Tuesday, December 15, 2009

Cerpen : Dan DIA Lebih Mengerti...

"Mama... mama, bangunlah... Aina dahaga, Aina nak susu.." rengekan manja Aina mengejutkan lenanya.

Dia merengus geram, benci betul bila tidurnya di ganggu, hisy budak ni tak boleh tengok orang senang sikit, ada saja nak mengacau..

"Aina ni bisinglah, Aina tak nampak ke mama ni penat, mama nak rehat, hii kalau ya pun haus pergilah mintak papa yang buatkan, kacau sajalah budak ni.. dah pergi sana, jangan kacau mama nak rehat" kasar dia membentak pada anak kecil yang tak tahu apa-apa itu.

Anak itu hanya diam, namun mimik mukanya sedikit keruh, merajuk agaknya, ah..lantaklah tak kuasa aku nak melayannya, menyusahkan saja.. dia mengomel terus memejamkan mata, ingin menyambung kembali lenanya, sayup-sayup di telinganya dia dapat mendengar...

"Aina, mari ke sini sayang, dekat dengan papa, jangan kacau mama dia penat kerja tu tau, kesian mama.."

"Aina nak susu papa, Aina dahaga.." suara si kecil itu kedengaran merengek,

"Ok mari papa buatkan ye sayang, lepas tu nanti Aina masuk tidur ya? dah lewat.." kedengaran pula suara suaminya memujuk, semakin lama semakin perlahan di pendengarannya, sayup-sayup.... dia kembali tenggelam di alam lena..

************

Tengku Rania Juita, tekun tunduk mengadap kertas-kertas yang berada di atas mejanya, bertimbun kerjanya hari ini sampai nak angkat muka pun tiada masa rasanya. Beginilah hidupnya, sebagai seorang ketua di sebuah syarikat bertaraf antarabangsa, hari-harinya sentiasa diulit kesibukan, di depan stafnya dia adalah ketua yang bertanggungjawab, mementingkan kualiti kerja dan sedikit cerewet..

"Sayang, nanti jangan balik lambat tau, kita ada janji nak dinner dengan bonda hari ni" Fahmi mengingatkan dia pagi tadi, waktu itu dia sedang asyik menikmati sarapan pagi roti bakar yang di sediakan oleh lelaki itu..

"Ye I tau, I belum tua lagi untuk lupa itu.." dia menjawab dingin, seperti selalu nadanya itu.

"Abang tau sayang belum tua lagi, abang saja je nak ingatkan sayang, yelah mana tau kot-kot sayang asyik dengan kerja nanti terus terlupa segala benda, kesian pula dekat bonda ternanti-nantikan kita ni.." kata lelaki itu sambil tersenyum, belum pernah selama empat tahun usia perkahwinan mereka, dia melihat suaminya itu memasamkan wajah padanya, bahkan meninggi suara pun tidak langsung. Ah penyabarnya lelaki ni, bisik hatinya perlahan.

Dia mencebik mendengar ungkapan lelaki itu..

"Mama.. mama," Aina yang baru selesai mandi berlari terkedek-kedek kearahnya, anak kecil yang baru menginjak 3 tahun itu dipandang sepi, membuatkan si kecil itu terhenti, dan seperti selalunya, suaminya akan memujuk si kecil itu, dan dia bingkas bangun terus berlalu, ah masa untuk ke pejabat kini jam dipergelangan tangannya di jeling sekilas.

"Puan... puan.." Nadya melambai-lambai tangannya pada hadapan wajah ketuanya itu.

Dia tersentak, dalam sibuk begini sempat lagi aku mengelamun melayang perasaan yang entah apa-apa, dia mengeluh..

"Ya ada apa Nadya?" dia menyoal pada setiausahanya itu.

"Wakil dari syarikat RZ dah sampai.." jawab Nadya, eh Puan ada masalah ke, termenung saja aku tengok dari tadi, biasanya puan jarang termenung, hati kecilnya bergumam risau.

"ok suruh mereka masuk.." arahnya.Sementara menanti tetamunya tiba, dia mengemaskan rambut-rambut yang sedikit berjuntaian di dahinya.

**************

"Bonda apa semua ni?? Nia bukan anak kecil lagi yang hidupnya masih perlu diatur keluarga, yang masih perlu dicampuri segala urusannya.."

"Bonda tahu Nia bukan anak kecil lagi, tapi ni wasiat almarhum ayahanda Nia, tak akan Nia tak nak tunaikan..??"

"Bonda wasiat orang yang dah tak ada kenapa perlu nak tunaikan? menyusahkan sahaja..!" dia membentak kasar.

"Menyusahkan Nia kata? Hey bonda tak sangka Nia sanggup kata begitu pada permintaan almarhum Ayahanda Nia sendiri, Nia tahu tak sebab beliaulah Nia ada sampai hari ni, merasa hidup macam hari ni, sampai hati Nia.." lirih suara bonda, terkilan pun ada nadanya mendengar si anak sanggup berkata begitu.

"Kenapa mesti lelaki itu bonda? dahlah orang biasa, bukannya ada Wan, Tengku, Syed pun pada namanya.. " keluhnya perlahan.

"Nia apa ada pada nama tu hah? bonda tak pernah ajar pun tentang beza antara darjat-darjat ni..lagi pun darjat ni hanya dekat dunia ni sahaja, dekat akhirat sana nanti tak ada bezanya" tegur bonda, kurang senang.

"Nia taulah tu bonda" acuh tak acuh nadanya.

"Hah kalau dah tau baguslah, tunaikan permintaan almarhum ayahanda tu ya Nia?" soal bonda penuh mengharap.

"Penting ke bonda untuk Nia tunaikan permintaan tu bonda?"

"Ya sangat penting, sebab ayahanda Nia terhutang budi dengan keluarga dia.."

Kemalangan helikopter yang menyebabkan ayahandanya bertemu dengan ayah lelaki itu, diselamatkan oleh ayah lelaki itu dan semenjak hari itulah mulanya terjalin sebuah persahabatan dan tak sangka ayahandanya punya hasrat untuk merapatkan lagi persahabatan mereka dengan menyatukan dirinya dengan anak lelaki sahabatnya itu.

"Sebab ayahanda terhutang budi pada keluarganya, Nia yang kena jadi mangsa untuk membalas budi dan mengorbankan diri Nia?? bonda tak fikir ke perasaan Nia ni? Nia dah ada pilihan hati Nia sendiri, Nia ada hak untuk menolakkan bonda..?" dia mengeluh, tak pasal-pasal mesti aku juga yang jadi mangsa keadaan.

"Nia masih marahkan bonda? dah 4 tahun lebih peristiwa tu berlalu, Nia pun dah ada Aina, Fahmi pun bonda tengok sayangkan Nia, walaupun Nia selalu sangat sakitkan hati dia"

Rania tersentak bila bahunya ditepuk lembut dari belakang, memang usai makan malam tadi, dia menghabiskan masa mengasingkan diri duduk menyedut angin malam di balkoni.. Pandangannya dialihkan kepada wanita itu, direnung wajah itu lama, ah bonda masih tetap kelihatan jelita walaupun sudah di pertengahan 5o tahun..

"Entahlah bonda, tipulah kalau Nia kata Nia tak marah, Nia manusia biasa, ada rasa marah, benci dan terkilan, Nia cuba terima segala takdirNYA, tapi Nia sakit bonda.. sakit di sini...sangat sakit.." lemah nadanya, sambil jari telunjuknya menunjuk kearah dada, di hatinya.

"Maafkan bonda sayang, Nia anak yang baik, Nia kena belajar menjadi seorang yang redha dengan takdir ilahi, dah tertulis itu jodoh Nia, kalau Nia ikhlas, insyaALLAH Nia akan rasa bahagia, bonda kesiankan Aina, Nia selalu je endah tak endah dengan dia, macam dia bukan anak yang lahir dari perut Nia sendiri.."

"Bonda tak perlu minta maaf, bonda tak ada salah dengan Nia, bonda cuma jalankan amanah almarhum ayahanda.. " digenggamnya jemari wanita itu, seolah cuba mencari kekuatan di situ.

"Nia akan cuba layan Aina sebaik mungkin selepas ni bonda" itu janjinya, walaupun payah mungkin..

"Baguslah kalau Nia janji macam tu, Bonda tak mahu dek kerana sikap Nia yang ini,Aina menjadi mangsa keadaan, terabai.. Bonda takut Nia akan menyesal kemudian hari, waktu itu, Nia buatlah apa pun, tapi segalanya dah terlambat untuk Nia kesalkannya.."


***********

"Nia, abang nak tanya sikit ni.." lembut Fahmi membuka bicaranya.

"Apanya? I ngantuk ni, nak tidur esok dahlah kena pergi Melaka jumpa client dekat sana.."

"Kenapa Nia dingin sangat dengan Aina tu? kan dia anak Nia, kalau iya pun Nia tak suka abang, janganlah benci Aina, lepaskan pada Aina.."

Dia terdiam dengan teguran lelaki itu, pura-pura lena, pada halnya hatinya berkata-kata beribu-ribu patah bicara, sebab dia anak kaulah aku dingin..

"Nia, abang tau sayang tak tidur lagi.." tubuhnya yang dibaring membelakangi suaminya itu terasa dipusingkan. Mereka bertentangan mata kini.

"I mengantuk ni, you janganlah nak kacau I" dia mendengus.

"Abang tau Nia penat, mengantuk, cuma abang nak Nia layan Aina tu macam ibu-ibu yang lain melayan anak dia, kesian Aina, dia rindukan belaian mamanya.."

"You ni tolonglah jangan membebel, ok lepas ni I akan layan Aina macam ibu-ibu kat luar sana tu layan anak dia, puas hati??" jengkel hatinya.

"Thanks Nia" Fahmi tersenyum riang mendegar jawapan isterinya itu, walaupun jawapan tu kedengaran tak berapa nak ikhlas di pendengarannya. Dikucup dahi isterinya penuh kasih seperti kebiasaannya selalu..

"Selamat malam sayang... walaupun ikatan kita hanya sebuah aturan, aku tetap akan terus cintakan kau selama hayat ni" bisiknya perlahan.

*********

"Kenapa ni Aina" tegurnya suatu pagi bila melihat si kecil itu menangis teresak-esak, Fahmi di sisi kehairanan melihat perubahan isterinya, dia bersyukur, yelah biasanya pantang melihat si kecil itu, pasti isterinya menjauhkan diri tak pun ada saja benda yang di tak berkenan dengan anak itu..

"Mari dekat mama sayang," didepanya tangan mengharap si kecil itu menghampirinya, teguran bonda dan Fahmi beberapa hari yang lalu menyebabkan dia cuba belajar menyayangi anaknya itu.

Lambat-lambat si kecil itu mendekatinya, mungkin terkejut melihat perubahan mamanya itu, diusap lembut belakang tubuh kecil itu.. cuba dicurahkan rasa kasih seboleh mungkin walaupun terasa sedikit janggal.

"Syii pagi-pagi dah nangis, kejap lagi papa buatkan susu.. Aina jangan nangis, anak mama budak baik, budak baik tak boleh banyak nangis, banyak nangis nanti mata bengkak, kan dah tak comel anak mama nanti" dia memujuk sambil matanya melirik kepada Fahmi..

Jam dipergelangan tangan diperhatinya sekali imbas, menghampiri 8.15 pagi, dia kena pergi pejabat dahulu..

Dia bingkas berdiri, Aina yang masih dalam dukungan diserahkan kepada Fahmi yang baru selesai membancuh susu untuk Aina.

"I dah lambat, I pergi office dulu" ucapnya sambil menghadiahkan senyum manis pada Fahmi, kata-kata bonda masih tergiang-ngiang di telinganya, ya aku kena belajar jadi redha supaya aku dapat berpeluang merasai sebuah bahagia. Teringat pula kata seorang penulis dari sebuah buku yang pernah dibacanya dahulu yang kebahagiaan itu datangnya dari diri kita sendiri sebenarnya, dari bagaimananya kita ihklas menerima orang lain hadir dalam hidup kita, dari bagaimana kita memberi peluang kepada orang lain menyintai diri kita dan kita menyintai orang lain.

Ops hampir terlupa pula, dia baru teringat sesuatu.. dia berpusing kembali mengadap suaminya.. Dihulurkan tangan kepada lelaki itu, selama 4 tahun perkahwinanya inilah pertama kalinya dia bersalaman dengan lelaki itu sebelum bepergian.

Tercengang Fahmi tetapi huluran tangan itu tetap juga disambutnya. Perlahan bibirnya mengukir senyum gembira dan bersyuku didalam hati. Alhamdulillah masuk jugak teguran aku hari ini. Dia bersyukur dalam hati.


**********

"Mama... mama..." Aina yang berada dalam dukungan Fahmi melambai-lambai girang padanya, si kecil itu sudah pandai mahu bermanja dengannya, yelah biasanya jika melihat kelibatnya, anak itu mesti terus terpempan segala kelakuan dan merengek pada papanya sahaja.

Rania membalas lambaian si kecil itu, waktu itu dia sedang mengambil angin petang di balkoni sambil memerhati telatah suaminya melayan kerenah Aina.

Cerianya anak itu hari ni luar biasa sangat, sampaikan timbul rasa hairan di benaknya. Suaminya pula lain macam pula manjanya sampaikan segala benda nak dia yang lakukakan.. Rania menggetap bibir.. ah perasaan aku saja kot, mungkin memang setiap hari mereka begini, bezanya sebab aku yang terlalu dingin sampaikan tidak perasan segala laku mereka, bisik hatinya perlahan.

"Nia tak lama lagi birthday Aina, abang rasa kita buat kenduri doa selamat je dengan tahlil almarhum ayahanda sekali nak?" soal Fahmi malam tadi ketika mereka sama-sama menonton televisyen.

Rania kehairanan, Lama dia terdiam, ah.. baiknya lelaki walaupun tak sempat bergelar menantu selama hayat ayahanda ada, tapi dia tetap ingatkan ayahanda mengalahkan aku ni sebagai anak kandung pula..

"Err bila birthday Aina? 21 November kan? kalau tak silap I isnin ni ye?" dia ingat-ingat lupa.. isk mama apalah aku ni..

"A'ah.. isnin ni..tak sangka ye pejam celik pejam celik anak kita dah menginjak 3 tahun" ceria sekali wajah lelaki itu tika itu.

"Ok kalau begitu, I ikut sajalah cadangan you, monday nanti i kerja half day, I tak boleh ambil cuti sebab ada meeting penting pagi tu" putusnya.

"Ok thanks sayang.." ucap lelaki itu girang.

2 hari lagi birthday Aina, tapi kenapa hati aku sering berdebar-debar?? ah.. mungkin perasaan aku saja, bisik hatinya perlahan.

*******

"Hey you dekat mana ni? boleh cepat sikit tak? I ada meeting ni.."

"Sabarlah sayang, abang tengah drive ni, jalan sesak sangat, nak bawa laju pun tak boleh.. " kedengaran tenang suara lelaki itu dihujung talian memujuk dirinya, berselang-selikan suara Aina yang berceloteh itu dan ini di hujung talian.

Hai waktu-waktu macam ni boleh pulalah dia nak rosak tengah-tengah jalan ni, dahlah aku ada urgent meeting, yang si Fahmi ni manalah dia tak sampai-sampai lagi. Jam tangannya di perhatikan lagi dan lagi. Teksi pun satu pun aku tak nampak lalu disini, Rania mendengus geram terperangkap dengan situasi yang tak diduga.

Hai mana ni.. dah 45 minit dah aku tunggu, dari rumah ke sini rasanya tak sampai pun 20 minit, takkan tak lepas-lepas jam dari tadi, dia mula rasa hairan. Butang-butang di telefon bimbitnya ditekan-tekan mendail nombor suaminya, lama... tak berangkat sehingga masuk ke peti simpanan suara. Dia mula hairan.. aik kenapa pula tak diangkat ni.. saja nak buat aku marah ke apa.

Didailnya sekali lagi nombor milik suaminya, lama barulah berangkat.. kedengaran agak hingar bingar suasananya...

"Hello.. you dekat ma.." tak sempat dia menghabiskan ayatnya, soalannya telah di potong oleh suara asing yang menyatakan sesuatu yang tidak diduga olehnya.. Dunia terasa seolah-olah berhenti berpusing ketika itu, dia tidak peduli di mana dia berada tika itu, semangatnya seolah melayang pergi dengan khabar yang baru didengar sebentar tadi, dia terjelepok lesu.. dan disitu juga dia menangis teresak-esak... tak sedar berapa lama dia disitu, sehinggalah dia merasakan ada tangan-tangan yang memimpin, memapah tubuhnya...

********

"Fahmi.. jom turun bawah sayang, nenda datang tu.." tubuh anak kecil yang masih terpisat-pisat matanya baru terjaga dari tidur didukungnya penuh kasih. Putra Fahmi Izzudin Bin Fahmi Izmi, zuriat yang ditinggalkan oleh arwah suaminya 2 tahun yang lalu, Zuriat yang ditinggalkan untuk menemani dirinya dan membela nasibnya didunia ini.

"Alolo cucu nenda, baru bangun tidur ye sayang, mari dekat nenda.." ujar bonda sambil menghulurkan tangan mengambil Fahmi dari dukungannya.

"Nia nak siap kejap ya bonda, lepas ni kita pergi sama-sama.." dia meminta diri untuk memperkemaskan dirinya sebentar, dan bonda pula hanya mengangguk sebagai jawapannya.

Puteri Aina Jesnita Binti Fahmi Izmi, dan Fahmi Izmi Bin Haji Fakhrul.. itulah perkataan yang tertera di nisan putih yang berdiri kaku di tanah perkuburan itu, dia memandang sayu, sayu kerana kehilangan insan-insan yang dicintai dalam sekelip mata, benarlahkan.. kita akan menghargai sesuatu itu bila ia telah pergi, hilang tiada di sisi, dan itulah yang dirasai olehnya kini, dia ingat lagi waktu itu majlis yang sepatutnya menjadi majlis doa selamat sambutan hari lahir Aina yang ke 3 tahun bertukar menjadi majlis tahlil arwah.

Kemalangan yang tidak diduga, kemalangan akibat kesilapan orang lain, sebuah kereta yang di pandu melulu hingga merempuh kereta yang dipandu arwah Fahmi sehingga menyebabkan suami dan anaknya hilang nyawa, sehingga sekarang dia masih tidak mampu memaafkan pemandu mabuk itu, bukan dia tidak redha, cuma dia terkilan..

Sakitnya dan pedihnya waktu dia cuba belajar menerima ketentuanNYA hanya ALLAH saja yang tahu rasanya. Kira-kira 5 minggu selepas peristiwa itu, barulah dia sedar dirinya hamil anak kedua, terubat jugalah dukanya tika itu, dan anak itulah yang menjadi semangatnya.

Rumput-rumput yang mula tumbuh meliar dicabutnya, memang itu rutinnya jika menziarah ke sini.

"Assalamualaikum abang..." diusapnya nisan kaku itu perlahan.

"Anak kita dah pandai berjalan.. habis semua barang-barang dekat rumah dilanggarnya tau.. tapi Nia tak kisah, tak marah pun, lagi satu anak kita macam abang juga, suka sangat tersenyum.. mesti kacak macam abang bila dah besar nanti kan.." dia berbisik perlahan menceritakan perkembangan putera mereka, bonda disisi hanya memerhati sambil menahan sebak.

"Assalamualaikum anak mama.. "

"Aina.. puteri mama yang comel, jaga papa untuk mama ye sayang.." diusapnya pula nisan kaku milik Aina, lama dengan sebak yang tak tertanggung, bila diingatkan segala lakunya dulu, agaknya inilah balasan buat dirinya.. kehadiran Aina jarang diendahkan mungkin itulah yang menjadi sebab Aina di ambil pergi dari hidupnya, agar dia merasa kehilangan, agar dia menjadi insan yang lebih menghargai. Penyesalan yang tidak sudah dalam hidupnya.

"Maafkan mama Aina, selalu abaikan Aina sewaktu hayat Aina dulu.." disiramnya air mawar di atas pusara anak itu.

"Jom kita pulang Nia, dah lama rasanya kita dekat sini, hari pun dah nak senja, tak elok berada diluar rumah waktu-waktu senja ni.." ajak bonda dan dia hanya mengangguk kepala. Fahmi yang didalam dukungan bondanya di ambil. Riang sungguh suara anak itu berceloteh itu dan ini dengan bahasa yang hanya anak itu saja yang faham, dia tersenyum, terhibur mendengarnya.

"Abang.. Nia balik dulu ya, nanti jumaat depan Nia datang lagi.. Nia sayangkan abang, dan Nia janji akan jaga anak kita ni baik-baik, Aina.. mama pulang dulu ya sayang.. Minggu depan mama datang lagi.. mama sayangkan Aina sangat-sangat tau.." bisiknya sebelum berlalu. Seolah masih terngiang-ngiang celoteh Aina dan arwah Fahmi di hari-hari terakhir mereka bersama, sesungguhnya mereka tak pernah luntur dari ingatan ini.

Biarkan dia pergi janganlah dikesalkan,
Tuhan lebih mengerti apa yang disuratkan....

Ya ALLAH ya Tuhanku, aku tahu kau ambil dia dan anakku itu agar aku menjadi insan yang lebih menghargai, redha dengan setiap ketentuanMu, dan sabar dengan setiap dugaMu, maafkan aku atas keterlanjuran sikapku, perbuatanku dan juga percakapanku, tempatkanlah insan-insan kesayanganku ini dalam kalangan mereka-mereka yang beriman... amin.

4 comments:

nurul sha_eka said...

waaa best sangat-sangat
cukup menyayatkan hati...
tp sedih laaaa
keep it up..

sinichies_girl88 said...

tersentuh hati ini membacanya...
huhuuh....

lizz said...

wah..best la cite ni..tersentuh hati esp bab2 kematian ni..tapi dlm cite ni hsbn nia tu tak kerja ke? nampak cam wife jer kerja...anyway..memang berbakat..teruskan..

eja said...

sedihnya :'( ak bca pun sampai nangis uhuhuhu....

Cerita-cerita yang dinukilkan adalah antara kisah-kisah yang terjadi di sekeliling ini. Sekadar berkongsi suka-duka kepada semua. Yang baik sama-sama kita jadikan tauladan, dan yang buruk itu kita ambil dan jadikan sebagai sempadan.

Segala cerita dalam ni adalah karya asal, sebarang copy adalah tidak dibenarkan. Mana-mana kisah yang mungkin ada menyinggungkan perasaan semua tu di luar sedar saya, salam kemaafan saya hulurkan terlebih dahulu.


Salam dari saya,