itu mula terkejut. Masih tak percaya. Jari telunjuk diletak di hidung pula, tiada terasa akan hembusan nafas.

"Cik ni dah tak ada." Akhirnya dia membuat pengumuman setelah pasti tentang keadaan Sarafeena.

Suasana menjadi sepi seketika, sepi-sesepinya, apakah ini? Masing-masing bungkam, terkejut menghadapi situasi yang tidak diduga ini sehinggalah...

"Doktor jantungnya berdegup semula." Jerit seorang jururawat, semerta semua perhatian dialihkan kepada Ikmal.

Mereka semua berpandangan. Innalillahi wainna ilaihi rajiun... yang sihat telah pergi, yang sakit kini kembali, macam berganti nyawa.. Itulah yang tercetus dalam hati masing-masing kini.

3 minggu berlalu,
Dengan masih berkerusi roda, Ikmal Idham gagahkan diri untuk melawati pusara kekasih hatinya itu. Cinta mereka terpisah dengan takdir kini. Cinta aku tetap akan terus kekal walaupun kau telah lama bersemadi di situ...bisiknya perlahan. THE END~

Reya fatiha tersenyum puas. Akhirnya dia berjaya juga menyiapkan karyanya sebelum esok. Dia puas hati, pertama kali buat penamat yang sedih.. mungkin tak mengapa kut.

Dia bangun perlahan selepas puas dengan hasilnya, suis laptop dimatikan selepas kerjanya disimpan..

Mengantuknya aku.... Kena bangun awal dah lepas ni sebab kena masuk ofis.. Malasnya... memang dia tak suka kerja ikut masa.

Kakinya diatur menuju ke bilik air, kena berwuduk sebelum tidur, barulah dapat tidur dalam berkat. Dia mengomel perlahan..

**********

"Mana Reya, dah pukul berapa ni tak turun-turun lagi? First day takkan nak lewat-lewat masuk pejabat.." soal Dato' Hanzalah. Hairan dah jam 8 pagi tapi kelibat Reya Fatiha masih tak kelihatan.

Datin Khairun An-Nissa menjungkit bahu tanda tak tahu.

"Kak Nah tolong tengokkan Reya kat atas tu.. " Dia memberi arahan.

"Baik Dato'" pantas langkah kaki diatur menuju ke tingkat atas. Pintu bilik Reya Fatiha ditolak, tak berkunci dan kelihatannya Reya Fatiha masih lagi berbaring berselimut di atas katilnya..

"Ya ALLAH anak dara sorang ni tak bangun lagi, dah pukul berapa ni, tak nak masuk ofis ke?" Kak Nah mula berleter,

Tubuh itu digoyangkan tetapi langsung tiada tindak balas. Tidur mati budak ni, sungutnya dalam hati. Eh kata orang kalau nak kejutkan orang tidur kena sentuh kakinya. Perlahan disentuhnya ibu jari kaki Reya... sejukkk...!! Membuatkan darahnya berderau, Diperhatinya pula pada wajah Reya Fatiha, pucat! Perlahan dengan tangan yang menggigil dia meletakkan jari telunjuknya pada hidung Reya Fatiha. Cuba merasai hembusan nafas gadis itu.

"Dato'.............!!!!!!!!!!!!" Hanya itu yang mampu dilakukan sebelum dia sendiri rebah kerana terkejut yang teramat sangat.

***********

"Dahlah honey, dah sampai masanya. Lepaskan Reya pergi dengan tenang. Halalkan segala air susu yang dia telah minum.." Pujuk Dato' Hanzalah pada Datin Khairun An-Nissa yang tak henti-henti mengalirkan air mata sedari tadi.

Wajahnya nampak tenang, namun dalam hati dia menangis. Kesal yang tak sudah mengenangkan jarang dia menghabiskan masa bersama anak itu. Kini dia sudah tiada. Terasa kehilangan yang teramat sangat.

Semalam mereka bergurau dengan ceria, semalam mereka bermesra dengan gembira, tetapi hari ni segala-galanya tinggal kenangan, yang semalam takkan pernah wujud lagi.

"Papa janji Reya, papa akan terbitkan Novel TakdirNya Begitu untuk Reya. Maafkan papa sayang sebab tak pernah menyokong Reya semasa hayat Reya ada" bisiknya perlahan pada pusara anak tunggalnya itu..

Saturday, September 17, 2011

Cerpen : Kuih Makmur Untuk Adik

Pagi itu lain daripada hari-hari yang biasa. Riuh, persediaan menyambut Aidilfitri semakin rancak. Kak long sibuk memanjat kerusi. Menukar kain langsir lama kepada yang baru. Abang ngah pula sibuk bermandi peluh, dengan cat berwarna jingga terpalit di hidung dan wajah. Isk abang ngah ni. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Kerja-kerja saat akhir nampaknya dilaksanakan penuh dedikasi oleh abang ngah. Menukar warna rumah dari coklat kusam ke warna jingga ceria, nampak berseri gitu.

Kak lang yang sedang sarat mengandung tujuh bulan kelihatannya bersandar lelah pada dinding rumah, dalam pada itu tangannya tetap ligat menganyam ketupat. Tak mahu kalahlah tu...

Achik tersenyum melihat suasana-suasana yang terhidang di ruang matanya itu. Sesungguhnya dia sangat bahagia menikmati suasana seperti kala ini.

Eh mana emak ya? Tak nampak pula di ruang tamu. Ayah seorang sahaja tu. Biasanya dimana ada ayah di situ ada emak. Merekakan pasangan bahagia, ke mana sahaja pasti berdua. Jarang berpisah haluan.

"Emak mana ayah?" dia bertanya.

"Ke kedai hujung simpang sana, katanya mahu beli bahan-bahan untuk buat kuih" jawab ayah acuh tak acuh.

"Lah ayah tak temankan emak ke? Kenapa biarkan emak pergi seorang diri?" risau pula hatinya.

Emak bukannya sihat sangat. Lututnya pun bukannya kuat sangat untuk dibawa berjalan jauh. Maklumlah sudah dimamah usia. Badan pun sudah tak sekuat mana, seiring dengan usianya menginjak ke waktu emas.

"Alah bukannya jauh pun, lagipun ayah ni letih, penat memanjat pokok kelapa pun tak hilang lagi, macam mana nak temankan emak kamu tu"

Achik terdiam mendengar jawapan ayah itu. Ada logiknya juga. Ayah tentu letih, penat, maklumlah musim-musim raya ni memang banyak tempahan kelapa untuk diguna membuat santan masak lemak, rendang, kuah lodeh. Pendek kata semua masakan yang melibatkan santanlah. Itu belum lagi dengan permintaan daunnya untuk dibuat ketupat.

Anak muda sekarang ni pun bukannya ramai yang tahu memanjat kelapa. Silap perkiraan boleh terjatuh, cedera tak pasal-pasal beraya di hospital. Rakan-rakan seangkatan dengan ayah hanya tinggal satu dua sahaja yang masih sihat dan gagah meneruskan kerja ini, selebihnya ada yang sudah uzur dimamah usia dan ada juga yang sudah pergi menyahut panggilan ilahi.

Emak ni, kuih apa lagilah yang nak dibuatnya. Bukan kuih dah banyak yang dibeli ke? Kalau dihitung kira rasanya dah lebih dari 20 jenis kuih yang ada dekat dapur tu. Seorang beli 5,6 jenis, dicampur sekali maka banyaklah jadinya. Achik mengomel perlahan, terkumat kamit mulutnya.

"Hoi achikkk!!" sergah kak long.

"Opocot!!" terlepas penyapu yang berada ditangannya.

Dia mengurut dadanya terkejut. Bertuah punya kak long. Nasib terlepas jatuh, kalau tersesah ke muka dia tadi baru padan dengan muka. Biar beraya dengan muka bertanda. Bibir diketap, matanya menjeling geram pada kak longnya itu dan kak long seperti biasa hanya mempamerkan riak muka tak berdosanya. Cis!

"Apa kak long ni main sergah-sergah orang?" marah.

"Anak dara apa buat kerja sambil termenung? Dah tu bercakap sorang-sorang, alamatnya sampai ke rayalah rumah ni masih tak bersih-bersih sawangnya" kak long membebel sinis.

"Mana ada termenung orang berfikirlah.."

"Alasan, teringatkan boyfriendlah tu"

"Mana adalah, orang mana ada boyfriend"

"Alah achik malu-malu pulak dia. Eh awak tu bukan budak-budak lagi. Dah nak masuk 26 tahun pun. Kalau berkahwin, anak pun dah boleh ada 2 tau"

"Dah-dah kak long, jangan nak mengarut ok, orang tak puas lagi hidup membujang tau" rimas, kadang-kadang tu dia hairan kakak yang seorang ni suka sangat menggiat dia dengan usikan sebegitu.

"Tak puas membujang lagi konon. Alasanlah tu. Sebenarnyakan tak mahu nak berpisah dengan emakkan? Eh kak long dulu umur 22 dah kahwin tau. Orang dok sibuk kelek buku kak long dok sibuk kelek baby tapi dapat gak habiskan degree tau."

"Huh kak long tu memang gatal, emak dengan ayah hantar belajar suruh dia cari ilmu tapi dia pergi cari cinta"

"Ewah-ewah sedap mulut kata orang gatal. Eh abang long Naim kau tu yang gatalkan kak long tau"

"Samalah je tu 2x5"

"Eh-eh emak mana?"

"Ha jangan nak tukar topik pula ya kak long"

"Assalamualaikum.." kedengaran suara memberi salam.

"Waalaikumussalam" jawab mereka berdua serentak.

Hah panjang pun umur emak ni, baru saja disebut-sebut tentangnya.

Emak melangkah lelah memanjat anak tangga rumah kampung itu sambil mengibas-ngibas selendang tudung yang dipakainya.

"Emak ke mana tadi? Kenapa tak suruh abang Naim hantarkan?" soal kak long.

"Ke kedai, alah bukannya jauh pun, dekat hujung simpang sana tu je, boleh mak exercise sekali" sempat berlulucon emak.

"Emak-emak... kut ya pun mahu ke kedai, kamikan ada. Pergi sorang-sorang, kalau apa-apa jadikan susah" Dia membebel.

"Mak bukan apa achik, mak tak mahu susahkan kamu. Lagipun mak tengok kamu masing-masing sibuk. Tak ada apa-apalah, tengok mak dah balik pun ni"

"Mak buat apa ke kedai? Ayah cakap mak nak beli bahan-bahan buat kuih. Kuih apa yang mak nak buat? Bukan kami dah belikan banyak kuih ke?"

"Tak sama dengan kuih yang mak nak buat ni achik" jawab mak sambil mengulum senyum.

"Kuih apa mak?" soal mereka serentak.

"Kuih makmur, adik kamukan suka kuih tu" ujar emak sambil melangkah gontai menuju ke dapur.

Dia dan kak long berpandangan sesama sendiri mendengar jawapan emak itu. Biar betul.

*******

"Adikkkk oiii! masuklah nak. Isk budak bertuah ni, dah senja pun masih tak nampak pintu rumah lagi" emak mula membebel sambil bercekak pinggang memerhati adik yang masih leka dengan batang pancing buluh buatan tangannya.

"Kejap lagilah mak, lagi seekor je. Dapat seekor lagi, adik janji adik balik ya mak" laung adik membalas panggilan emak.

Kakinya berjuntai santai di titi jambatan kayu itu. Wajahnya begitu teruja, sesekali matanya menjeling pada baldi yang terletak disisinya yang dipenuhi beberapa ekor ikan itu. Ada ikan keli, puyu, tilapia, haruan dan lundu. Wah seronoknya nanti boleh suruh emak bakarkan ikan-ikan ni, boleh cicah sekali dengan air asam. Mesti lazat. Dia menjilat bibir sendiri membayangkan keseronokan menikmati hasil tangkapannya sendiri.

"Hah!!!" tiba-tiba dia disergah daripada arah belakang. Lambat-lambat dia menoleh dan alangkah terkejutnya sekujur tubuh lembaga putih tegak berdiri dihadapannya kini.

"Makkkk hantu parit!!!" jerit adik.

Zupppp.. laju adik berlari meninggalkan hasil tangkapannya itu. Tak sedar hantu itu sebenarnya hasil kerja kreatif abang ngah yang menggunakan kain telekung emak. Budak nakal memang perlu diajar begitu.

3 hari adik demam dek peristiwa itu.

*******

"Tak tidur lagi mak?" achik menegur.

Emak kelihatannya sedikit tersengguk di hadapan oven. Berkali-kali dipujuk agar meninggalkan kerjanya itu namun emak tetap juga berkeras

"Biarlah achik siapkan untuk emak, emak pergilah tidur dulu, emak mesti dah letih" dia menawarkan diri untuk menyiapkan kerja emak.

"Tak apalah achik, sikit saja lagi ni. Lagipun emak takut kalau kamu yang buat takut tak jadi pula hasilnya. Bantat, kamu tu kan berkerja dengan komputer saja hari-hari bukan macam emak ni berkerja dengan kuali periuk memasak tiap hari. Karang kalau silap perkiraan tak jadi pula kuih ni. Kesian adik..."

*******

"Adik janganlah usik anak burung tu" dia menegur kurang berkenan dengan perbuatan adik itu.

Mereka pasangan kembar tapi punya sikap yang berbeza, ibarat saling lengkap melengkapi. Adik lasak orangnya semua benda diredahnya berbeza dengan dirinya yang terlalu berhati-hati, lemah lembut, manja dan sering menjadi mangsa usikan adik. Pernah suatu hari...

"Achik.. achikk... adik ada hadiah untuk achik"

"Hadiah? Tiba-tiba mahu bagi achik hadiah, adik ni kenapa?" hairan dan muskil melihat wajah adik yang tersengih nakal itu.

"Alah terima sajalah, cepat tutup mata, lepas tu tadah tangan kanan ok"

"Err.." masih ragu-ragu.

"Cepatlah.." gesa adik lagi.

Akhirnya dalam keterpaksaan dia menutup mata menuruti kehendak adik. Sejuk... tapak tangan terasa sejuk. Eh apa yang diletak oleh adik itu.

Gopoh-gopoh dia membuka mata.

"Emakkk!!!" dia menjerit histeria. Seekor katak bulan elok terletak di atas tapak tangan kanan miliknya itu.

"Lailahaillallah, adikkk!!!" emak menepuk dahi, pusing kepala dengan perangai adik.

Keliling rumah emak mengejar adik. Tak cukup tanah adik berlari. Nakalnya adik memang menguji sabar.

"Alah adik nak bela anak burung tu. Buat macam anak angkat"

Lamunannya pecah dek mendengar jawapan daripada mulut adik itu.

"Adik nak bagi dia makan apa nanti? Adikkan manusia, bukannya mak burung pun nak buatkan dia jadi macam anak angkat adik. Adik ni ada-ada sajalahkan"

Tak sampai satu minggu akhirnya anak burung itu mati, sebabnya adik tak reti menjaganya. Adik... adik memang tak berbakat dalam membela binatang.

*******

Satu Syawal menjelang tiba,
Sanak saudara kunjung berkunjungan,
Sepuluh jari disusun sama,
Marilah kita bermaaf-maafan.

Cantik. Kuih yang disusun cermat dalam bekas kaca itu. Entah kenapa dalam banyak-banyak kuih yang ada hanya satu itu sahaja yang menarik minatnya. Kuih buatan tangan emak. Kuih Makmur kesukaan adik.

7 tahun lalu...

"Ayah..." tersedu-sedu dia langsung tak mampu meneruskan kata-katanya.

"Kenapa ni achik?" suara di hujung talian telah bertukar, nampaknya emak telah merampas talian daripada ayah.

"Adik.. adik mak.." putus-putus suaranya memberitahu.

"Ya ALLAH anak aku..." emak meraung dihujung talian dan dia terjelepok lesu, tidak peduli langsung pandangan orang yang lalu lalang di pondok telefon awam itu.

Adik degil, tak mahu dengar larangan achik. Dia menggetap bibir cuba menahan sendu. Dia benci dirinya! Semuanya salahnya kini.

"Adik ada kucing comellah.." dia menyiku pinggang adik.

Waktu itu mereka berjalan beriringan menuju ke stesen bas. Pulang daripada menghadiri kuliah, kononnya ingin berbuka puasa bersama keluarga.

"Mana??" melilau matanya mencari kucing comel yang dikatakan oleh achik itu.

"Itu" tunjuknya sambil menudingkan jari ke arah seberang jalan.

"Eeeii comelnya dia.. Adik rasa nak peluk-peluk je achik" puji adik.

Adik memang begitu, sangat sukakan binatang. Adik penyayang dalam pada sikapnya yang kasar itu.

"Alamak eh kucing tu nak melintaslah.." jerit adik, menggelabah tiba-tiba.

Wajah adik kelihatan cemas. Apatah lagi bila melihat kenderaan yang lalu bertali arus. Dia risau, tak mahu apa-apa terjadi kepada kucing comel itu.

Tiba-tiba adik meluru...

"Adik jangannn!!!" jerit achik menegah, namun sudah terlambat.

Dumm!!! hanya dentuman kuat menyambut tegahannya. Tubuh adik tercampak melayang jatuh berlumuran darah dilanggar sebuah kereta Proton Saga berwarna merah.

Kucing yang comel itu terselamat dalam pelukan adik. Achik rebah, pandangannya gelap terkejut melihat keadaan adik yang menyayat hati itu.

"Adik..."

Sedar-sedar dia berada di hospital, digagahkan dirinya untuk mengheretkan kakinya yang terasa longlai mencari telefon awam. Ayah dan emak mesti diberitahu, bisik hatinya.

"Termenung lagi di pagi raya? Memang betul agaknya saranan kak long ni, achik kena kahwin ni biar sembuh penyakit termenung suka mengelamun tu." Bahu terasa ditepuk perlahan.

Huh kak lang ni, mesti berpakat dengan kak long. Tengok muka kak long yang tersengih kambing tu dah tau dah mereka berdua ni berkomplot. Ceh!

"Hisy kak lang ni.. sama jelah dengan kak long tu, asal termenung je mesti dah angau, lepas tu suruh orang kahwin cepat-cepat, habis kalau emak tu termenung je, maksudnya emak tengah angaulah ya? Kena kahwin cepat-cepat? Dah tu ayah nak letak ke mana?"

Mengekek ketawa kak long dan kak langnya mendengar kata-katanya itu.

"Aduiii achik ni bercakap macam budak darjah satu, maksud kata kami tadi hanya sesuai dengan orang muda macam kamu tu, bukan macam emak.. apa da" tempelak kak long.

"Ye ke? Hehehe.. "

*******

"Emak..." terketar-ketar bibir pucat itu memanggil emak.

Emak yang terlena keletihan terpisat-pisat membuka mata. Gopoh mendekati adik.

"Adik, ya ALLAH alhamdulillah sedar juga kau nak" emak menadah tangan mengucap syukur. Gembira tidak terkira. Adik sedar juga setelah telantar koma hampir 6 hari lamanya.

"Emak.. aa.. ad.."

"Ya adik, emak ada di sini sayang" emak mengusap perlahan wajah pucat milik adik itu.

"Ad.. addi. aadik.. teringin nak makan kuih makmur mak" lambat-lambat, putus-putus suaranya memberitahu.

"Kuih makmur? Mana nak cari ya.. ha tak apa, nanti emak buatkan untuk adik ya? Lepas tu adik boleh makan puas-puas tau" balas emak dengan juraian air mata. Susah mana pun permintaan adik, dia tetap akan cuba tunaikan. Dia tak mahu kalau apa-apa terjadi, dia akan diselubungi kekesalan sepanjang hidupnya.

"Ayahnya.. jom temankan saya carikan bahan-bahan buat kuih untuk adik ni" ajak emak sambil menarik tangan ayah.

"Dik emak pergi ya? Nanti emak datang balik bawakkan kuih untuk adik ya?"

Adik hanya menggangguk lesu, sebelum memejamkan matanya kembali, kembali lena. Achik yang berada disisi menggenggam tangan kurus milik adik. Sejuk, rasanya. Dia mengambil alih tugas emak sementara emak tiada.

"Mana nak cari kedai yang buka pada raya-raya ni ayahnya?" risau, apa jadi pun permintaan adik mesti ditunaikan.

"Entahlah emaknya, ayah rasa kalau dalam kampung ni memang tiada, tapi kalau kedai dekat kampung seberang tu adalah. Kedai si Ah Wa sana"

"Ha kalau gitu mohlah kita ke sana ayahnya, lagi cepat kita pergi lagi cepat dapat apa yang kita cari, dapatlah saya siapkan kuih tu cepat-cepat"

Syukur, emak bersyukur dalam hati. Rezeki adik nampaknya, bahan dicari ada dikedai itu. Susah payah berbaloi rasanya bila dapat menyiapkan kuih itu.

"Adik.." emak menyeru perlahan memanggil adik yang kelihatannya lena.

"Adik... emak datang ni nak, emak dah bawakan apa yang adik minta, bangun nak, buka mata tu" panggil emak sekali lagi bila melihat tiada tindak balas daripada adik..

Lama barulah adik membuka matanya itu, begitu payah sekali kelihatannya.

"Adik, biar mak suapkan adik ya?"

Adik mengangguk kepalanya lambat-lambat menyetujui saranan emak itu.

Sebiji Kuih Makmur buatan tangan emak suakan pada adik dan lambat-lambat adik mengunyahnya sebelum menelannya penuh kepayahan. Hanya sebiji, selepas itu adik menggeleng-gelengkan kepalanya. Emak menyuakan segelas air, dan perlahan-lahan juga adik meneguknya. Sukar..

"Emak... adik sejuk" adu adik tiba-tiba.

Emak terdiam mendengarnya. Ayah membisu. Lain benar cara adik ni. Kak long, abang ngah, kak lang dan achik, masing-masing wajahnya bertanda persoalan. 

"Emak peluk adik ya?" sambil tangan membetulkan letak duduk selimut yang menutupi tubuh adik itu.

Emak duduk di birai katil. Memeluk adik penuh kasih. Membiarkan adik bersandar pada dadanya. Mengusap-ngusap bahu adik. Sesekali dia tunduk mengucup dahi adik.

Achik menggenggam jari jemari adik. Sejuk benar rasanya. Adakah ini petanda?? Ya ALLAH... hati digalau resah tiba-tiba.

"Adik mengantuk" adu adik lagi.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Mula menghidu kelainan pada bicara adik itu.

"Adik mengucap nak.." ayah bersuara bimbang.

Adik tersenyum tawar.

"Ad... adi.. adik nak pergi dah, adik minta maaf adik bukan anak yang baik, adik yang baik pada semua" antara dengar tak dengar suara adik itu.

Adik pergi jua.. Mudahnya adik pergi. Tenang sekali wajah adik waktu itu, dalam dakapan emak akhirnya adik menghembuskan nafas yang terakhirnya. Rupa-rupanya ALLAH hanya pinjamkan adik untuk 19 tahun bersama kami. Adik tau tak kami rasa sunyi semenjak adik pergi. Rumah tak lagi riuh dengan usikan adik. Tiada lagi jeritan emak yang pening kepala dengan kerenah adik tu.

Perlahan-lahan tangannya menyentuh bekas kaca berwarna jernih itu.

"Adik mesti bahagia dekat sana kan?" dia berbisik perlahan.

"Emak rindu sangat dengan adik.." emak yang muncul tiba-tiba melabuhkan punggung disisinya seolah dapat membaca apa yang sedang bermain dalam isi hatinya itu.

Achik tersenyum pahit mendengar kata emak itu. Kalau emak merindu, dia lebih dua kali merindu adik. Merekakan pasangan kembar, dari dalam perut berdua, tapi akhirnya kini dia terpaksa bersendirian meneruskan kehidupan di dunia ini.

Adik, awalnya adik pergi tinggalkan achik. Belum puas rasanya bersama adik. Sungguh achik rindu sangat dengan gurauan adik, disakat oleh adik dan dibuli oleh adik.

"Kadang-kadang emak rasa macam adik masih ada bila melihat achik ni.." emak meramas tangannya perlahan.

"Itukah sebabnya emak membuat kuih makmur setiap kali hari raya tiba?" dah lama rasanya dia ingin bertanya tentang yang ini.

"Tak" sepatah emak menjawab sebelum menyambungnya lagi.

"Emak tau adik selalu perhatikan kita sekeluarga. Emak mahu adik tahu, walaupun adik dah lama tinggalkan emak, tinggalkan kita semua, emak takkan pernah sekali-kali melupakan adik, malah setiap hari emak sentiasa mengingatinya, merinduinya tanpa jemu. Mengasihi dia tak pernah pudar. Mak mahu adik gembira di sana. Tak rasa dirinya terasing"

Achik mengangguk. Fahamlah dia, emak tak pernah nyanyuk, emak bukan juga dah tak betul, tapi emaklah, emak yang terbaik.

Monday, August 8, 2011

Cerpen : Tinta Cinta Ramadhan

1 ramadhan..
Alhamdulillah, walaupun hariku ini berulit sibuk, aku berjaya tempuhi jua, habisi hari ini, ramadhan di perantauan untuk kali yang ke-4 nampaknya.

Helaian kertas kumal yang usang itu diselak lagi, untuk kesekian kalinya tanpa rasa jemu malah semakin kerap bila ramadhan menjelang tiba.

Ini sahaja yang tinggal, pengikat kasih, penyambung ingatannya pada si dia jantung hatinya yang jauh kini, teramat jauh jaraknya sehingga sukar untuk digapai. Inilah yang ditemui dibilik sewa gadis itu bila dia tiba untuk mengutip barang-barang gadis itu yang tinggal.

Ah enam tahun yang berlalu langsung tak mampu merubah segala rasa cintaku kepadanya, malah semakin menyala, membara setiap waktu. Merindu dan mengingati dua rasa yang tak mampu dipisahkan daripada tubuhnya kini. Hebat sungguh penangan kasihmu sayangku... sehinggakan aku terpaksa merebut kasihmu dengan DIA. Degilkan aku? Seolah tak mampu menerima kenyataan yang terbentang jelas.

2 ramadhan,
Hari ini jam dipergelangan tanganku kehabisan bateri, isk isk.. seronok menikmati juadah sahur, namun hampir tersembur nasi didalam mulut yang sedang dikunyah bila melihat sang mentari yang malu-malu mula mengintai dibalik awan. Sekali dikerling pada jam yang bergantung kaku di dinding bilik, Aarghh sudah melewati 6.45 pagi rupanya. Darurat kan? aku tak sengaja, maafkan aku ya ALLAH.

Dia tersenyum lagi dalam genangan air mata yang bila-bila saja akan jatuh berguguran dipipinya. Sungguh semenjak kehilangan dahulu, dia langsung tak pernah malu untuk menitiskan air mata lelakinya. Berbeza dengan dirinya yang dulu, ego dan sentiasa mahukan kemenangan sentiasa memihak padanya walaupun dia tahu semestinya dia perlu beralah.

Kau memangkan sayangku, selalu begitu, menghiburkanku dengan kerenahmu yang lepas laku begitu. Itulah kau yang membuatkan aku terus jatuh cinta, mengikat hatiku untuk terus mengingatimu, menyintaimu, menyayangimu, tanpa rasa jemu

7 Ramadhan..
Terima panggilan dari 'dia' siapa dia kalau kalian mau tahu? Semestinya dia yang namanya sentiasa bertahta di hatiku. Agaknya dia salah tidur malam tadi kut, tiba-tiba menelefon dan mengucapkan kata-kata rindu. Oh tuhan, sekali lagi aku telah jatuh cinta. Jatuh cinta pada suami sendiri tak salahkan?? Hehehehe...(tersenyum dengan muka kemerah-merahan)

Dia masih ingat lagi hari itu, malam itu, dia mimpikan Noor Syuhadanya, yang hadir dalam tidurnya, mengucup dahinya penuh kudus. Sepertinya kau terlalu merinduiku. Sudahnya pagi-pagi selepas solat subuh di tunaikan, terus bergegas dia mencapai telefon. Rindu mendengar suara gadis itu memaksanya membuang ego. Hebatkan penanganmu. Tergagap-gagap gadis itu menyambut kata keramat yang terluah dari bibirnya.

"Noor Syuhada, Fi errr abang cintakan sayang, rindukan sayang.." tak pernah-pernah dia bahasakan dirinya sebagai 'abang' pada isterinya itu, panggilan yang selayaknya daripada seorang isteri untuk sang suami yang disayangi dan dihormati.

"Hah??" kehilangan kata kedengarannya di sebalik nada bicara gadis itu.

"Noor Syuhada tak cintakan abang? Tak rindukan abang?" berdebar hatinya menanti balasan dari si isteri.

"Err.. errr saya.. err Noor"

"Susah sangat ke mahu membalas kata abang tu?" hampa bila mendengar hanya itu yang keluar dari mulut isterinya, menyambut ungkapan kata keramatnya itu.

"Noor err Noor.. err Noor pun sama, rindukan abang, cintakan abang" terus ganggang telefon diletak, dan dia di sini ternganga.Sudah dapat dibayangkan bagaimana merahnya rona muka Noor Syuhadanya kala ini. Perlahan-lahan dia mengulum senyum.

"Yes! Yes!" girang dia menjerit.

"Kamu kenapa Ahmad Sufi, pagi-pagi buta dah terjerit terlolong" Mama menegur, dan dia terus mendakap mama lagak seperti dia memeluk Noor Syuhadanya itu.

"Sufi dah jatuh cinta mama"

"Hah jatuh cinta??? Dengan siapa? Eh ingat sikit yang kamu tu dah beristeri, walaupun jauh nun di sana tapi jangan sesekali kamu khianati cinta dia" mama mula berleter dan Ahmad Sufi langsung tak mahu ambil peduli malah bertambah tersenyum lebar mendengarnya. Nampak sangat sayang mama kepada kamu kan? Bisik hatinya, kembang...

15 ramadhan,
Hari ini luangkan masa didapur, pertama kali beraya bersama si dia dalam erti kata yang sebenarnya, aku ingin kelihatan sempurna, selama ni 3 tahun aku bersendirian di sini, dia langsung tak mahu ambil peduli, menelefon jarang sekali, tapi tahun ni berbeza, dia pula yang lebih-lebih, sibuk mengingatkan itu dan ini. Tak sabarnya rasa pulang ke tanah air. Tak sangka ALLAH makbulkan doa aku, ubahkan hatinya daripada membenci kepada menyinta.

Awal-awal pagi sudah masuk dapur, sebelah tangan memegang buku resepi (errr aku bukan tukang masak yang handal) sebelah tangan lagi sibuk memasukkan segala bahan mengikut sukatan. Hai Noor, berdoalah biskut kau tak jadi keras ya, yang akhirnya hanya akan jadi bahan perhiasan dalam balang kaca, cantik tapi tak bisa dikunyah, sebab keras macam batu. Hah siap, cantik, sekarang kita masukkan ke dalam oven, dan tunggu apa jadi selepas itu. Suamiku, tengok aku pun pandai memasak  juga apa, eh-eh tiba-tiba kenapa dia pun ada tercatat dalam diariku ini.

Sniff... snifff hidung terhidu bau hangit tiba-tiba, namun mata masih juga pegun pada skrin komputer, menyemak email-email yang sangat banyak datang dari sahabat dan dia. Eh baru teringat sesuatu. Alamakkkk!!! biskut rayaku yang sememangnya berwarna coklat kini sudah bertukar kehitaman, hangus terbakar. Itulah kononnya mahu menyiapkan dua kerja dalam satu masa. Hai Noor kau memang tak berbakat dalam menyiapkan kerja. Err Ahmad Sufi nampaknya kuih raya separa hangus saja mampu ku kirimkan kepadamu..

Ya.. aku terima bungkusan kuihmu, namun aku terkilan sayangku... ia tidak tiba bersamamu dan aku tak dapat nikmatinya bersama dengan mu di pagi syawal itu selamanya. Hiba hatinya setiap kali mengenangkan impian yang tak kesampaian itu. Direngut sekelip mata hanya dengan satu tragedi.

25 ramadhan...
Tak sabarnya ya ALLAH.. Hari ini tiba juga, tak lama lagi akan ku jejakkan kaki ini ke tanah air yang tercinta. ALLAH selamatkan perjalananku. Aku ingin bertemu dia, insan yang berjaya mengusik hati ini dan mengajarku erti rindu.

"Ahmad Sufi..." ganggang telefon dipegang oleh mama terlepas dari genggamannya dan dia terpinga terkesima.

"Kenapa mama?" dia bertanya dengan hati yang mula digalau walang.

"Noor Syuhada..." mama tak mampu meneruskan kata-katanya, kelihatan seolah-olah sedang menahan sebak yang menggila.

"Kenapa dengan dia mama?" kenapa dengan Noor Syuhadaku mama, beritahulah aku mama, jangan biarkan aku terus tenggelam dalam lautan persoalan mama, rintih hatinya

"Noor Syuhada kemalangan, bas yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan, kawannya di sana baru call mama tadi" dalam esak tangis mama memberitahu, gelap terasa dunianya kala itu.

ALLAH dugaan apa pula kali ini? mengapa pula ini yang berlaku bila hatiku mula berubah 360 darjah dari membenci untuk mencintai? kenapa ya ALLAH? apakah aturanmu pula kali ini? Dia menggetap bibir menahan sebak yang mula meribut dalam dada. Bila-bila sahaja tangisannya pasti terhambur.

Hanya ini yang tinggal Noor Syuhada, enam tahun ini dia tetap sendiri, walaupun kenyataan memang sudah terbentang nyata di hadapannya yang isterinya sudah tiada, namun dalam hatinya tetap berdegil, belum mahu mencari pengganti, berdegil untuk terus menyinta. Sampai bila? Jangan ditanya sebab dia pun tak tahu, tak ada jawapan yang khusus.

Lebih 10 tahun lalu...

"Sufi tak boleh terima dia mama, dalam hati tak pernah ada cinta untuk dia mama"

"Ahmad Sufi perasaan cinta boleh dipupuk sayang.."

"Sufi tahu, tapi bukan dengan dia mama"

"Kenapa tidak dengan dia? Dia perempuan yang kesuciannya masih terpelihara, cantik dengan tingkah laku dan punya budi pekerti yang tersusun, walaupun dalam kalangan bukan yang berada".

"Sufi mahukan gadis yang moden mama, mampu bergaya, yang bila langkahnya diatur, semua akan terpegun melihatnya, bukan bertudung litup semua ditutup layak seperti berada dikutub utara mama.."

"Astaghfirullahalazim, Ahmad Sufi, kecantikkan seorang isteri bukan untuk ditonton oleh mata-mata lelaki yang bukan muhrimnya, Ahmad Sufi sudah lupa apa yang ustazah ajar dulu? apa yang ustaz ajar, apa yang mama ajar?

"Sufi mahu seorang isteri yang boleh buatkan Sufi bangga bila berjalan di sisinya"

Noor Syuhada Binti Maliki, sebuah nama yang dituturkan oleh mama sebagai bakal isterinya, gadis yang terpilih, gadis yang berjaya merobek perasaan mama, yang berjaya memecahkan tembok cerewet mama.

"Kalau kamu anggap diri tu masih lagi anak mama, masih teringin merasai kemanisan redha ALLAH itu, mama pohon terimalah dia sebagai suri dalam hidup kamu Ahmad Sufi, mama pasti tersenyum bahagia punya menantu yang molek pekerti seperti dia"

"Tapi mama..." memang dari kecil dia tak pernah diajar untuk membantah.

"Ahmad Sufi.." mama memotong agak keras nadanya.

"Baiklah mama" kalau itu yang mama mahukan. Tak apalah biarlah dia berkorban selagi mama masih bernyawa adalah tugas dia untuk membahagiakan mama, wanita yang tabah, membesarkan dirinya seorang diri tanpa seorang ayah disisinya. Almarhum ayahnya Ahmad pergi tatkala dia dua bulan didalam kandungan, seperti junjungan besar Rasulullah s.a.w menjadi yatim ketika usia dua bulan dalam kandungan.

Noor Syuhada Binti Maliki dan Ahmad Sufi Bin Ahmad, bersatu atas izin ALLAH, bersama atas takdir ALLAH dan berpisah atas kehendak ALLAH..

"I tak suka baju ni, gosokkan yang lain" bentaknya, sering kali dia cuba menguji silap Noor Syuhada, namun gagal! tembok sabar gadis itu sentiasa utuh, kukuh.

"Sufi hari ni kan hari jumaat, kan nampak sopan kalau berbaju melayu ke pejabat" masih dengan senyuman yang bergayut mekar dibibirnya memujuk, sedikit pun tidak berubah riak wajah itu bila dibentak.

Akhirnya dalam pada dia membentak tetap juga menuruti kehendak Noor Syuhadanya itu.

"Handsome Encik Sufi hari ni, pandai isteri encik pilih warna dia, sesuai dengan kulit encik"

Kembang hatinya menerima pujian daripada stafnya. Tak sangka pilihan Noor Syuhada itu kena pada tempatnya. Pandai juga dia, pujinya dalam tak sedar.

*******

Dah sampai masanya, dia bergumam dalam hati. Sudah terlalu lama rasanya berkelana.

"Apa yang dimenungkan? Seperti ada sesuatu yang bermain difikiranmu anakku" penuh pengertian wanita itu bertanya. Tangan tua itu mengusap kepalanya penuh kasih.

"Umi.. saya terlalu merindui dia, malah semakin menyala rindu itu lewat ini, walaupun hakikat dia mungkin sudah punya keluarga, dan sudah melupakan saya, secebis kisah yang hanya datang singgah dalam hidupnya untuk sementara dan pergi tanpa meninggalkan apa-apa kesan, saya mahu pulang mi.."

"Umi faham... kalau itu yang kamu inginkan umi tak akan menghalang, umi menyokong segala tindakan kamu asalkan memberi kebahagian kepada kamu.

Dia tersenyum dalam hiba, syukur ditemukan dengan insan suci seperti uminya, sangat memahami, sangat mengerti apa yang diinginkan oleh hatinya.

ALLAH berikan umi kebahagian di dunia ini dan juga kebahagian di akhirat. Insan sebaik dia yang banyak berkorban untuk aku, selayaknya diberikan kebahagiaan dalam hidupnya.

*******

"Mama kenapa?" hairan bila melihat kaki mama berbalut dan tangan mama yang luka disapu iodin. Eh siapa pula gadis itu yang bersama dengan mama? Tak pernah pun aku lihat dia. Sejak bila pula mama punya kawan seperti dia ni. Berjilbab seluruh tubuh, hanya sepasang mata yang terlihat, tapi... renungan mata itu memang diakui, sangat memukau mampu membuatkan dirinya terbuai, terpanar.

"Mama kena ragut tadi, kaki terseliuh ditolak peragut, nasib baik ada Noor Syuhada dia yang tolong mama, orang lain semua hanya tau tengok saja tanpa buat apa-apa"

Oh gadis itu bernama Noor Syuhada. Eh...

"Macam mana sampai boleh kena ragut? Berapa kali saya pesan pada mama, berhati-hati berjalan seorang diri, jangan lalu ditempat yang sunyi" hati digamit risau.

"Alah Sufi, dah nak kena... " tenang mama membalas bebelannya.

"Kalau tak kena tadi, tak adalah mama kenal dengan gadis manis macam Noor Syuhada ni, lagipun mama dah buat police report, biarlah mereka yang tangkap penjenayah tu."

Dia menjeling ke arah gadis itu, dan gadis itu hanya tertunduk malu mendengar pujian daripada mamanya, jarang mama mahu memuji orang, tapi kalau mama dah memuji bermakna mama dah suka dengan orang tu. Ah biarlah... mamakan cerewet.

"Sufi, termenung lagi... sudahlah tu nak, dah 6 tahun dia pergi, mama yakin dia mesti sedih kalau tengok keadaan Sufi macam"

"Entahlah mama, Sufi tak tahu tapi Sufi akui Sufi tak boleh lupakan dia, mungkin ini balasan ALLAH pada Sufikan, sebab tak menghargai dia bila dia masih ada disisi Sufi"

"Sudahlah tu Sufi, berhenti menyalahkan takdir ALLAH, dia pergi sebab ALLAH sayangkan dia, dan Sufi jadi begini bukan sebab lain, tapi sebab hati Sufi sendiri tak mahu redha dengan pemergian dia, Sufi.. ingat nak, ALLAH tak akan uji Sufi kalau ALLAH tahu Sufi tak mampu nak tanggung ujian ALLAH ni. Yang pergi tetap pergi, kita yang hidup ini kena teruskan hidup. Dahlah jom masuk. Senja-senja ni tak elok mengelamun kat luar, kejap lagi nak masuk azan Maghrib, waktu berbuka puasa. Hurm hari ni dah 27 ramadhan, cepat sangat rasanya kan"

Noor Syuhada cinta hati Ahmad Sufi selamanya. Kalau ini ujian dariMu ALLAH, aku redha. Tempatkan isteriku dalam kalangan hambamu yang solehah, bibir langsung tak pernah kering untuk mendoakan kesejahteraan isterinya.

Akur, dengan berat hati dia melangkah membututi langkah mama, untuk kesekian kalinya syawal yang menjelang terasa tidak bermakna semenjak kehilangan bertahun dahulu.

Isteriku, kau pergi langsung tak tinggalkan apa-apa tanda, tanpa pusara untuk aku terus lawatimu bila hatiku terasa rindu.

"Bas yang dia naiki kemalangan, dan hangus terbakar, semua mangsa terperangkap dan turut terbakar hingga sukar untuk dikenal pasti" itulah yang diberitahu oleh teman gadis itu kepadanya.

*******

"Kita dah sampai.. " umi menepuk lembut bahunya. Umi, wanita Indonesia yang sudah lama berkelana di bumi Melbourn.

Takdir ALLAH yang manis, dalam keadaan sebatang kara, ALLAH hadirkan wanita berhati mulia itu dalam hidupnya, menjaga dirinya yang serba kekurangan itu.

"Umi, betul kita dah sampai? ALLAH syukur.. kau permudahkan perjalanan kami hari ini" bertakung air mata gembira di kelopak matanya, gembira yang tak terluah.

"Ya sayang... ikut alamat yang kamu beri, inilah rumahnya, tapi macam tak ada orang saja kayaknya, sunyi sahaja rumah ni" sesekali tetap tergelincir juga slang Indonesia daripada lidah umi walaupun sudah lama bermastautin di luar daripada negaranya.

"Ada bell umi? cuba tekan.. Rumah ni memang sunyi sebab hanya ada dia dan..."

Tak sempat menghabiskan ayat, tiba-tiba terdengar bunyi deruman enjin kereta yang kian mendekat berhenti berhampiran dengannya.

"Assalamualaikum kalian berdua mencari siapa?" satu suara lembut menegur bertanya soalan.

Suara itu, ya suara itu.. aku kenal siapa pemiliknya walaupun bertahun tak pernah mendengarnya, aku tetap takkan pernah lupa...

"Waalaikumussalam" serentak mereka menjawab.

*******

"Saya di mana?" tak tahu kepada siapa dia melontarkan tanya, kenapa gelap sangat ni? black out ke? hati bertanya hairan.

"Alhamdulillah sedar juga kamu ya, syukur pada tuhan, risau benar umi"

Eh siapa umi? kenapa dia bahasakan diri umi padaku? aku kenal dia ke?

"Kenapa gelap sangat ni?"

"Bersabarlah, ini ujian ALLAH nak, setiap yang dimiliki itu hanya pinjaman dariNYA, bila dia inginkan kembali dia akan ambil daripada kamu"

"Ambil kembali? maksudnya apa? saya buta? ALLAH kenapa ini harus terjadi pada aku?" dia meratap hiba.

Gelap dunia dirasakan kala itu. Apa yang harus dilakukan? Bagaimana dia harus berdepan dengan lelaki itu? Sementalah kecoh didada akhbar yang semua penumpang terkorban, tiada satu pun yang bernyawa dek kemalangan bas itu, kerana dia sendiri pun tercampak keluar, betul-betul terjatuh di hadapan kereta umi. Nasib juga umi sempat memberhentikan keretanya kalau tidak mungkin dia juga turut terkorban seperti mereka yang lain.

"Kenapa baru sekarang Noor Syuhada datang kembali pada abang?" lambat-lambat dia membuka bicara, bila melihat gadis itu seolah tenggelam dalam lamunannya.

Sungguh diia tak tahu apa perasaannya kini, gembira atau pun marah? Marah untuk apa? Ataupun gembira? Ya mungkin gembira sebab orang yang disangka sudah tiada rupanya masih bernyawa dan marah sebab rasa diri seolah ditipu.

"Maafkan Noor, Sufi.."

"Semudah itu??? Noor ingat abang punya perasaan ni apa? Rasa terkilan abang mudah dilenyapkan dek ungkapan maaf itu?" terkeluar juga api marahnya yang cuba dikawal.

"Saya dah tak sempurna untuk awak, saya malu untuk tunjukkan diri pada awak dalam keadaan serba kekurangan ini" lirih nadanya, bertahun dia cuba mencari kekuatan, mengutip semangat demi berdepan dengan hari ini, waktu ini, saat ini.

"Maafkan abang.." bergegar tubuhnya bila diraih oleh tubuh itu secara tiba-tiba dan dia, dia merelakan perbuatan lelaki itu.

Hangatnya pelukan lelaki itu meresap ke segenap ruang nafas tubuhnya. Rindu sekali untuk menatap wajah lelaki itu. Wajah yang masih segar dalam simpanan memorinya. Perlahan-lahan dia merenggangkan pelukan lelaki itu. Terketar-ketar tangannya menyentuh wajah lelaki itu. Membayangkan, adakah masih sama seperti 6 tahun yang lalu, atau sudah berubah dibawa dek masa.

Agak jelas terasa tulang pipi lelaki itu yang agak timbul, ah adakah dia juga menanggung derita seperti apa yang ku rasa?

"Abang tak pernah gembira semenjak Noor Syuhada 'pergi', hidup abang terasa kosong, bertahun-tahun abang cuba pujuk diri sendiri untuk terima kenyataan, tapi hati abang degil. Tak mahu terimanya dan hari ini nampaknya firasat hati abang benar. Noor Syuhada abang masih ada, masih bernyawa"

'Noor Syuhada abang'.. berbunga perasaannya mendengar kata lelaki itu. Noor pun begitu bang... namun hanya terluah dalam hatinya. Lidah terasa kelu tiba-tiba.

"Noor Syuhada kah itu?" tersentak dia bila terdengar suara lelaki itu seusai salam yang diberi dijawab.

"Mama, Sufi tak bermimpikan mama?" terdengar suara lelaki itu yang berbaur teruja.

"Ya sayang, Ahmad Sufi tak bermimpi nak.."

"Ya ALLAH syukur, mama nampakkan, Noor Syuhada Sufi sudah pulang, dia tak mati lagi kan?"

Pecah empangan air matanya tadi. Tak sangka dirinya amat berharga dalam hidup lelaki itu, tak sangka dirinya amat didamba oleh lelaki itu.

"Mengelamun? baru jumpa sudah pandai mengelamun? tadi pun mengalamun juga, apa yang sedang bermain difikiranmu sayang?"

Tersentak ditegur.. ya ALLAH hari ini 28 ramadhan, tarikh yang paling bermakna dalam hidupku dan akan diingat sepanjang hayatku.

"Hai Ahmad Sufi takkan gembira sangat sampai tak mahu di bawa masuk Noor Syuhada kamu tu" mama menegur.

"Err... mama Sufi terlalu gembira sampai lupa nak buat apa, jom sayang kita masuk.. rumah ni pun mesti dah rindukan sayang.." sempat berjenaka.

Jari jemari lembut itu diraih, dipimpin penuh hati-hati.

"Jemput kak.."

"Sulasteri.." laju umi menyambung, memberitahu namanya. Mereka berpapasan, dalam hati terasa begitu lapang melihat pasangan muda yang berjalan berpimpinan tangan mendahului mereka. Semoga bahagia itu terus mengiringi hidup mereka.

"Terima kasih, jagakan Noor Syuhada untuk saya kak.." ucap mama ikhlas, tak kira apa pun alasan anak itu selama 6 tahun menyepikan diri dia tidak kisah. Dia rela maafkan sebab kalau dia ditempat Noor Syuhada mungkin dia akan melakukan seperti apa yang gadis itu lakukan, bukan mudah menerima hakikat yang diri sudah kekurangan dan bukan mudah menghadapinya seorang diri ditempat asing begitu. Noor Syuhada memang tabah.

"Tugas kita sebagai saudara seagama, membantu saudaranya yang lain andai dilanda kesusahan" balas umi tenang.

Hari ni buat pertama kalinya sepanjang 6 tahun, dia melihat mata Noor Syuhada bersinar galak, walaupun sudah hilang fungsinya dek hentakkan yang kuat itu.

*******

"Selamat Hari Raya sayangku.. " lembut ungkapan itu dibisikkan ke telinganya.

"Selamat Hari Raya bang, maaf segala dosa dan salah silap Noor, saya gagal jadi isteri yang membahagiakan abang yang tak membebankan abang.."

"Syii apa cakap macam tu? sayang isteri terbaik yang pernah abang miliki buat masa ni" tak suka bila mendengar Noor Syuhadanya itu menyalahkan diri sendiri.

"Buat masa ini? Maksud abang apa?... Oooo pandai, diam-diam merancang menambahkan cawangan ya?" laju tangannya menjalar mencubit lengan lelaki itu.

"Aduh, abang bergurau sajalah, tak mahu tengok isteri abang ni berduka. Sayang, anugerah yang paling berharga pernah abang miliki, lagipun kalau betul abang berniat begitu dari dulu lagi abang dah cukupkan kuota empat ni". Walaupun kau kekurangan kini, tapi kau tetap kelihatan sempurna dimataku.

Segalanya jelas nyata kini, tiada lagi api marah yang menyala dalam jiwanya, tiada lagi rasa terkilan yang bertunas dalam perasaannya, tenang jiwanya langsung tak pernah terfikir untuk merasai ketenangan seperti hari ini.

Angin tolong tiupkan awan hitam itu pergi jauh dariku. Matahari tolong sinari cahayamu terangkan hariku. ALLAH terima kasih atas kurniaan yang tak ternilai ini. Terima kasih hadirkan aku ujian yang berat ini, kerana mengajarkan aku erti sebenar kasih dan cinta.

Tuesday, July 26, 2011

Repost : Cerpen : Sucinya Cinta




“Tengok tu, macam kera sumbangkan dia tu, tak reti cari kawan lepas tu selalu bersendirian kan?” Terdengar suara-suara sumbang mengutuk dirinya seperti selalu.

“Ha’ahlahkan, langsung tak pandai bergaul, esok-esok silap haribulan dia mati pun sorang-sorang.. kah..kah..kah..!” terdengar pula seorang lagi menyambung.

Dia tidak peduli, dia sememangnya sudah lali dengan kutukan begitu di pendengarannya. Langkah kaki diatur pantas menuju ke dewan kuliah, meninggalkan kumpulan manusia yang masih tak habis-habis beri pahala free pada orang. Ya lah kalau dah namanya mengumpat sia-sia sahaja pahalanya melayang kepada mangsa yang diumpat.

“Vee..!” terdengar namanya dipanggil dia tersentak seketika, tapi langsung tidak memberhentikan langkahnya , terus berjalan tanpa sedikit pun berpaling melihat siapakah gerangan yang memanggil namanya itu.

Termengah-mengah Iman Syukri mengejar langkah gadis itu, dan seperti hari-hari yang sebelumnya, gadis itu langsung tak menghiraukan dirinya.

“Vee.. nantilah dulu, kita saing sekali ke kelas” pinta lelaki itu namun dia langsung tak memperduli, sedikit pun tidak terbit niat untuk berhenti menanti lelaki itu, malah bertambah laju dia mengatur langkah kakinya.

“Vee Auni, kenapalah kau ni sombong sangat, aku cuma nak kita berteman, bersahabat.. tak boleh ke?” akhirnya dia jemu dengan sikap gadis itu yang sentiasa acuh tak acuh dengan kehadirannya akibatnya kemarahan yang dihamburkan.

Sudah tahu aku ni sombong kenapa nak kawan juga, sudah tahu aku ni membosankan kenapa nak dekat juga?, dah terang-terangan aku tak sudi kenapa masih terus mengejar dan buat-buat tak faham? Isk… bila aku tak layan tau pulak marah, sejak bila pula negara ni ada undang-undang yang kita wajib terima persahabatan yang dihulurkan oleh orang lain? Rasanya tak ada kan? So maknanya aku boleh menolak kalau aku tak sudi, lantaklah kau nak kata apa, sebab kau tak tau apa-apa, kau bukannya faham, bukannya berada di situasi aku… biarkan aku sendiri, jangan ganggu aku.. dia membebel geram dalam hati, rimas dengan kehadiran lelaki itu.

“Tengok tu, dia buat tak tahu je apa yang aku cakap,pekak ke apa minah ni?” bebel Iman geram.

“Tak apalah.., hari ni tak dapat, hari lain mesti boleh.. ini aku, semua perempuan mesti cair dengan kekacakan aku” sambungnya, bangga dengan kelebihan diri yang dimiliki, mungkin dia lupa yang segalanya bukan milik dia yang mutlak, hanya pinjaman, bila-bila masa jika Dia menghendaki kembali, segalanya akan hilang..

**************

“Im, macam mana? Berjaya kau tackle minah stone tu?” Brian bertanya, berminat bertanya tentang perkembangan temannya itu.

Memang dia ada mendengar tentang tekad Iman untuk cuba memecahkan tembok dingin milik gadis itu, dan sekarang dia ingin mengetahui perkembangannya pula.

“Entahlah Ian, budak tu betul-betul hati keringlah, tercabar rasanya hati aku ni, setiap kali aku hampiri mesti dia menjauh, memang aura dingin saja yang aku rasa bila dekat dengan dia, macam dah dekat kutub utara pula rasanya..” sempat dia berseloroh dalam jawapannya.

“Hahaha… itulah kau hari tu kau cakap besar lagi, sekarang baru kau tahu tahap kedinginan dia, kau cakaplah apa saja, kau kutuklah pedih mana pun ayatnya, air mukanya mesti tetap saja cool, sedikit pun tak beriak, sampaikan orang kata minah tu tak berperasaan, cuba kau pandang anak matanya, macam kosong seolah tak ada pengharapan..” panjang lebar, beria temannya itu bercerita.

Termenung Iman mendengarnya, hai misteri betullah gadis yang bernama Vee Auni ni, getusnya perlahan.

“Huh bertambah berminat pulak aku dengan budak tu bila mendengar apa yang kau cakap ni Ian”

“Sudahlah, aku nak chow dulu, kejap lagi ada janji nak pergi main bowling dengan Zana dekat One Utama” sambungnya sambil terus bangun dari duduknya terus menggalas beg sandangnya dan berlalu.

Orang macam ni pun ada? Isk pelik betul, perempuan macam itu pun nak dikejarnya, tak faham betul aku.. bebel Brian perlahan apabila melihat Iman melangkah pergi.

*************

Mata yang terlalu degil untuk membawanya ke alam lena akhirnya menyebabkan dia membawa dirinya ke sini, di taman milik keluarganya, menikmati angin malam yang lembut berpuputan.

Semakin lama semakin dirasakan kedinginan bayu malam itu, semakin mencengkam kulit tubuhnya yang hanya disaluti baju tidur kain kapas yang agak nipis, tetapi dia langsung tak mempedulikan rasa itu, belum mahu beredar perasaannya.

Disandarkan kepalanya pada kerusi yang terdapat ditaman itu, kepalanya didongakkan sedikit, sengaja ingin mengintai dada langit, bulan cerah dengan jutaan bintang menghiasi dengan membentuk buruj-buruj indah dan unik… cantik, bisiknya perlahan.

Indah sungguh ciptaanNYA, sehinggakan tak pernah sekali pun terbit rasa jemu dihati ini untuk terus memandang, menikmati lukisan-lukisanMU ya ALLAH, pujinya didalam hati.. Perlahan dia memejamkan mata, bukan sebab rasa mengantuk yang mula hadir, tapi sengaja dia melakukan begitu, ingatannya mula melayang

“Saya tak pernah berjumpa dengan gadis yang terlalu angkuh dan sombong macam awak ni” ujar lelaki itu sewaktu mereka berpapasan ke bilik tutor.

Dan dia seperti selalu, tetap membisu sebagai balasannya, katalah apa saja yang kau suka sampai kau rasa puas dan penat, bisik hatinya.

“Jangan sebab saya terkejar-kejarkan awak, sampai awak perasan diri awak tu istimewa dan cantik” sambung lelaki itu lagi, mungkin sengaja mahu memancing emosinya.

Hisy mamat ni tak reti penat ke, membebel tak henti-henti dari tadi, macam mak nenek sungguh.. Vee mengomel perlahan, terkumat-kamit mulutnya, karang aku tomoi juga dia ni..

“Hello…I am talking to you..cik Vee Auni” mungkin sudah bosan tak diberi sebarang respond olehnya, lelaki itu berhenti dihadapannya menghalang laluannya.

Vee terhenti, wajah lelaki itu dipandang sekali lalu, kacak juga dia ni, tapi kuat membebel, macam perempuan. Vee meletakkan jari telunjuknya ke bibir member isyarat “DIAM” kepada lelaki itu dan Iman dilihatnya terdiam, ternganga dengan reaksinya.

Perlahan-lahan langkah kakinya dilencongkan sedikit, mengelak dari bertembung dengan tubuh sasa dihadapannya, menghalang laluan aku saja.. dia meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju.

Rahang bawahnya terasa mahu luruh, cepat-cepat ditadah dengan tangannya, kot-kot nanti jatuh betul kan payah..isk, rasa terlalu berat untuk mengatup mulutnya kembali, masih terkesima, tidak percaya dirinya diperlakukan sebegitu rupa, terasa seperti dimalukan.

“Kurang ajar kau perempuan” bentaknya geram dan agak kuat, sehingga terdengar di pendengaran Vee… biarlah bisik hatinya..

Terasa tiba-tiba ada kain yang menyelimuti tubuhnya, membuatkan Vee sedikit tersentak, lamunannya tentang peristiwa tadi terpecah berderai, dia membuka matanya lambat-lambat.

“Kan sejuk dekat luar ni, lepas tu pakai baju yang nipis, sakit nanti kan susah” Ann Faniza menegurnya perlahan penuh ambil berat.

Dia hanya tersengih mendengarnya, memandang mesra penuh kasih pada wajah satu-satunya saudara yang dia ada selain babah dan uminya.. kakak tersayang.

“Kakak tak tidur lagi?” soalnya sebagai jawapan kepada teguran kakaknya itu tadi.

“Dah tidurlah ni, ni bangun tengah mengigau… hai dah nampak kakak berdiri di sini, lagi mau tanya..” Ann melabuhkan duduknya disisi adiknya itu, dan Vee dengan manja melentokkan kepala ke bahunya, masih seperti dahulu, tak pernah berubah kemanjaan adiknya itu.. perlahan dia memeluk tubuh adiknya..

“Vee dah makan ubat?” soalnya seperti selalu, penuh prihatin dan Vee hanya mengganggukkan kepala sebagai jawapan, lama direnung wajah Ann…

“Kenapa Vee pandang kakak macam tu?” soalnya agak hairan dengan tingkah laku adiknya..

“Kakak… Vee sayang sangat-sangat dengan kakak,” luahnya membuatkan Ann terkelu, rasa sebak mendengarnya.

“Ya kakak pun sayangkan Vee, bukan kakak sorang je yang sayangkan Vee, semua orang sayangkan Vee, babah, umi semua sayangkan Vee sangat-sangat..”

“Kakak… Vee rasa sangat tenang kalau Vee pergi sekarang, sebab Vee rasa hidup Vee dah sempurna, dikelilingi dengan orang-orang yang paling Vee sayang dan cinta,”

“Kenapa cakap macam tu dik? Tadi Vee kata sayangkan kakak, ni sekarang Vee kata pula nak pergi tinggalkan kakak, habis siapa yang nak teman kakak lagi? Nak bergurau dengan kakak, nak bermanja dengan kakak, Vee lah satu-satunya adik yang kakak ada,” Jari jemari adiknya itu digenggam erat, sungguh dia masih belum bersedia dengan “itu”.

“Kakak…” hanya itu yang mampu diucapkan selebihnya dia tak mampu nak ucapkan, dia tenggelam dalam sebak yang bertandang.

Mereka berpelukan seketika, erat.. masing-masing tenggelam dalam sayu, redha dengan takdir walaupun terlalu pahit, pedih untuk diterima.

“Kita masuk ya dik? Sejuk dekat luar ni, nanti demam pula…”

**************

“Tak pernah-pernah sebelum ni aku di reject, rasa tercalar maruah aku ni,” Iman membebel geram .

Brian hanya mendengar sahaja, marah benar Iman nampaknya..

“So kau nak buat apa sekarang Im? Lupakan sajalah budak tu, bukannya lawa mana pun dia tu, buang masa kau saja” nasihatnya.

“Lupakan kau kata? No.. no.. no…., ini akulah Im, belum pernah satu pun apa yang aku inginkan terlepas daripada aku”

“Habis kau nak buat apa Im? Kau jangan nak buat benda gila Im” bimbang pula kalau-kalau kawannya itu bertindak di luar pemikirannya, dia ni bukannya betul sangat, suka sangat turut kata hati.

*************

Dia berjalan perlahan-lahan melewati kelas-kelas yang telah kosong tanpa penghuni, itulah terlalu asyik sangat siapkan kerja sampaikan tak sedar masa yang berlalu, hisy seram juga kolej aku ni bila tak ada penghuni, getus hatinya, perasaannya kini terasa seolah seperti di perhatikan tetapi bila dia menoleh tak ada pula kelihatan siapa-siapa, akhirnya Vee mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan..

Dia meneruskan langkahnya kembali, tetapi hanya beberapa langkah sahaja, dia terasa pula seperti diekori, bila dia berpaling tiada pula siapa-siapa, ah pedulilah.. perasaan aku saja kot.. tukasnya, langkah diatur kembali, tetapi dia terasa pula seperti ada yang menghampiri, baru hendak berpaling untuk melihat mulutnya telah ditekup dengan tangan asing,tubuhnya telah ditarik ke salah satu kelas yang kosong yang terdapat disitu.

Tersentak dia bila melihat siapa si pelakunya.. Iman!! Apa yang dia hendak dari aku? Vee mula diserang rasa cemas, wajahnya bertukar pucat tiba-tiba.

“Hari tu bukan main sombong lagi kau ya, sekarang taulah nasib kau, aku nak tengok kau melutut merayu dengan aku hari ni” bengis sekali wajah itu menuturkan penuh dendam.

Vee terkejut mendengarnya, takkan dia berdendam pasal hari tu, dilihatnya lelaki itu semakin menghampiri.

“Biar aku ambil sesuatu yang berharga dalam diri kau” keras sekali nada lelaki itu.

Vee Auni berundur apabila melihat lelaki itu semakin menghampirinya, namun dinding yang wujud menghalang terus dirinya dari terus berundur, peluh halus mula terbit membasahi dahinya, ya ALLAH selamatkan aku..dia memejamkan mata ketakutan memikirkan apa yang bakal terjadi.

Vee sedar dengan kekuatannya yang sedia mana mungkin dia mampu menewaskan lelaki itu, tiba-tiba dia mendapat satu akal, serentak kakinya memijak kaki lelaki itu sekuat hatinya, nasib baik aku pakai high heel hari ni..

Terloncat-loncat lelaki itu, berkerut wajahnya menahan sakit… ha padan muka kau.. sumpahnya dalam hati, Vee pantas mengambil peluang yang ada berlari ke muka pintu, tombol di pintu dipulasnya gopoh-gopoh, tapi sayang pintu berselak, berkunci di bahagian atas, mungkin perbuatan lelaki itu tadi, dalam dia terkial-kial untuk membuka pintu, dia terasa ada tangan sasa yang merangkul pinggangnya, tubuhnya terus dihumban pada deretan meja yang terdapat di situ, dia mengaduh kesakitan dan belum sempat dia bangun,pipinya pula telah dilayangkan dengan sebiji penampar yang agak kuat, pijar dirasakan pipinya itu, panas dek penangan lelaki itu, bibir terasa pecah dengan cecair panas mengalir, ditekap tangannya di situ, ya ALLAH darah..Vee mengetap bibirnya merenung geram ke arah lelaki itu..

Iman mencangkungkan tubuhnya di hadapan gadis itu yang masih terduduk, sinis sekali dia memandang wajah gadis itu.

“Sakit?? Heh, sekarang baru kau tau yang langit tu tinggi ke rendah, sekarang cepatlah merayu pada aku.!”Iman membentak kasar dan Vee hanya membisu memandang ke arah wajahnya, wajahnya berkerut menahan kesakitan.

“Oh masih lagi nak berlagak ya? Tak apa, kita tengok sampai bila kau mampu nak bertahan..” ucap lelaki itu dengan senyuman yang nakal dan terlalu menyakitkan matanya.

Perlahan-lahan Iman mendekatkan wajahnya ke wajah gadis itu, namun belum sempat bibirnya mengenai sasaran, dia terasa ada tangan yang melekap menahan kemaraan wajahnya.. sejuk, terasa sejuk tapak tangan milik gadis itu.

“Jangan!” gadis itu menjerit agak kuat..

“Saya… saya.. saya ada HIV” terketar dia memberitahu, akhirnya rahsia yang selama ini dipendamnya terpaksa juga dibongkarkan demi maruah dan harga dirinya.

Terkaku Iman mendengarnya, seperti tak percaya pun ada juga, dilihatnya wajah gadis itu yang bersunguh mengangguk dengan kata-kata sendiri, cuba meyakinkannya.

“Jangan nak tipu aku, orang yang ada HIV mana boleh masuk kolej ni” bentaknya kasar tiba-tiba, masih lagi tak mahu mempercayainya.

“Saya kena ni selepas satu semester jadi pelajar di sini..”

Iman terdiam, memang gadis ni bercakap benar, dia meraup wajahnya kesal dengan tindakan sendiri yang melulu.

“Saya minta maaf, saya tak nak awak berisiko bila dekat dengan saya, tu sebab saya menjauh dengan awak, saya juga menjauh dengan semua orang sebab saya tak mahu dipersalahkan jika ada apa-apa yang terjadi pada mereka-mereka yang rapat dengan saya nanti” lemah dia menyambung, memeberitahu sebabnya mengapa dia selalu bersikap terlalu dingin pada semua.

Ya ALLAH kenapa pula dia yang minta maaf dengan aku? Sedangkan aku yang sepatutnya memohon maaf kepada dia atas kekasaran yang aku lakukan ini, terasa malu pula, rasa bersalah yang teramat sangat pun ada juga.

“Aku minta maaf..” ucapnya perlahan, dia terus berlalu, bukan sebab jijik dengan pengakuan gadis itu, tapi sebenarnya dirinya dirundung malu yang teramat sangat dengan lepas lakunya.

Langkah kaki diatur pantas dengan perasaan yang berbaur, becampur aduk,baru sahaja dia melepasi pintu kelas, Iman terdengar bunyi seperti benda jatuh dan apabila dia menoleh untuk melihat, alangkah terkejutnya dirinya terpandang Vee Auni yang telah rebah terkulai di atas lantai tidak sedarkan diri.

“Ya ALLAH, Vee!!!” dia menjerit terkejut, kalut pun ada juga, pantas dia mendapatkan tubuh gadis itu.

***********

“Semuanya sebab kakak” Ucap Ann Faniza, lebih selesa membahasakan diri sebagai kakak kepada pemuda itu.

Iman Syukri hanya diam khusyuk mendengar cerita wanita itu..

“Kalau kakak tak cuai, mungkin nasib Vee tak akan jadi macam ni”sambungnya lagi.

“Maksud kakak?” Iman menyoal, sedikit tidak sabar bila wanita itu mengambil masa yang agak lama untuk menyambung ceritanya kembali.

“Hari tu kakak ingat lagi, kami baru balik dari jalan-jalan,entah macam mana waktu hendak melintas jalan, telefon bimbit kakak tiba-tiba berbunyi, so kakak angkatlah, tapi tak sedar pula waktu tu ada sebuah kereta yang tengah laju, Vee selamatkan akak, tolak akak ketepi, tapi… Vee yang dilanggar, dia cedera kehilangan banyak darah dan demi nyawanya doktor terpaksa memasukkan darah baru dalam tubuhnya, tapi kami tidak sangka yang darah baru itu sebenarnya telah tercemar”, dia tunduk cuba mengawal sebak yang mula menguasai diri, memang begitulah keadaannya setiap kali terkenangkan peristiwa itu, tangisannya pasti mudah terhambur.

Iman mengeluh mendengarnya, kenapa kerana kecuaian orang lain, yang tak berdosa mesti menjadi mangsa? Dia menyoal dirinya sendiri.. Mata dikerling ke arah batang tubuh Vee yang sedang terbaring lena.. aku tak sangka Vee sanggup....

“Oh sayang.., kenapa boleh jadi macam ni?” soal umi kalut, sebaik sahaja tiba dihospital itu setelah dihubungi oleh Iman tadi.

“Vee tak apa-apa umi, Vee cuma pitam sedikit tadi, lepas tu jatuh terhantuk dengan meja di dalam kelas, nasib baik ada Iman tadi” wajah lelaki itu dipandang dengan senyuman lesu dihadiahkan.

Tersentak Iman Syukri mendengar kata gadis itu, kenapa kau tidak beritahu saja perkara yang sebenarnya Vee, kenapa nak lindungi aku, kenapa luhur sangat hati kau…

“Betul Vee tak apa-apa? Babah risau sangat tadi tau..”

“Betul babah.. janganlah risau..” penuh yakin jawapannya.

“Kami punya segalanya, kami ada harta, duit berjuta tapi kami tak mampu nak tukar dengan takdirNYA, betapa kerdilnya kami disisiNYA sebenarnya..” luah Ann Faniza setelah sekian lama mendiamkan diri, membawa kembali dirinya ke alam nyata.

“Kalaulah dengan segala yang kami ada ini mampu menyembuhkan Vee, memang kami sanggup hilang segalanya daripada terus tengok Vee terus terlantar begini..”

Bisu seketika dia mendengarnya, ya ada betulnya kata wanita ini, apalah guna wang berjuta dan harta yang melimpah jika tak mampu menyembuhkan orang yang disayangi.. terasa insaf dia kala itu.

*************

“Vee kenapa pakai glove tu?” soalnya agak hairan apabila melihat gadis itu memakai sarung tangan getah, dah macam doktor bedah saja gayanya tatkala Vee menghidangkan minum petang kepadanya ketika dia bertandang.

Vee hanya tersenyum mendengar soalan lelaki itu,

“Vee takut tangan Vee ada luka, nanti tak pasal-pasal pula Im yang kena” jawabnya tenang bersahaja.

Banyak peristiwa yang berlaku membantu mendekatkan diri mereka, dan Iman Syukri cuba belajar menerima golongan seperti Vee dalam hidupnya, sebab dia tahu, golongan macam itu tetap ada hati dan perasaan, tetap mahu hidup seperti insan lain sebab mereka sendiri pun tidak pernah meminta untuk jadi begitu.

Hubungan mereka juga sering menjadi buah mulut teman-teman di kolej, siapa tidak hairan bila seorang gadis yang dingin macam ais boleh rapat tiba-tiba dengan jejaka pujaan ramai gadis itu, banyak spekulasi yang timbul, tapi.. lantaklah apa mereka nak kata.. nanti bila dah penat diamlah mereka itu..

*************

Cuaca agak mendung hari ini sehingga membuatkan dia memakai baju agak yang tebal sedikit daripada biasa. Dia mengatur langkah pantas, kelewatan membuatkan dia mengambil keputusan menggunakan jalan pintas yang memerlukan dia melalui kawasan sebuah kawasan kolam renang yang terdapat di kolejnya itu, dari jauh dia dapat melihat terdapat sekumpulan gadis disitu yang sedang asyik bercakap dan sekejap-sekejap memandang kearahnya tapi Vee buat tak nampak segala perlakuan gadis-gadis itu, apa yang penting sekarang dia perlu sampai ke kelas tepat pada masanya.

Terlalu ingin sangat cepat sampai ke arah yang dituju sehinggakan dia terlupa memerhati langkah sendiri, dia tidak perasan ada kaki yang menghalang laluannya akibatnya dia tersadung dan tubuhnya terhumban jatuh kedalam kolam renang tersebut.

Terasa seperti seorang badut sarkas yang sedang membuat pesembahan, dan dia pasti teramat-amat pasti yang raut wajahnya telah bertukar merah padam, malu yang sangat-sangat, dia ditertawakan tanpa simpati. Vee Auni tergamam..

“Padan muka kau, siapa suruh rampas hak aku..” sinis kedengaran suara itu dipendengarannya.

Matanya melilau mencari siapakah gerangan pemilik suara itu, Zana..!! ya siapa tidak kenal dengan Zana, ratu dikolejnya dan seorang model yang sedang meningkat naik. Gadis itu kelihatan sedang mencekak pinggang sambil memandangnya dengan pandangan yang menjengkelkan.

Vee Auni sedikit pun tidak membalas herdikan gadis itu, dia berusaha untuk keluar dari kolam itu namun setiap kali dia hampir berjaya, tubuhnya pasti akan ditolak kembali, dia mula menggigil kesejukan.

“Hoi apa yang kamu buat tu hah?” tiba-tiba terdengar satu suara yang memekik agak kuat.

“babah..!” tersentak dia, kenapa babah mesti ada di sini? Selama ini memang dia berusaha menyembunyikan identiti dirinya..tapi hari ini..

“Pengetua..!” hampir serentak mereka bersuara, terkejut dengan kenyataan yang terhampar di depan mata.

“Tak sangka macam ni perlakuan kamu sebagai pelajar kolej, apa kamu ingat anak saya tu badut kamu ya?” marah benar babah nampaknya.

“Vee..” Iman yang muncul bersama babahnya menghulurkan tangan membantunya. Beberapa kali dia terbersin kerana berendam agak lama. Pantas Iman menyelimutkan tubuh Vee dengan baju sejuk miliknya, dipimpin gadis itu kebilik rawatan kolej.

“Ingat sekali lagi you cuba apa-apakan Vee, siap you I kerjakan..” dia memberi amaran keras, sewaktu melintasi tubuh Zana, dia serius, bukan main-main dengan kata-katanya kali ni.

Zana terdiam, terkejut.. dia tidak sangka sampai sebegitu marah sekali Iman atas perbuatannya tadi.

“Vee Auni, anak kepada pengetua kita Dato’ Zikri Mukmin” masing-masing terkejut dengannya perkara yang tidak diduga itu, timbul pula rasa kesal dalam diri mereka..

Renungan tajam dilepaskan kearah sekeliling, Dato’ Zikri menggetap bibir geram.

“Kalau apa-apa terjadi pada anak saya, siaplah kamu semua, Mohammad, awak ambil kad pelajar mereka semua, catat semua id mereka, biar senang nak ambil tindakan kalau ada apa-apa terjadi nanti” arahnya kepada pembantunya yang sedari tadi berdiri diam memerhati.

Diantara semua Zanalah yang paling pucat sekali wajahnya, tulah terlajak perbuatan.. tanggunglah akibatnya.

************

“Bagaimana keadaan Vee doktor?” soal babah tidak sabar.. risau sekali apabila melihat anak itu terlantar tidak bermaya, semuanya gara peristiwa itu sehingga menyebabkan anak itu demam panas.

“Suhu badannya terlalu tinggi, Dato’ pun sedia maklumkan, yang pesakit macam dia sangat-sangat lemah antibodinya, mudah terkena penyakit dan sukar pula untuk sembuh” panjang lebar doktor itu memberitahu.

“Vee maafkan babah..” perlahan disentuhnya jari jemari anak itu dan seperti biasa anak itu tidak pernah menyalahi dirinya, oh Tuhan kenapa kau duga anakku ini dengan dugaan yang berat? Sedangkan aku yang melihatnya pun tidak mampu rasanya..

Pelajar-pelajar yang terlibat hari itu telah pun dikenakan tindakan disiplin dan Zanalah yang menerima hukuman paling berat sekali, dia dikenakan khidmat sosial 3 minggu membersihkan kawasan kolej. Dato’ Zikri tak peduli kalau pelajar yang terlibat berhenti atau lari selepas ini, baginya sekarang Vee lah yang paling penting dan tiada siapa pun boleh menyakiti Vee.

Rasa sebak yang hadir tiba-tiba menyebabkan dia berundur, tidak mahu Vee melihat air mata lelakinya berguguran, namun dia tetap tidak mampu terus menahan rasa sebak itu, akhirnya Dato’ Zikri teresak-esak disebalik pintu wad itu, hilang rasa malu demi anak tersayang, terhenjut-henjut bahunya, buat kesekian kali rasa kecewa itu hadir lagi, kecewa kerana tidak mampu mengubati anak itu.. lama.. sehinggalah dia terasa ada tangan menepuk dan mengusap perlahan bahunya, dan bila dia menoleh dilihatnya Iman berdiri disitu, mata pemuda itu turut digenangi air yang menanti masa untuk tumpah.

“Pak cik, izinkan saya menjadikan Vee sebagai milik saya yang halal..” pohonnya ikhlas.

Agak tersentak wajah Dato’ Zikri Mukmin mendengar hasrat hati pemuda itu..

“Kamu dah fikir masak-masak ke Iman sebelum buat keputusan ni? Jangan sebab rasa belas yang hadir membuatkan kamu buat keputusan terburu-buru, kamu masih muda masih jauh jalan hidup kamu dan pak cik pula tak mahu membebankan kamu dengan keadaan Vee sekarang ni..”

“Saya dah fikir panjang pak cik, 3 malam saya bersolat istikharah dan jawapannya tetap sama, saya yakin dengan apa yang saya buat ni..”

“Kalau begitu yang kamu dah kata, pak cik tak ada halangan bagi pihak pak cik, pak cik bukan apa, pak cik tak mahu kalau-kalau Iman menyesal di kemudian hari dengan keputusan yang Iman buat sekarang ini, tanyalah Vee, apa jawapan bagi pihaknya, pak cik akan ikutkan saja..”

“Terima kasih pak cik, saya akan jaga Vee sebaik mungkin sebagai mana pak cik menjaganya , selagi ada daya saya insyaALLAH…” itu janji hatinya demi Vee.

**************

“Selamat hari lahir sayang…” ucapnya tepat pada pukul 12.00 am, 21 julai sambil menghadiahkan sebuah kucupan mesra didahi isteri tercinta, hari ini hari jumaat, penghulu segala hari dan hari ini bermakna genaplah 9 bulan usia perkahwinan mereka, segalanya ditempuhi penuh warna warni, ada tawa gembira, ada juga genangan air mata..

Sebuah ikatan yang terlahir bukan kerana atas dasar kehendak nafsu, jari-jemari isterinya digenggam erat, tidak pernah sekali pun terlintas rasa geli, jijik tika menyentuh isterinya itu, kerana dia tahu penyakit itu tidak pernah akan merebak melalui sentuhan luaran kecuali jika terdapat luka-luka mungkin akan meninggikan risiko.

“Terima kasih abang, abang lelaki yang baik, Vee doakan abang dapat isteri yang solehah selepas ni..” ucapnya perlahan dengan nada terharu tak tertahan.

“Isk sayang kenapa cakap macam tu? Sayang kan satu-satunya isteri abang ni dan tak akan ada yang lain…” sungguh dia tidak suka andai isterinya membangkitkan hal ini.

“Dah dekat 4 tahun virus ini dalam diri ini dan Vee tau satu hari nanti Vee akan pergi kerana janji Vee padaNYA dan abang berjanjilah dengan Vee, jangan kerana diri Vee abang kena korbankan hidup abang, sebab abang ada hak untuk memiliki bahagia abang sendiri dan Vee pasti Vee akan bahagia dan tenang kalau tengok hidup abang bahagia nanti..” ujarnya sambil menghadiahkan sebuah senyuman yang manis buat suami yang paling dicintai, ya senyuman yang mungkin tak akan mampu dilupai oleh Iman Syukri sepanjang hayatnya.

“Dahlah sayang… tidur ya? Kita bincang hal ini lain kali ok..” pintanya, sebab dia belum pernah bersedia untuk kehilangan permaisuri hatinya itu.

Ditariknya tubuh Vee rapat dengannya, membiarkan isterinya lena berbantalkan lengannya bersandarkan pada dadanya.

“Aku cintakan kamu sayang… sehingga akhir helaan nafas ini suamiku..” bisik Vee Auni perlahan. Lafaz syahadah diucapkan sebelum memejam mata….. lena…selena-lenanya.

***************

“Sudahlah Im, redhakanlah dia pergi dengan tenang”, pujuk papa dan mamanya, dan babah, umi, Ann dan teman baiknya Brian masing-masing berwajah sugul…

Kalau inilah yang boleh membuatkan sayang tenang, abang redha.. pergilah sayang..abang izinkan.. semoga kita akan bertemu di syurga nanti.. bisiknya perlahan tatkala menatap jasad kaku milik isterinya itu.

Pagi itu dia bangun seperti biasa dan dilihatnya Vee masih seperti semalam, lena berbantalkan lengannya tidak berubah, malah wajah itu begitu tenang sekali dalam tidurnya, mendamaikan mata yang melihat..

“Sayang bangun…dah pagi..solat subuh..” dia menggoyangkan lembut tubuh isterinya, biasanya Vee mudah terjaga bila di sentuh sedikit pun tapi untuk kali ini, isterinya langsung tidak memberikan apa-apa tindak balas, lena sangat agaknya.

“Sayang oh sayang..” digoyangkan tubuh itu sedikit kuat, tapi tetap seperti tadi.

Hatinya kini mula digamit risau, perasaan bimbang mula terbit dan terketar-ketar dia meletakkan jari telunjuknya di hidung Vee, tiada langsung hembusan nafas, diletakkan pula tangannya di pergelangan tangan isterinya, pun tiada denyutan, akhirnya matanya memandang pada dada isterinya tiada langsung kelihatan alunan nafas didadanya kini……………………….

“Ya ALLAH……Vee!!!” raungannya memecah sunyi pagi, dan dia menangis mengongoi tersedu sedan seperti anak kecil yang kehilangan ibunya, hidupnya terasa kosong..dunianya terasa seperti diawang-awangan.

“Innalillahi wainnahi ilaihirajiun, daripadaNYA kau datang dan kepadaNYA kau kembali.. selamat jalan anakku..pergilah menunaikan janjimu kepadaNYA.. ” ucap babah serentak tubuh Iman jatuh terjelepok lesu, separuh dirinya telah dibawa pergi kini.

“Cinta suciku ini tak akan pernah terkubur bersama jasadmu itu sayangku, tenanglah sayang ku, abang ampunkan segala dosa-dosamu, bahagialah dalam persemadianmu.. abang akan sentiasa doakanmu..”

The END..

******

MAAF andai cerpen ini ada sebarang kekurangan... Beberapa tahun dahulu, saya mengenali seorang wanita menghidap menyakit HIV bawaan suaminya seorang penagih dadah. Suatu hari saya mendapat khabar daripada keluarganya yang wanita itu menghilangkan diri, meninggalkan seorang anak kecil, Amanatnya dia mahu anaknya menjadi insan berguna dan tak mahu si anak melihat dirinya menderita. Pengorbanan seorang ibu dan isteri... Hari ini kalau dia masih bernyawa, saya doakan dia dipemudahkan segala urusan hidup, tetapi andai dia sudah tiada hanya seuntai doa dan al-fatihah mampu dikirimkan, semoga merasai kemanisan bahagia itu disisiNYA.. :)
Cerita-cerita yang dinukilkan adalah antara kisah-kisah yang terjadi di sekeliling ini. Sekadar berkongsi suka-duka kepada semua. Yang baik sama-sama kita jadikan tauladan, dan yang buruk itu kita ambil dan jadikan sebagai sempadan.

Segala cerita dalam ni adalah karya asal, sebarang copy adalah tidak dibenarkan. Mana-mana kisah yang mungkin ada menyinggungkan perasaan semua tu di luar sedar saya, salam kemaafan saya hulurkan terlebih dahulu.


Salam dari saya,