Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sahabat untuk selamanya ^^

Seuntai Kata

♥ Assalamualaikum wbt ♥

Kata orang jauh perjalanan, luas pemandangan.. kata orang malu bertanya kelak hidupmu akan sesat... welcome to All aBout Us. Cerita-cerita yang dinukilkan adalah antara kisah-kisah yang terjadi di sekeliling ini. Sekadar berkongsi suka-duka kepada semua. Yang baik sama-sama kita jadikan tauladan, dan yang buruk itu kita jadikan sempadan.

Segala cerita dalam ni adalah karya asal, sebarang copy adalah tidak dibenarkan.. Mana-mana kisah yang menyinggungkan semua tu di luar sedar saya, salam kemaafan saya hulurkan terlebih dahulu..

Ikhlas,


Friday, February 12, 2010

Novel : Cinta Yang Tertunda[6]



Wajah Mak Wa di perhatikan lama, nampak lelah tak bermaya, kedutan yang menggaris di wajahnya seolah menampakkan dia lebih tua dari usianya yang sepatutnya.. Nasuha mengeluh, melepaskan nafas berat sekali, sudah masuk dua hari emaknya itu terlantar demam, namun tidak sedikit pun ayah tirinya ambil peduli, usahkan ingin membelikan ubat, bertanyakan tentang keadaan emaknya itu juga tidak langsung... huh dasar lelaki tak guna, hidup hanya dengan memerah keringat isteri.. apa yang lelaki itu tahu lakukan hanyalah ke hulu ke hilir menunggang motosikalnya mengeliling kampung, kering minyak lelaki itu pasti akan pulang meminta duit, jika tidak di beri alamatlah lebam bengkak seluruh badan.

"Mak... kita pergi klinik ya?" pujuknya lagi masih tidak putus asa.. sesekali tangannya membasahkan kepalanya dengan air jaram, air yang dibuat dengan daun rambutan dan dicampurkan dengan daun cekor, dan dibacakan dengan selawat Nabi saw ketika menggaulinya.. itulah petua orang dahulu untuk mengurangkan panas badan andai di serang demam.

"Tak payahlah.. mak tak apa-apa, esok baiklah ni, lagi pun kita mana ada duit nak pergi klinik atau beli ubat, dahlah harga ubat mahal sekarang ni..." masih seperti waktu sebelum-sebelumnya tetap berkeras tidak mahu di bawa ke klinik.

Nasuh hanya menggelengkan kepalanya dengan kedegilan wanita itu.

"Tak pa mak, Suha ada duit, guna duit Suha, Suha ada menabung sikit.." sungguh dia risau, belas dan juga terkilan melihat keadaan Mak Wa yang terlantar langsung tak bermaya dan bertambah dia terkilan andai dia hanya duduk melihat tanpa melakukan apa-apa iktiar untuk menyembuhkan wanita itu.

"Tak perlulah Suha, Suha simpan saja duit Suha tu ya.. mak tak apa-apa, demam biasa saja ni.. mungkin sebab mak kerja teruk sangat.. lagi pun Suha mesti nak guna duit tu kalau-kalau Suha nak sambung belajar nanti kan..." dia tak mahu menyusahkan anaknya dan kalau boleh dia tak mahu membebankan anaknya..

"Mak.. duit tak penting untuk Suha, lagi pun duit boleh di cari lagi... Suha pun bukan nak guna duit tu sekarang pun, masih ada banyak masa untuk Suha cari yang lain.. kita pergi klinik ya mak? badan mak panas sangat.. nanti Suha minta tolong Pak Ali ya? kita sewa kereta dia minta bawa mak pergi klinik dekat pekan sana tu.."

Mak Wa diam tak tahu nak kata apa untuk menolak... matanya sengaja di pejam rapat petanda dia langsung tidak berganjak dengan pendiriannya.. Suha.. mak tak mahu menyusahkan kamu.. percayalah nak mak akan sihat, tak perlulah kamu susahkan hati kamu memikirkan mak.. bisik hati kecilnya memujuk..

"Mak..." dia menyeru perlahan.

"Dahlah Suha, pergilah kamu tidur.. dah pukul berapa ni.. mak dah mengantuk.."

"Tapi mak.. mak perlu pergi klinik, Suha tak mahu demam mak melarat.." kenapalah mak tak faham yang betapa aku risaukan dia, yang aku tak mahu sesuatu yang buruk berlaku padanya..

"Tak payahlah nak.. jangan risau.. mak janji pada Suha bila Suha bangun pagi nanti.. mak mesti dah sihat.." dia tersenyum tawar memujuk..

"Yalah mak... kalau begitu keputusan mak.. " dia akur... nak buat macam mana, takkan dia perlu berkeras pula memaksa..

Selimut yang menutupi tubuh emaknya itu dibetulkan letak duduknya..

"Kalau mak nak apa-apa, kalau mak nak pergi bilik air kejutkan Suha ya.. selamat malam mak.. " wajah tua itu dikucupnya penuh kasih.. moga ALLAH kurniakan kesihatan kepada mak.. doa hatinya..

********

"Apa kerjalah yang kau buat ni Mail oit... tak habis-habis lagi ke main dam? anak bini dekat rumah tu kau tak jenguk ke? aku tengok dari aku lalu nak pergi solat Maghrib ke masjid tadi sampailah aku balik lepas solat isyak.. kau masih lagi melekat terconggok dekat sini... hisy bawa-bawalah pulang ke rumah.." tegur Halil perlahan, kadang-kadang dia rasa jelik dengan perangai Pak Mail yang langsung tidak mahu berubah, tak sedar agaknya dengan keadaan diri yang semakin di mamah usia itu.

"Ah yang kau sibuk ni kenapa Halil?? bini aku dekat rumah tu tak bising mana, kau pula yang kecoh lebih-lebih.. ada aku habiskan duit kau ke dekat sini?? si Ali ni pun tak bising menegur aku..huh baru ke masjid sehari dua dah belagak nak jadi baik.." dia mencebik.. tak suka mendengar teguran Halil itu.

"Aku bukannya nak menyibuk Mail, cuma tergerak nak menegur, mengingati sesama saudara seagama, kalau kau tak boleh nak terima terpulanglah pada kau.. Si Ali memanglah tak bising nak tegur yalah dia takut kalau tegur kau nanti, kau akan jahanamkan kedai dia pula.. kau tu kan panas baran, pantang di tegur sikit mesti nak melenting kan.." Wajah pak Ali tuan punya warung itu dipandang dan lelaki itu pula hanya mengangkat bahunya pertanda tak ingin mencampuri perbalahan mereka, dia lebih selesa menjadi orang tengah.. memilih jalan selamat.. tak mahu menyebelahi siapa-siapa.. dia hanya ingin mencari rezeki bukan ingin mencari musuh.

"Eh Halil, kalau kau baik sangat, nak bagi ceramah sangat pergilah ke masjid, yang kau pergi ceramah dekat sini kenapa? sini tempat orang makan bukan dengar kau membebel.. hah apasal kau tak balik terus kalau diri tu baik bebenar? tu anak bini kau dekat rumah tu mesti dah risaukan kau.." sindir Pak Mail.. memang pantang besar baginya orang yang menyibuk...

"Aku tak kata pun aku ni baik sangat.. terpulanglah Mail.. selagi ada masa ni berubahlah, betulkan balik hidup kau yang dah tak tentu arah ni, jangan nanti dah terlambat barulah kau terkocoh-kocoh..."

"Aku taulah diri aku ni Halil, dah jangan nak menyibuk pergi balik sana.." hisy kacau daun saja.. menyibuk tak tentu pasal, suka sangat jaga tepi kain orang.. terkumat kamit mulutnya.. tulang rahangnya juga bergerak-gerak petanda dia sedang menahan marah dan bila-bila masa saja marahnya akan terluah andai dia tidak mengawalnya.

"Aku balik dululah Mail.. aku cuma nasihat saja..Assalamualaikum.."

Matanya tajam memerhati langkah Halil sehinggalah kelibat tubuh lelaki itu hilang dalam kepekatan malam.. langsung tidak menjawab salam yang diberikan oleh lelaki itu panas hati, panas telinga bila teringatkan kata-kata lelaki tu.

"Alah Mail pedulilah si Halil tu.." tiba-tiba bahunya di tepuk perlahan, tersentak dia lantas menoleh.. nasib baik tidak melayang penumbuknya kepada orang yang menyergahnya.... memang sengaja nak cari nahas.. Wajah Deraman tersengih-sengih kelihatan di ruang matanya.. menampakkan barisan giginya yang agak kekuningan petanda terlalu kuat menghisap rokok..

"Kau ni buat terkejut aku sajalah... " dia mendengus.

"Yalah yang kau pandang si Halil tu macam nak terkam kenapa? kau kan tahu dia memang macam tu.. buat-buat tak dengar sudah.."

"Itu aku taulah.. menyampah aku dengan dia tu.. satu hari nanti aku akan ajar dia cukup-cukup biar dia tahu siapa aku.." dia mengepal-ngepalkan penumbuknya...

"Amboii.. samsengnya.. eh Mail kau nak sertai kita orang tak malam ni? dekat tempat biasalah.."

"Ha, eh tiba-tiba saja? mestilah aku nak sekali.. berapa pengerasnya? siapa lagi yang ada?"

"Geng-geng kita yang lain.. si Kassim, Toha dengan si Luncai pun ada sekali.. alah macam biasalah macam tak tahu pula.. RM50.. pukul satu pagi nanti tempat biasa..."

"OK, aku pun tak sabar nak test si Aki tu, tengok hebat ke tidak... nanti kita jumpa dekat sana.. " tersenyum lebar dia, perasaan marah tadi terus hilang entah ke mana, kalau boleh menang malam ni.. huh kaya aku.. dia mula berkira-kira.. di ruang mata hanya terbayangkan duit saja..

"Bagus.. jangan lambat tahu.."

"Ya aku tahulah.. eh aku balik rumah dululah.. nak ambil duit.." dia bangun terus bangun..

"Mail duit kopi ni siapa pula nak bayar?" tegur pak Ali bila melihat dirinya bangun berlalu tanpa membayar apa-apa..

"Alah Ali.. macam biasa masuk buku 555 esok aku bayarlah.."

Pak Ali hanya menggelengkan kepalanya, kehabisan kata.. biasanya memang begitulah kata nak bayar.. tapi bila bayarnya pun dia tak pasti.. Mail Mail... bilalah kau nak berubah..

0 Comments:

Post a Comment



  © Blogger templates uCi by Nuril 2011

Back to TOP