Sunday, November 15, 2009

Cerpen : Aku Bukan Kau


Aku bukan kau sesedap hati menyatakan rasa, aku bukan kau seenak bicara meluahkan kata, aku bukan kau!! kau bukan aku!! aku bukan kau...!! kau faham tak??? hatinya menjerit, tapi tiada siapa yang mendengar..

Dia mengeluh, kenapalah semua orang kat sekeliling aku ni tak pernah nak belajar faham apa yang aku rasa? Kenapa semua buat-buat tuli, pekak bila aku meluah bicara, kenapa semua buat-buat buta tak nampak ketika lakuku meluah protes pada mata pandangan mereka? kenapa? kenapa???

Kenapa biarkan aku terlahir kedunia ini andai sering kali rasa perasaanku diketepikan? kenapa lakukan aku layak seperti pintu kayu? yang bila marah akan dihempas sekuatnya, kenapa hakku seolah kau nafikan sedangkan aku punya layak untuk terus meluah suara. Aku tak faham.. hatinya gusar, campur sekali dengan rasa walang, hurm sampai ke bilanya hidup aku ini akan terus diatur, dicampur tangan oleh orang lain? sampai ke mananya sudah hidup ku ini?

***********

"Mummy tengok surat apa yang Nea dapat ni??" gembira bercampur riang mengunjuk sampul surat berwarna coklat.

"Surat apa tu?? mummy busy ni.." acuh tak acuh Puan Melina menyambut unjukan anaknya

"Sukacita dimaklumkan bahawa pihak kami setelah dipertimbangkan segalanya dan selepas menemuduga saudara/i kami dapati saudara/i telah layak dengan kursus yang ditawarkan oleh pihak kami iaitu kursus Penulisan Seni Layar....."

Membulat mata Puan Melina membaca sepotong ayat yang tertera dalam isi surat tawaran itu..

"What???? apa ni?? kan mummy dah kata mummy tak suka Nea ambil kos ni, Nea tak faham ke??"

Tersentak Nea bila melihat angin mummynya berubah tiba-tiba, dia terkelu.. salahkah apa yang aku cuba lakukan? tanyanya dalam hati. Salahkah? setelah kuturutkan segala kemahuan mummy dan daddy, setelah aku berjaya mendapatkan ijazah dalam bidang perniagaan seperti kehendak mereka, sekarang tibalah masanya untuk aku turutkan kehendak diriku sendiri.. itu pun menjadi satu kesalahan ke? Habis mana hakku sebagai seorang manusia yang berperasaan? bila perasaanku diketepikan tanpa timbangan.

Scrathh....!! bunyi kertas surat tawaran yang disiat itu menyiatkan sekali hatinya tika itu, tak sangka sampai hati mummy buat Nea begini, rintihnya dalam hati.. Berkecai bersama harapan yang lebur.. jawapannya mudah, bidang ini tak menjamin masa depannya itu yang pada fikiran mereka sedangkan fikirannya lain..

"Mummy tak suka apa yang Nea cuba buatkan ni, dahlah kos ni tak ada masa depan, mummy dah sediakan segalanya untuk Nea, Nea just sambung apa yang mummy dah sediakan, syarikat daddy tu siapa nak jaga kalau bukan Nea? tu saloon mummy tu siapa yang nak ambil alih kalau bukan Nea?? Nea ni satu-satunya anak kami..." panjang lebar sekali bicara mummynya kali ini.

Huh itulah yang diulanginya dah naik hafal dah aku dengan ayat mummy tu.. hai kalau dijawab dikatakan menjawab, nanti dikatakan kurang ajar, karang tak pasal-pasal jadi anak derhaka.

Dipandang sayu kearah carikan kertas yang bertaburan diatas ambal, lambat-lambat dia tunduk mengutip cebisan kertas itu... surat tawaran yang telah pun berkubur menjadi kenangan.. hanya sekejap gembira itu hadir dan sekelip mata ia dinyahkan kini, terikat dengan tanggungjawab yang sedia tergalas di bahu seorang anak... air mata bergenang, hampir tumpah, tapi pantas disekanya, mengelak dari di sedari oleh mummynya, yelah.. nanti bertambah panjang pula leteran mummynya itu.

*********

Bisingnya... dia menekup telinganya dengan bantal, sangat tertekan dan menyiksakan, begitulah selalunya andai teman-teman keluarganya bertandang, nama saja keluarga muslim, tapi sayang lebih kebarat dari orang barat. Huh teguk arak macam minum air coke, sangat menyedihkan.. keluarga aku kaya, tapi miskin ilmu agama, kaya dunia tapi miskin akhirat... ya ALLAH tolong ampunkan dosa keluargaku, tolong ampunkan dosa aku juga sebab aku tak mampu nak sedarkan mereka..

Aku ni macam boneka saja dekat dalam rumah ada macam tak ada, wujud macam tak wujud.. Aku teringin sangat, sangat-sangat teringin nak rasa, nak tahu maksud sebenar kebahagiaan tu?, macam keluarga orang lain, tak punya harta berlambak tapi punya kasih sayang melimpah, perhatian yang melaut..tapi sayang... keluarga ku yang ini sangat jahil.. malu kadang-kadang orang tanya, usia seperti ku sudah berapa kali khatam al-Quran,.. yelah orang seusia aku ni sepatunya sudah 3,4 kali khatam.. hai apa nak buat keluarga aku tamakkan dunia.. sayangkan dunia, cintakan dunia... lebihkan dunia..

***********

Kebas dah rasa muka ni rasanya.. dia mengeluh, yelah dari tadi asyik melorek senyum tampal di wajah ni, sudahlah tak kenal sesiapa pun yang daddy perkenalkan ni.. Nea Rindiani mengeluh.. Hari ini hari pertamanya dia di sini di syarikat milik daddynya.

"Aku tak tahu sama ada perlu ke tidak aku disini..sudah lah staff-staff daddy semuanya macam takut-takut saja nak dekat dengan aku, macamlah aku ni makan orang...hisy.." rimas bila terlalu dihormati..

"Cik Nea ni fail syarikat, Tuan Lutfy suruh saya bagikan pada cik, dia hendak cik tengok-tengok perjalanan syarikat dan kedudukan kewangan syarikat ni.." hulur Jesnita kepadanya.

Dia hanya mengangguk, dikerling pas pekerja milik Jesnita, owh.. patutlah setiausaha daddy..

"Letak situ... err.. Jesnita awak kata dekat daddy, saya nak keluar sekejap.." beritahunya..

Dah tak larat untuk memaksa diri berada di tempat yang diri sendiri tak suka.. rasa macam sesak, merimaskan.. dan Jesnita hanya mengangguk saja mendengar arahannya, yelah anak boss, siapa boleh halangkan.. suka hati dialah nak buat apa, bisik hati kecilnya..

**********

Tasik Putrajaya, walaupun penuh kadang-kadang dengan ramai pengunjung yang datang, tapi entah kenapa dia suka membawa diri ke sini bila dilanda keresahan.. dia suka memerhati kerenah mereka yang pelbagai, ada yang mencuit hatinya dan kadang-kadang ideanya melimpah di sini..

Buku nota kecilnya yang berada dalam saku belakang seluarnya di keluarkan, pen yang berada dalam tas tangannya di capai, dan dia mula menulis melakar idea-idea yang mula mendatang.. begitulah selalunya, dia akan kembali tersenyum gembira bila mula menulis, memang minatnya tumpah di sini bukan pada syarikat milik daddy itu atau pun saloon milik mummy..

Puisi : Maafkan aku.

Maafkan aku ya Tuhan,
Aku bukan hamba yang taat,
Bukan juga hamba yang selalu mengingatiMu,
Dan bukan juga hamba yang sentiasa mendahulukanMu,

Dunia yang hanya sementara ini lebih ku kejar,
Sedangkan akhiratMu sering ku biar.
Tanpa sedikit rasa gusar,
Cintakan dunia membuatkan aku alpa tanpa sedar,

Maafkan aku kedua orang tuaku..
Sering kali kucuba turuti segala kemahuan kamu,
Kerana aku tahu aku anak kalian yang satu-satu,
Tapi aku tak mampu,
Aku ada kehendakku, ada keinginanku..
Tapi siapalah aku..
Kuabaikan rasa bahagia diriku,
Untuk membahagiakan kamu..

Maafkan aku ya Tuhanku,
Gagal menjadi hamba yang sentiasa mendahulukanMu

Maafkan aku orang tuaku,
Gagal menjadi anak yang sentiasa menyenangkan kamu..

Maafkan...
Maafkan...
Maafkan...
Hanya kebahagian yang terlalu sering menjadi impian..

Nea mengetap bibir, ada rasa sebak yang mengetuk jiwanya kini ketika membaca puisi nukilan sendiri, kalaulah aku mampu, aku nak mereka baca puisi ini, biar mereka tahu rentak apakah yang sering berlagu dalam jiwaku ini...

Tangisan anak kecil menyedarkan dirinya daripada terus tenggelam dalam dunianya sendiri, pantas wajahnya dipalingkan kearah mana datangnya suara itu, di lihatnya seorang ibu muda sedang memujuk anak kecilnya yang menangis akibat terjatuh ketika berkejaran bersama saudara-saudaranya yang lain..

Dia tersenyum pahit.. teringat dia ketika zaman kanak-kanaknya dulu, dia tak berkesempatan merasai semua itu, sakit demamnya hanya di tangan orang gajinya, jatuh bangunnya juga di tangan orang gajinya, kedua orang tuanya terlalu sibuk, kadang-kadang berhari-harian dia ditinggalkan ditangan orang gajinya..

**************

"Macam mana hari ni? semua ok kat office tadi Nea?" soal Tuan Lutfy sebaik melihat anak tunggalnya itu melangkah masuk.

Dia hanya mengangguk malas, bosan, dahlah dekat office tu macam-macam kerenah, bila sampai rumah ingat nak berehat dari hal kerja yang berlambak dan menyenakkan otak ni, tapi tetap jugak itu yang disoalkan, macam tak ada benda lain nak di tanya.. dia mengeluh..

"Hah Nea esok jangan lupa, pergi saloon mummy, mummy nak kenalkan Nea pada staff-staff kita kat sana, yelah tak lama lagi kan Nea nak ambil tempat mummy" Sampuk Puan Melina pula..

Dia menggetap bibir, apa mereka ingat aku ni robot ke? semua benda nak di suruh buat..

"Ala mummy lain kalilah, banyak kerja kat pejabat tu.." dia cuba menolak.

"Lain kali bilanya? tak ada, mummy dah tanya daddy tadi, daddy kata ok je.." ujar Puan Melina sambil mengerling kearah Tuan Lutfy yang sedang bersandar santai sambil menghisap curutnya..

Hisy daddy ni, doctor dah suruh berhenti hisap benda tu pun masih degil.. bukannya ada faedah pun benda tu, buang duit saja, sempat dia membebel dalam hati tentang kedegilan daddynya menghentikan tabiatnya yang satu itu.

"Yelah, tengoklah macam mana, Nea naik atas dululah, nak solat, belum asar lagi ni.." sengaja ditekankanya perkataan solat di pendengaran kedua orang tuanya, yelah umur dah menginjak senja tapi belum pernah di sepanjang usinya dia melihat kedua orang tuanya sujud di tikar sejadah.. Ya ALLAH sedarkan mereka, doanya dalam hati..

**********

Tangannya lincah menekan papan kekunci laptopnya, laju selaju idea yang mengalir di benaknya, dia cuba menyiapkan cerpennya yang bertajuk Dia Lebih Mengerti yang sudah hampir sebulan tertangguh dek kesibukan dirinya akhir-akhir ini.

Sesekali wajah dikerutkan, sesekali wajahnya bertukar hiba, terutama bila sampai pada babak yang agak menyedihkan, dan sesekali dia tersenyum bila taipannya sampai pada babak yang sedikit menggembirakannya..

Selalunya begitu, dia sering curi-curi menulis andai berkesempatan, dia tak mahu kedua orang tuanya tahu, kalau tidak habislah dirinya akan dileteri..

Dia bersandar perlahan pada kerusi itu, merehatkan sebentar pinggangnya yang mula rasa lenguh..

Fikirannya menerawang, sampai bila macam ni? aku lebih rela hilang harta yang berjuta tu asalkan aku mampu kecap bahagia tu.. harta boleh dicari, tapi perhatian, kasih sayang semua tu mana nak cari, mana nak dapatkan.. entahlah, kadang-kadang aku rasa sangat penat dengan semua ni, aku boneka bernyawa perliharaan mummy dan daddyku, dari dulu sampai sekarang aku tak pernah di beri pilihan, diberi ruang untuk menyatakan apa rasaku..


********

"Ok Nea, now segalanya milik Nea, Mummy nak Nea jaga saloon ni seperti mana mummy jaga, dan uruskan.. lega hati mummy sebab Nea dah sampai umur untuk ambil alih segalanya milik mummy.." senyum lebar penuh gembira wajah Puan Melina sewaktu itu, dia ingat lagi.. ya semua tergalas berat di bahunya, usiaku baru menginjak 23 tahun, tapi aku telah di bebankan dengan tanggungjawab yang aku sendiri tak mampu nak pikul.

Orang seusia aku, mana ada yang nak fikir tentang syarikat, tentang macam mana nak mengukuhkan sebuah empayar, tentang macam mana nak bagi customer suka dengan servis kita tapi aku.... semua aku kena fikir... agaknya kalau macam ni, lama-lama memang aku akan jadi gila.. dia mengeluh. Dicuba memaniskan wajahnya semanis mungkin yelah air wajah mummy kena jaga jugak..

"InsyaALLAH mummy, Nea akan cuba buat yang terbaik, jawabnya..."

************

"Cik Nea, kita ada masalah... " adu Jesnita satu pagi ketika dia sedang tekun mengadap kerjanya..

"Masalah apa Jesnita?" hatinya dihambat risau, takut masalah itu akan memberi impak besar pada syarikatnya, apa dia nak jawab dengan daddy nanti.. isk

"Barang yang client kita dari Terengganu tu pesan, dia kata banyak rosak, so mereka nak ganti rugi atau mereka akan saman kita.."

"Hah banyak rosak?? macam mana pulak boleh jadi macam tu? kan kita dah semak dulu sebelum hantar then semua ok, ni mesti rosak waktu dalam penghantaran.. " dia terkejut, memang dia sendiri yang memeriksa barang-barang tersebut sebelum penghantaran di buat.

"Hurm awak call pihak mereka, tanya macam mana, kalau mereka setuju dengan tawaran kita nak bagi ganti rugi yang baru, esok juga saya akan ke sana.." dia memberi arahan.. memang dia tak suka bila timbulnya masalah dan bertambah tak suka andai masalah itu mengganngu kerjanya.

***********

"Apa semua ni Nea??" keratan akhbar yang tertera gambar seorang wanita yang mengadu

"KULIT MELECUR SETELAH MENGGUNAKAN KRIM PEMUTIH KULIT DARI SEBUAH SALOON TERKEMUKA" di campak ke wajahnya sebaik sahaja dia melangkah kaki ke dalam villanya.

"Kamu baca tu, dari saloon siapa? mummy nak Nea beritahu kenapa boleh jadi macam ni? 17 tahun mummy jaga saloon tu tak pernah ada kes ni, ni Nea baru beberapa hari dah bermacam-macam hal, mana mummy nak letak muka mummy kalau macam ni ha? kenapalah Nea ni susah sangat nak menyenangkan hati mummy.. " leter Puan Melina, marah benar nampaknya.

Nea Rindiani tersentak, tak satu, satu yang datang, masalah dengan syarikat daddy baru saja selesai ni pasal saloon pulak, berat betul dugaanMu kali ini Tuhanku..

"Nea tak tahu mummy, Nea hanya guna product yang memang dah ada kat saloon kita tu je, Nea minta maaf mummy sebab Nea susahkan mummy, Nea minta maaf, Nea janji akan selesaikan kes tu mummy.." dia berjanji..

"Maaf, maaf, maaf... tu jelah yang kamu tahu.. mummy nak Nea bersihkan nama mummy yang kotor tu.. kalau tak mummy tak akan maafkan Nea.." ugut wanita itu.

************

Tuan Lutfy dan Puan Melina berpandangan sesama sendiri, sudah hampir seminggu anaknya itu hanya berkurung dalam bilik, office tak pergi, saloon pun tak jenguk.. yang dia tau berkurung dalam bilik dan termenung, mungkin dia terasa terlalu terbeban dengan apa yang terjadi akhir-akhir ini.

Bunyi dentingan loceng rumah, menyentakkan lamunan mereka, pantas langkah Tuan Lutfy diatur ke pintu, tak sabar bertemu orang yang bertandang itu..

"Sabar Luth, I tau you risau.." Doktor Rizal menepuk bahunya perlahan.

"Mana I tak risau Riz, tak pernah-pernah dia jadi macam ni.."

"Ok biar I periksa dia dulu, mana dia?"

"Kat dalam bilik, termenung je, mari I tunjukkan.."

30 minit menanti Doktor Rizal selesai memeriksa Nea di rasakan terlalu lama, segalanya bercampur aduk bermacam rasa yang hadir dalam diri mereka.

"Bagaimana Riz??" tak sabar dia bertanya sebaik sahaja melihat lelaki itu melangkah keluar dari kamar anaknya.

Lelaki itu hanya tersenyum tapi hambar..

"Susahlah Luth, dia tak nak tolong diri dia sendiri, sepatah yang I tanya, sepatah yang di jawabnya, dari apa yang I perhatikan, dari simptom-simptom yang ada kelihatan dia mengalami kemurungan, mungkin dia tertekan.. cuba you ingat-ingat balik peristiwa apa yang berlaku akhir-akhir ini, mungkin buat dia terbeban.." panjang lebar lelaki itu menerangkan

Tuan Lutfy hampir terkelu mendengarnya, Puan Melina apatah lagi.. ya terlalu banya peristiwa yang menekankan jiwa muda anaknya.

Serentak ingatannya terlayang pada peristiwa dalam keratan akhbar itu, sudah puas anaknya itu dimarah dan dileteri, barulah dia tahu yang akhbar itu silap menulis nama saloon, dan telah memohon maaf padanya pada keesokan harinya.. Puan Melina menggetap bibir.

"Boleh sembuh ke Riz?" tanya Puan Melina tak sabar.

"Biasanya boleh, bergantung kepada kekuatan mental dia, you all kena selalu ada kat sisi dia, biar dia rasa dia tak sendirian, biar dia rasa sentiasa berteman, dan lagi satu mungkin boleh bawa dia jumpa pakar-pakar kaunseling, mungkin dia ada memendam sesuatu yang you all tak pernah nak ambil tahu.."

Berdesing telinga, terasa tersindir dengan kata-kata Doktor Rizal itu.. memang betul pun, mereka mengiyakan dalam hati, memang jarang sekali mereka mengambil tahu perasaan anak itu.

**********

"HOSPITAL BAHAGIA TANJUNG RAMBUTAN" sayu matanya memandang tulisan yang tertera pada papan tanda itu.. Adakah ini makna bahagia yang kau cari anakku?? teringat dia bait akhir sajak tulisan anaknya itu dulu yang di temui dalam buku nota kecil anaknnya ketika dia mengemas bilik anaknya..
"Hanya kebahagian yang terlalu sering menjadi impian.."

Perlahan matanya di pandang ke arah seorang gadis yang terlalu asyik tunduk menulis sesuatu, sesekali gadis itu tertawa kecil, entah apa yang lucunya dia pun tak tahu..

Dia kesal, segalanya dah terlambat, jiwa anaknya dah terlalu parah lukanya, ini saja jalan terakhir yang mampu dilakukan oleh dia dan suami.. dan baru sekarang dia belajar merangkak-rangkak membaca al-Quran, lidah terasa keras, muka terasa malu tapi demi rasa cinta kepadaNYA yang baru mula tumbuh bercambah, digagahkan juga..

"Maafkan mummy dan daddy, Nea.. kalaulah mampu masa lalu itu diundur, memang Nealah yang akan menjadi keutamaan kami dulu..." bisiknya perlahan, terasa ada jemari yang menggenggam tangannya, dia menoleh, dilihat wajah Tuan Lutfy yang sedang menahan sendu, menahan air mata dari gugur..

Monday, November 2, 2009

Cerpen : Dendam Cinta




Dia tunduk, terbongkok-bongkok tekun menyapu sampah-sampah yang bertaburan di kaki-kaki lima rumah kedai itu, sesekali tangannya menyeka peluh didahi yang mula merembes keluar.. kehangantan cahaya matahari turut terasa bahangnya, membuatkan tekaknya terasa kering, pantas botol air mineral yang diletakkan seketika di tiang berhampiran cuba di gapainya, namun belum sempat dia mencapai, ada kaki yang terlebih dahulu menendang botol air itu, membuatkan dia tergamam, tersentak, habis tergolek botol itu kelongkang yang berhampiran.. dia hanya memerhati, terpana dan terpempan.. Pemilik kaki itu pula terus melangkah pergi tanpa sedikit pun memohon maaf...

"Encik..." dia memanggil.. tetapi lelaki itu buat tak dengar... akhirnya dia mengambil keputusan...
mengejar lelaki itu dan tangan lelaki itu di raih, membuatkan lelaki itu menoleh...

"Apa ni...!! lelaki itu menengking, sambil tangannya yang lagi sebelah mengibas-ngibas lengan baju yang di sentuh oleh gadis itu...

"Encik tendang air saya tadi..." Dia memberitahu..

"Err air kau ke tadi? aku ingat air orang buang-buang..." selamba lelaki itu menjawab, sedikit pun tak meminta maaf.

"Ganti balik air saya tu tadi.." Dia meminta, peduli lah orang nak kata, tapi baginya, setiap apa yang di beli menggunakan setiap sennya adalah sangat bernilai.

Lelaki itu tersenyum mengejek mendengar permintaannya, dasar orang miskin, semuanya berkira..

"berapa harga air kau tadi?" dia bertanya angkuh sambil mengeluarkan dompet duit yang tebal isinya.

"60 sen jea encik..." Jawabnya sambil menadahkan tapak tangannya.

"Ceh 60 sen pun kau nak kecoh macam harga 600 ringgit, nah ini ganti rugi untuk air kau dan tips sebab buang masa aku.." ujar lelaki itu sambil mencampak duit not 10 ke wajahnya, dia hanya menggetap bibir menahan malu, memerah wajahnya tika itu.. ah orang kaya memang sombong agaknya.


***********

Awatif Tiffani... tulisan yang tertera di pintu masuk kayu berukir cantik itu dipandangnya lama, cantik namanya, mesti orangnya pun cantik.. desis hati Mikael Zamy.

Menurut stafnya clientnya yang ini masih muda belia, berusia lingkungan akhir 20an.. tapi dah ada syarikat sendiri, tentu hebat perempuan ni... hatinya berbisik..

Dia menarik nafas perlahan dan menghembusnya, juga perlahan... perlahan tangannya mengetuk pintu itu... hampir satu minit barulah dia mendengar suara memberi arahan masuk dari bilik itu.. Tombol pintu dipulas perlahan.. Dilihatnya ada seorang wanita yang sedang tunduk tekun menulis sesuatu di atas kertas.

"Assalamualaikum ..." dia memberi salam..

"Waalaikumussa....lam..." Awatiff Tiffani menjawabnya, sedikit terkejut lalu jawapannya menjadi gugup.. namun pantas rasa gugup itu disembunyikan dengan lorekan senyum diwajahnya. Dia berdiri. Memandang pada wajah Mikael Zamy. Macam pernah ku lihat lelaki ini.. tapi dimana ya? cuba diputarkan kembali ingatannya, mana tau kalau-kalau mereka pernah berjumpa, tapi dia tak berjaya, ah mungkin pelanduk dua serupa kot.. putusnya akhirnya.

"Silakan duduk Encik" dia mempersilakan..

"Terima kasih, oh ya saya Mikael Zamy dari d'Harmony Corporation.." Dia menhulur salam petanda memperkenalkan diri, sempat juga di kerlingnya pada wanita di hadapannya itu, cantiknya dia, pujinya dalam hati..

Awatiff Tiffany hanya memandang sekilas pada huluran tangan itu..

"Maafkan saya Encik Mikael" ucapnya sambil memberi isyarat mata yang dia tidak bersalam dengan lelaki.

Berubah wajah Mikael mendengar jawapannya, cis dah ku nampak jelas didepan mata yang dia tu jenis bertudung, kenapa ku hulurkan juga tangan ni? ah tapi kan tak semestinya yang bertudung ni ni alim macam dia yang tak menyambut huluran salam bukan muhrim.. sempat lagi hatinya mengomel.

"Saya Awatiff Tiffany, boleh panggil Tiffany je, lebih ringkas.." dia memperkenalkan diri, dia perasaan perubahan pada wajah lelaki itu, tapi dia buat tak endah, padan muka kau, tulah main redah je, apa kau ingat semua perempuan korporat dan moden ni murah ke? mudah sangat berjabat salam dengan lelaki ajnabi? sempat lagi dia mengejek dalam hati...

"ok saya tak mahu buang masa, saya percaya cik Tiffany mesti banyak urusan lain, jadi apa kata kita teruskan saja pada topik perbincangan kita" Mikael memulakan bicara, setelah hampir 5 minit dia terdiam..

"Ok Encik Mikael, saya dah fikirkan dan dah pun berbincang dengan ahli lembaga pengarah yang lain, jadi kami telah bersetuju membuat keputusan untuk mengikat kontrak dengan dengan syarikat encik.."

"Kalau begitu keputusan dari pihak cik Awatiff, kami amat berbesar hati menerimanya, jadi nanti saya suruh my lawyer sediakan document-document yang berkenaan, dan surat agreement kita ni dan next week kita boleh sambung perbincangan kita dengan lebih lanjut.." Dia berdiri, memang dia tak boleh berlama, sebab sebentar lagi dia akan berlepas ke Brunei untuk bertemu clientnya di sana pula.

Awatiff Tiffany mengangguk, dia juga turut berdiri untuk menghantar tetamunya itu kemuka pintu sebagai tanda penghormatan.

***********

"Tiff apa yang kau menungkan tu? sejuk kat luar tu, mai masuk dalam ni, karang demam aku jugak yang susah nak jaga kau.." tegur Madiha Elainy.

Hairan, memang hairan, dari tadi aku tengok si Tiff ni termenung, apa jelah yang difikirkan tu.. hai tak faham aku.

Tiffany menoleh, lambat-lambat diatur langkahnya masuk, sedari tadi dia menghabiskan masanya melangut di balkoni, mengira jutaan bintang di dada langit, dia tak tahu berapa lama dia begitu.

"Kau fikirkan apa Tiff? macam ada masalah dunia je?" Madiha menyoal.

"Entahlah Diha, aku macam pernah jumpa mamat tu.. tapi aku tak ingat kat mana" keluhnya perlahan.

Alahai mamat mana pulak ni? setahu aku si Tiff ni tak pernah ada kawan lelaki, bisiknya perlahan penuh tanda tanya.

"Mamat mana Tiff? cuba kau cerita kat aku ni dari mula-mula, ni tak kau terus terjun dari tengah, buat aku blur je nak faham.."

Tiffany tersenyum, adeyss terlupa pulak aku yang kawan aku sedikit lampi.. omelnya perlahan.

"Mamat yang client baru company aku tu, aku macam pernah nampak dia sebelum ni, tapi tak ingat kat mana."

"Owh.. mungkin pernah hadir dalam mimpi kau kot.." dia berjenaka.

"Eh Tiff kenapa kau macam terlalu berminat sangat dengan mamat tu sampai kau asyik fikir tentang dia jea?" Tiba-tiba Madiha mengutarakan soalan yang tak dijangka olehnya.

"Mana ada, kau ni mengarut jelah, aku cuma rasa macam pernah jumpa dengan dia, tu je.." dia menafikan..

"Alah jangan tipulah, kau angau ek? jatuh cinta pandangan pertama?? betul tak? katakanlah betul wahai sahabatku, aku dah gian nak makan nasi minyak ni..hehe" usik Madiha, seronok melihat wajah Tiffany yang dah tukar warna merah..

"Mengarutlah kau ni, dahlah aku nak masuk tidur, esok nak bangun awal, meeting pukul 9 am, kau pun tahu kan?"

"Huh mestilah aku tau, aku kan setiausaha kau..oi jawab dulu soalan aku baru nak tidur.."

"Soalan yang mana satu? yang pasal makan nasi minyak tu ek? Kalau kau gian sangat nak makan nasi minyak, kau pergilah kat kedai Pak Mail depan tu, kalau nak free kau kahwin je dengan Pak Mail tu, dia kan bujang trang tang tang, hah lepas tu hari-hari kau boleh makan nasi minyak.. sampai kembung pun tak apa" ekekeke amik kau, tadi nak kenakan aku..

Diatur langkahnya pantas menuju ke biliknya, malas melayan kerenah sahabatnya yang satu itu, karang makin dilayan aku yang sakit hati, dahlah minah tu ada saja idea nak kenakan aku.

Cis aku pulak yang terkena, hampeh punya member.. Sempat Tiffany mendengar bebelan Madiha.. hehe padan muka kau, ketawanya perlahan di sebalik pintu biliknya

*********

Dia menutup mulutnya dengan tangannya ketika menguap, matanya terpejam-pejam menahan rasa mengantuk yang bertandang.

"Suliz tolong buatkan saya Nescafe" arahnya kepada pembantunya itu.

Huh baru jam berapa aku dah mengantuk sakan, semuanya gara si Tiffanylah, sebab dia aku susah nak tidur malam, baru pejam mata dah terbayang wajah dia, menari-nari dalam kotak fikiran aku ni... aduyyaii gila bayangkah aku?? soalnya pada diri sendiri.

Memang semenjak dua tiga menjak ni dia macam dah jatuh cinta dengan clientnya yang satu ni, urghh agak-agak dia dah berpunya ke belum ek? dia bertanya dalam hati. Bila hati dah jatuh cinta, tidur tak lena, mandi tak basah, makan pun tak kenyang.. memang betullah aku ni angau.. adui lah adui..

"Suliz nanti tolong telefon kedai bunga, tempahkan bunga untuk saya then suruh hantar ke alamat ni esok.." arahnya pada Suliz bila terlihat gadis serani itu melangkah masuk dengan menatang secawan nescafe, dan seperti biasa gadis itu hanya mengangguk tanpa menyoalkannya, gadis itu memang tak banyak kerenah tu yang dia senang bekerja dengan Suliz.

************

Awat pagi-pagi ni semua dok pandang aku sambil senyum-senyum, lepas tu siap bisik-bisik lagi, kasut aku lain sebelah ke? ke kain aku pakai singkat? tak pun baju aku terbalik? dia membelek dirinya sendiri, tapi takda yang ganjil pun.. ah perasaan aku jea kot.. getus hatinya perlahan. Dia melangkah perlahan memasuki bilik pejabatnya. Hampir terbeliak biji matanya melihat bilik pejabanya dah bertukar macam kedai bunga, eh aku salah bilik ke apa? atas meja ada bunga, atas sofa pun ada bunga, atas kerusi pun ada.. isk pelik-pelik bila ke masanya aku tukar profession jadi penjual bunga? dia terpinga-pinga..

"Mana ke datangnya bunga ni Diha?" dia bertanya setelah hampir seketika dia terdiam.

"Boyfriend Boss lah hantar.." dia menjawab, lebih senang dengan nada formal di pejabat.

"Boyfrien saya?" dia bertanya, sejak bila aku ada boyfriend ni? ke aku terlupa yang aku ada boyfriend? siapa ya..?

"Alahai kau ni selalu kata aku lampi tapi hari kau pulak yang terlebih lampi dari kau.. siapa lagi kalau bukan si Mikael tu yang hantar.." hah hilang berterabur nada formalnya tadi, geram dengan sikap Tiffany yang agak blur tu.. isk

"Ooo.." Hanya itu yang mampu keluar dari mulutnya, perlahan tangannya mencapai salah satu jambangan yang ada disitu, dibawa kehidung.. dicium baunya, hurm wanginya... eh ada kadlah.. baru dia sedar.. Diambil kad itu dan dibaca isinya.

Harap kau pun merasa apa yang ku rasa.... Mikael Z

Kau rasa apa? rasa oren ke apa? dia terpinga-pinga, tak perasan si Madiha membaca isi kad itu sedikit kuat.

"Oii baca tu slowlah sikit.. kau nak bagi satu pejabat ni dengar ke apa?" marahnya perlahan.

"Ehehe sorry boss.."

"Diha kau rasa apa yang dia rasa ek? aku tak fahamlah.." dia bertanya meminta pendapat.

"Alahai blurlah boss aku ni, dia dah jatuh cinta dengan kaulah, sama macam kau terangau kan dia.." apasallah lembab sangat minah ni hari ni, omel Madiha perlahan. Tiba-tiba telefon di meja berdering, pantas di capai oleh Tiffany.

"Hello...dah dapat dah?" salam tak beri apa pun tak beri si pemanggil terus bertanya.

"Hah? dapat apa? dapat ikan ke? saya tak memancing pun.." Tiffany menjawab, kot iya pon bagilah salam dulu, hisy apa punya orang da.. bebelnya

"eh buat lawak pulak dia, dah dapat ke bunga dari saya?"

"Owh awak Mikael, lain kali bagilah salam dulu baru tanya, ni tak main terjah je.." dia meleteri lelaki itu.

Terdengar tawa kecil dari dalam talian..

"Sorry-sorry, saya ter-excited sampai terlupa, assalamualaikum.."

"Hurm takpa lain kali buat lagi saya terus letak fon, waalaikumussalam wbt, dah dapat dah, thanks banyak-banyak, tapi lain kali tak yah sampai semua bunga kat kedai tu awak borong.."

"Hurm jom keluar? awak freekan hari ni? kita luch sama-sama.." ajak lelaki itu.

"Hah..." dia terkejut, keluar makan dengan dia?

"Kenapa? tak sudi ?"dia bertanya.

"Err taklah bukan macam tu.. cuma saya terkejut.. err kita berdua je ke?" Tiffany bertanya, lurus..

"Yelah kita berdua, takkan awak nak ajak staff-staff sekali kot.." apa punya soalanlah dia ni.

"Err ye tak ye jugak ek.. kita nak jumpa kat mana?"

"Nanti saya jemput awak waktu lunch, kalau awak tak keberatanlah.."

"Err ok.." pendek dia menjawab

"Tunggu tau, ok saya nak sambung buat kerje..jumpe nanti salam.."

Huh uik.. tak sempat jawab salam dah letak, Tiffany mengomel sambil memandang ganggang telefon.

"Apa??" dia menyoal Madiha yang dari tadi setia berdiri disisi mendengar setiap bait bicaranya tadi.

"Dia ajak boss pergi mana?" Madiha bertanya teruja ingin tahu..

"Sibuklah.. pergi buat kerja kau sana" dia mengarah malas nak melayan.

"Uikk tu pun tak nak bagitahu?" masih tak putus asa bertanya..

"Pergi buat kerja! karang potong gaji karang.." arahnya, isk sibuk je nak tau..

"Yelah-yelah.. tak nak bagi tau sudah, aku sedar siapa diri ini.." ada nada merajuk yang kedengaran dari Madiha..

Alahai merajuk pulak minah ni, tak apalah kejap lagi oklah tu.. Tiffany faham sangat dengan perangai temannya itu.. Eh agak-agak dia nak ajak aku lunch kat mana ek? dia mula melayan angan-angan yang mula bertamu. Angau...!

**********


"Encik boleh tumpang lalu sikit, saya nak sapu sampah tu.." tiba-tiba seorang wanita lingkungan akhir 30an menegurnya meminta laluan ketika dia sedang asyik terkocoh menuju ke arah lif.

Dia memandang wanita itu dengan pandangan yang menjengkelkan,

"Isk orang nak cepat ada jelah halnya..." dia menyungut kuat

"Encik kalau saya tak kutip sampah tu, ada ke orang macam Encik yang penuh bergaya, pakaian kemas ni akan kutip sampah ni??" wanita bertanya kepadanya, Mikael mengetap bibir mendengarnya.. ah banyak cakap pulak, dah tu kerja kau..

"Memanglah orang macam aku ni tak akan buat, apa guna aku belajar tinggi-tinggi then jadi pengutip sampah?? lainlah macam kau belajar malas tu yang jadi macam ni.." dia mendengus kasar, ada hati nak ceramah aku konon.

"Kenapa kecoh-kecoh ni?" tersentak dia bila ditegur.. terkejut melihat Tiffany tegak berdiri.

"Tak ada apa-apa, ah I baru nak naik ke tempat you, tapi you dah turun.. Jomlah kita gerak. kalau gitu." Serentak wajahnya yang masam kedut berkerut mengorak senyum, depan Tiffany air muka kena jaga..bisik hatinya perlahan.


**************

Huh tak akanlah dia lelaki yang dulu tu... Tiffany berfikir, matanya memandang terus pada siling biliknya, entah tembus ke mana agaknya.

Tapi dari gayanya tadi memang macam dia lelaki itu... lelaki yang 6 tahun lalu yang telah menggaris sebuah luka dalam dirinya, yang telah membuatkan dirinya terasa terhina berada di dunia ini.

Kalau betul dia lelaki itu, apa yang perlu aku lakukan? teruskan perhubungan ini walaupun aku sangat membenci dia? atau ajar dia cukup-cukup agar baru dia tau siapa dia di dunia ini? hatinya berbelah bagi kini, dirundung walang, segalanya hanya kerana dia terlihat peristiwa di lif tempoh hari, membuatkan fikirannya sentiasa memutarkan ingatan pada peristiwa yang lalu, peristiwa yang hampir sama cuma tempat dan waktu je yang membezakannya.

Dia mengeluh lagi dan terus mengeluh.. memang diakui hatinya sudah menyukai lelaki itu, tapi dia ada ikrarnya sendiri semenjak 6 tahun dahulu, mana mungkin dilupakan begitu sahaja ikrarnya itu..itu maruah dirinya, air mukanya.. Ya ALLAH apa yang perlu lakukan? aku buntu.

*************

Mikael Zamy, tersenyum gembira, kehidupan terasa sedikit terisi semenjak kehadiran Tiffany dalam hidupnya.

Aha..bulan depan 21 December, birthay Tiff.. aku ingat nak melamar dia, agak-agaknya dia sudi tak? dia tertanya sendirian.. tapi hubungan kami masih baru, baru mencecah 7 bulan, tak gopoh sangat ke kalau aku melamar dia waktu tu? ah pedulilah, aku mampu apa, buat apa nak bercinta lama-lama, nanti karang tak menjadi pulak.. Dia membuat keputusan.

************

"Kita nak kemana ni Kael? " Dia bertanya, hairan dari tadi didalam kereta tapi masih tak sampai-sampai lagi tempat yang dituju.

"Adalah, kejap lagi you taulah, I ada suprise untuk you Tiff.." lelaki itu menjawab dengan senyuman penuh suspen.

Isk kemana pulak dia bawak aku ni? pelik dah ni..

"Ok kita dah sampai.. " Mikael memberitahu..

Tiffany hairan, tempat apa ni? mereka berhenti di sebuah tempat yang gelap, yang gelap tak nampak apa, tempat apa yang dia bawak aku ni? jangan-jangan dia ada niat tak baik kat aku tak.. isk..

"Jomlah turun, yang tercegat kat situ lagi kenapa?" Mikael bertanya hairan sambil menyembunyikan senyuman diwajahnya.

Dengan lambat-lambat Tiffany melangkah turun, gelapnya.. keadaan yang gelap membuatkan dia berjalan hampir dengan lelaki itu, hampir bersentuh bahu..

Hampir 5 minit mereka berjalan, tiba-tiba... suprise..!! terdengar suara yang agak ramai memekik perkataan itu... Tiffany terkejut, suasana yang gelap tadi bertukar terang, kelihatan sebuah khemah yang telah dihias cantik, beserta cahaya lilin menjadi penerang suasana itu.

Dia lihat ada staffnya turut berada disitu, wajah Madiha juga turut kelihatan.. dia masih terpinga-pinga dengan kejutan yang tak diduga ini.

"Apa semua ni?" dia bertanya..blur..

Tangannya di tarik oleh Madiha ke arah meja yang di hiasi sebiji kek, serentak dengan itu lagu ALLAH selamatkan kamu berkumandang.. dia terharu, agak terharu, terlalu lama dia melupakan tarihk lahir sendiri, tapi hari ini...

"Tiffany sudikah awak jadi milik saya?" Tiba-tiba Mikael yang berada di sisinya melutut sambil memandangnya..

Ah adakah dia melamar aku? Suasana yang hingar-bingar tadi jadi sepi, sepi sesepinya, mata masing-masing memandang ke arahnya, seolah mengharap jawapan darinya.

"Boss terimalah boss" terdengar suara-suara staffnya memprovok.

Dipandangnya kearah wajah Mikael yang penuh mengharap.. lama.. dia akhirnya menarik nafas dalam, sebelum menghembuskannya kasar.

"Tak saya tak boleh terima awak.." itu yang jawapan yang dia pasti dalam hatinya.

Mereka yang berada di situ terpinga mendengarnya, tersasar dari jangkaan, sangka mereka Tiffany akan menerima lamaran lelaki itu.

"Tapi kenapa Tiff? saya cintakan awak?" perkataan "cintakan awak" di tekannya sedikit kuat.

"Memang saya akui, saya menanti saat ini, saat di mana awak melamar saya... sebab saya tak sabar nak balas balik apa yang awak buat pada saya 6 tahun lalu Encik Mikael Zamy.." nada bicara telah bertukar rentaknya.

"Saya buat apa pada awak Tiff? tolong ingatkan saya, saya betul-betul tak ingat, kalau saya ada lukakan hati awak saya minta maaf, tapi jangan buat saya jadi macam ni Tiff" pohon lelaki itu.

"Awak tahu tak saya sengaja menyuruh staff saya kononnya mahu menyapu sampah di lif tu tempoh hari, sebab saya nak tahu awakkah orang yang telah menendang botol air mineral dan melemparkan duit RM10 kepada saya dulu, dan nampaknya betul ialah awak, saya tak mahu hidup dengan lelaki yang sombong dan angkuh macam awak, yang berlagak meninggi diri dan memandang rendah pada orang lain, salah ke bekerja sebagai tukang sapu sampai awak melemparkan pandangan yang menjengkelkan? haramkah pekerjaan tu? kalau tak ada tukang sapu ni, mesti banyak sampah-sampah yang bertaburan, nak mengharapkan orang yang macam awak yang buat, yang kutip, alamat matilah semua dek timbunan sampah..."

Berubah wajahnya kini, ya kini ingatannya kembali pada peristiwa tu, peristiwa yang berlaku 6 tahun dahulu.

Dia terkocoh-kocoh ingin menemui salah seorang pelanggannya hari tu.. dan tanpa di duga kakinya menyepak botol kecil itu terus jatuh ke longkang, dia ingat botol itu tiada pemiliknya, maka langkah kakinya diteruskan.. tapi ada pulang seorang gadis yang menghalang laluan dan menuntut ganti rugi, dia yang kononnya mengejar masa, mula rimas, dan dengan angkuh dia mengherdik dan melemparkan duit pada wajah gadis itu.. dan gadis itu ialah Tiffany yang berdiri di hadapannya kini... Ya ALLAH apa yang aku dah buat ni... dia mengeluh

"Selamat tinggal Encik Mikael Zamy, lain kali jangan terlalu angkuh dengan kedudukan yang awak ada.." Ucapnya.

Langkah kakinya diatur bersama genangan air mata yang bila-bila masa akan tumpah di tubir matannya kini.. Aku korbankan cinta ini kerana sebuah kesedaran untuknya, ya ALLAH benarkah aku tak cintakan dia? benarkah selama ini cintaku ini menyala kepadanya atas sebuah dendam??

"Tiff jangan tinggalkan saya Tiff, hukumlah saya apa pun, tapi tolonglah jangan tinggalkan saya..saya tak mampu hidup tanpa awak" Rayunya kini.

Dia terjelepok lesu tak mampu mengejar Tiffany selepas kenyataan di ketahui, tak peduli mata-mata yang memandangnya. Perasaan malu entah hilang terbang entah ke mana. Patutlah aku rasa macam pernah nampak kau sebelum ni, rupanya kau lah gadis itu... segalanya dah terlanjur, aku terlanjur cakap dengan mu dan yang paling utama aku dah telanjur menyintaimu, mana mungkin kupadamkan serta merta perasaan ni..


*************

"Kau yang tak nak kan dia Tiff kenapa pulak kini kau nampak macam merana?" isk tak faham aku, hari tu bukan main lagi menolak si Mikael tu, ni la ni gaya dia pun dah macam orang mati laki, pejabat pun tak di jengahnya.. asyik berkurung je dalam bilik.

"Kau tak faham situasi aku Diha," lemah dia menjawab.

"Siapa kata aku tak faham Tiff, aku faham kau terikat dengan dendam tu Tiff, lupakan jelah dendam tu, lebih baik jadi seorang yang pemaaf dari seorang yang pendendam, kau jugak yang merana Tiff"

"Maafkan jelah dia, mana tau lepas ni dia dah sedar dengan apa yang kau dah cakap kat dia tu, dia pun manusia biasa, tak dapat lari dari silap dan salah.." sambung Madiha memujuk belas, yelah sorang merana macam mati bini, yang sorang merana macam mati laki.

"Tak faham aku, jangan sebab ego, kau korbankan yang segalanya yang kau kecap Tiff, jangan siksa diri kau lagi Tiff, bagilah diri kau peluang untuk rasa bahagia.."

"Dahlah Diha aku nak bersendirian.." lemah nadanya.

Bunyi loceng rumah yang ditekan mematikan ayat Madiha. Dia bingkas bangun, siapa pulak yang datang tengah-tengah malam ni? kacau jelah aku baru nak ceramahkan si Tiff ni..isk..

Dia terkejut bila pintu dibuka berdiri Mikael dengan gaya yang tak berapa terurus..

"Saya nak jumpa Tiff, cakap dengan dia sekejap pun jadilah.." Rayu lelaki itu..

Alahai kesiannyalah.. dia memandang simpati..

"Sekejap saya panggilkan dia"

"Siapa Diha? kalau dia yang datang aku tak nak jumpa dia, suruh je dia balik" macam-macam tau-tau je Mikael yang datang, tak sempat cakap dia dah tau.

"Maaf encik Mikael, Tiff kata dia tak nak jumpa awak, awak balik jelah.."

"Saya takkan ke mana-mana, saya akan berdiri di sini, sampailah dia nak jumpa saya" tegas katanya.

Adui kalian berdua cukup-cukuplah kepala aku yang dah pening ni, janganlah tambah lagi pening ni.. last-last karang aku jugak yang jatuh sakit nanti, dua-dua keras kepala.

Hujan lebat yang turun menggila seolah mengisi perpisahan diantara mereka, Tiffany berjalan perlahan menuju ke tingkap, perlahan birai tingkap di kuak sedikit, dari kejauhan dia melihat satu batang tubuh masih tegak berdiri seperti tadi dalam hujan lebat itu. Hatinya di rundung serba salah.

Apa yang aku perlu buat ni.. pergi kat dia, maafkan dia, terima dia seolah tiada apa-apa yang berlaku.

"Tiff saya tetap akan tunggu awak di sini sampailah awak maafkan saya" laung lelaki itu kepadanya setelah perasan dia mengintai di sebalik tingkap.

*************

"Tiff aku ada berita buruk untuk kau ni.." Ujar Madiha tiba-tiba

Tiffany yang matanya sedang mengadap skrin tv mengalihkan pandangan ke arahnya,

"Hurm apa dia?" dia bertanya tak sabar.

"Mikael masuk hospital..."

"Hah masuk hospital? bila? kenapa? hospital mana?"

Tu dia, kata tak nakkan lelaki tu, tapi dengar lelaki tu sakit taulah pulak risau.. tak faham aku dengan dia ni.

"Eh kau nak pergi mana ni Tiff?" terkejut melihat Tiffany bingkas bangun tiba-tiba

"Aku nak ke hospital" jawabnya ringkas.

Alhamdulillah lembut jugak hati kau Tiff, dia mengucapkan syukur dalam hati..

"Aku nak ikut"

************

"Thanks sayang sudi maafkan I, I janji lepas ni I akan jaga percakapan, tingkah laku, agar tak melukakan you dan semua yang mendengarnya" ucap Mikael dengan gaya seolah seorang anak kecil yang berjanji tak akan buat nakal lagi dihadapan ibunya.

Tiffany ingat lagi betapa risaunya dia waktu itu apabila melihat Mikael terlantar di katil hospital akibat demam panas hari tu, baru dia mengetahui bicara hatinya yang dia tidak akan mampu hidup tanpa lelaki itu sebab dalam tak sedar dia telah pun menyerahkan hati miliknya kepada lelaki itu.

"Hurm you jangan berjanji pada mulut je tau, next time buat lagi, memang tiada maaf bagimu"
Cerita-cerita yang dinukilkan adalah antara kisah-kisah yang terjadi di sekeliling ini. Sekadar berkongsi suka-duka kepada semua. Yang baik sama-sama kita jadikan tauladan, dan yang buruk itu kita ambil dan jadikan sebagai sempadan.

Segala cerita dalam ni adalah karya asal, sebarang copy adalah tidak dibenarkan. Mana-mana kisah yang mungkin ada menyinggungkan perasaan semua tu di luar sedar saya, salam kemaafan saya hulurkan terlebih dahulu.


Salam dari saya,