Sunday, May 3, 2009

Cerpen : Bingkisan Buat Permata hatiku

Assalamualaikum wbt, ibuku permata di hatiku...Kutitipkan bicara ini dari kejauhan meluahkan bicara yang terpendam yang aku sendiri tak mampu ucapkan.

Pagi itu aku terbangun dari tidurku, ku lihat ibu masih lagi sedang asyik dalam sujudmu menghadapNYA, lalu lenaku bertandang kembali, seketika ku terjaga lagi, dan aku masih melihat ibu masih lagi khusyuk dalam solatmu. Ibuku, kebahagian bukan selalunya menjadi milik kita, tetapi aku lihat ibu terlalu tenang menghadapi ujianNYA.


Ibuku,

Seandai aku diberi pilihan, longgokan permata disogokkan aku tetap memilih dirimu sebagai yang teristimewa. Kau idolaku ibu, kau sentiasa cekal dalam menghadapi dugaanNYA,aku lihat raut wajahmu sentiasa tenang, tapi aku tahu bicara hatimu, kau terluka ibu, tapi kau tak mahu tunjukkan kepadaku, kau menangis ibuku, tapi kau menangis dalam jiwamu, dalam hatimu.

Aku hidup hari ini keranamu ibu, aku tabah hari ini kerana semangatmu sayangku. Pernah dahulu ku putus semangat, asaku tenggelam dek kejian mereka, tapi bila ku terkenangkan ibu, semangatku tersambung, aku perlu hidup untuk ibu, aku perlu kuat untuk ibu,

Ibu,

Terfikirku seketika, seandainya tuhan menginginkan aku dahulu, siapa yang akan menjaga ibu?

siapa yang akan membela nasibmu bondaku?

siapa yang akan menyinari hari tuamu?

Ibu,

Dengan kudratmu yang tak seberapa, kau membanting tulang menyaraku, memerah keringatmu mencari rezeki yang halal di saat seorang lelaki yang sepatutnya kau jadikan dahan tempatmu bergantung menghilangkan diri. Aku melihat ibu begitu bersahaja, mengutip kotak-kotak kosong, tin-tin minuman yang kosong yang dibuang orang, bagi ibu itu terlalu beharga, Dengan rezeki yang orang pandang kotor itulah ibu mengisi perutku, menghilangkan laparku, meneruskan hayatku. Terus terang aku berbicara, aku tak pernah malu punya ibu sepertimu, malah aku bangga ada ibu yang kuat dan tabah. Ibuku, aku menangis melihat deritamu, aku pilu melihat dukamu, tapi aku perlu menjadi kuat didepanmu agar aku mampu menjadi semangatmu, tidak sekali aku benarkan air mataku ini tumpah dihadapanmu.


Ibu,

21 tahun hidupku kini, inginku singkap kembaali bait-bait perjalananku, menyingkap duka yang lebih banyak hadir dari gembira. Namun aku tak pernah, malah takkan sekali-kali menyalahkan ibu atas apa yang terjadi. Kau wanita yang terlalu mulia untuk dibebankan dengan silap. Aku tahu kau jua tak pernah inginkan benda terjadi dalam keluarga kita kan? aku tahu impianmu sentiasa ingin melihatku bahagia kan?


Selalu kurenung matamu, kulihat sinar harapan yang tak pernah padam terletak di situ, Setiap kali ku berkesempatan pulang, sering kali kucuri waktu untuk menatap wajahmu wanita kesayanganku, aku lihat wajahmu lebih tua dari usia, mungkin beban yang kau tanggung terlalu berat. Ibu, aku ingin menjadi semangatmu, menjadi dahanmu kini, sebab,,, aku rasa aku sudah semakin dewasa untuk bersamamu mengharungi dugaan yang mendatang.


ibu,

Aku ingat lagi peristiwa kira-kira 6 tahun yang lalu, pertama kali aku lihat ibu membentak kasar, melenting marah, terkejut aku terpana aku seketika ibu, semuanya sebab apabila seorang saudara kita membawa khabar memburukkan ayah dihadapan ibu kan? dari situ terbit rasa kagumku ibu, walaupun ayah bukan suami yang baik, tak pernah ada bicara buruk terlahir darimu tentang ayah. Malah ibu akan begitu marah bila ada orang yang memburukkan ayah. Betapa terlalu beruntungnya ayah punya ibu sebagai isteri. Wanita sebaikmu sepatutnya tak perlu mengharungi hidup ini dengan bertemankan air mata kan ibu? tapi apa dayamu kan? aku percaya ibu suatu hari nanti akan ada sinar bahagia hadir untukmu ibu.


Ibu,

Layar ingatanku berputar kembali ke satu peristiwa yang mana mungkin aku lupakan sepanjang hayatku. Ingat lagi, tika itu usiaku 13 tahun, entah mana silapnya, aku diserang gastrik, waktu itu lebih kurang pukul 3 pagi. Aku mengerang kerana sakit yang teramat, aku tak sangka erangan itu mengganggu lenamu ibu, Maafkan aku ibu, ibu bangun dalam kepayahan, sedangkan aku tahu waktu itu ibu baru sahaja diulit lena, dengan matamu yang masih memberat, yang separuh terbuka, kau mengurutku, menenangkanku, sehingga sakitku reda, sehingga lenaku bertandang kembali. Terima Kasih ibu.


Ibu,

Pertama kali dalam hayatku aku melihat air mata abang tumpah kerana ibu, setahuku abang lelaki yang kuat, pandai menyembunyikan rahsia hati dengan bicara lembutnya, semuanya gara-gara ibu yang diserang athma secara tiba-tiba, sedangkan waktu itu ubat ibu habis. Ya ALLAH, betapa risaunya hatiku tika itu, aku belum puas merasai kasihmu, aku belum sempat mencurahkan baktiku padamu ibu.. Alhamdulillah Dia mendengar doaku ibu, dalam linangan air mata aku memohon berilah ibu peluang merasai bahagia seperti orang lain, dalam sedu sedan aku berdoa jangan ibu tinggalkan aku disaat aku belum bersedia.


Ibu,

UjianNYA tak pernah putus-putus hadir menguji cekalku, hari ini setelah hampir 4 tahun aku memendam, aku bersedia mencurahkan setelah aku betul-betul bebas dari persoalan yang membuat hidupku gelap seketika. 8 july 2005 adalah tarikh yang terlalu perit dalam hidupku, doktor menyatakan yang jantungku bermasaalah ibu, dan yang paling peritnya ibu, aku takkan hidup lama disisimu ibu. Mana mungkin aku meninggalkan wanita kesayanganku ini, sedangkan aku satu-satunya hawa dalam zuriatmu.

Ibu, berkecai harapanku ibu, berkali-kali doktor memujukku agar aku bawa ibu untuk membincangkan perihal rawatan penyakitku ibu, tapi aku enggan, aku tak mahu menambahkan, mencarikkan, menggariskan lagi derita dalam hidupmu kesayanganku. Aku bertekad ibu, akan aku harungi sendiri deritaku ibu, aku ingin hadiahkan bahagia sebelum hayatku berakhir ibu. Memang aku akui kesihatanku terjejas, dadaku sering sakit, jika dulu aku sentiasa juara di trek bila acara sukan sekolah menjelma, tapi kini tidak lagi. trek sejauh 1500m pun tak mampu aku sudahi. Lemahnya aku tika itu ibu. Namun segalanya berubah ibu, dan aku jua percaya pada kuasaNYA yang sentiasa mendengar setiap bingkisan doaku ketika dalam akhir sujudku, ketika dalam setiap solat hajatku. Awal tahun 2006, apabila wang simpananku mencukupi hasil dari tabunganku, sekali lagi aku menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta, Alhamdulillah ibu, kuasa tuhan melebihi segalanya, aku hampir tak percaya ibu, tapi hasil ujian x-tray menunjukkan jantungku sihat, ajaib ibu, tapi itulah anugerah yang terindah untuk aku ibu, syukran ya ALLAH kerana beri aku peluang untuk terus menemani ibu didunia ini. Aku sujud syukur ibu, aku rasa macam dilahirkan semula.

Bait-bait bingkisan ini kuteruskan lagi, kali ini kuselitkan pula dengan impianmu pula, dek kerana sedikit kelapangan masaku, maka aku berkesempatan pulang menjengukmu ibu, tapi ibu... kenapa ibu utarakan aku satu pemintaan yang mana mungkin bisa ku tunaikan dengan mudah ibu, tengiang kejap ditelingaku ibu,

"adik, ibu teringinkan cucu," kata ibu meluahkan bicara.

"kawan-kawan umur macam ibu semua dah ada 2,3 orang cucu tapi ibu sorang pon takda lagi" sambungmu lagi dengan wajah yang mengharap.

"suruhla abang kahwin kalau ibu betul-betul inginkan cucu," jawabku...

tapi ibu sesuatu yang tak terjangka terlahir dari bibirmu.

"ibu mahu cucu dari anak perempuan ibu,"

Terkaku aku ibu, bukan sekali dua kau utarakan impianmu, pertama kali aku mendengar, sangkaku ibu hanya bergurau, tapi dari raut wajahmu aku tahu ibu serius, bingung aku, apa benar itu impianmu ibu? aduh... permintaanmu terlalu payah untukku tunaikan, jika kau minta aku belikan gelang emas, handphone baru mungkin aku akan usahakan untuk dapatkannya, tapi yang ini ibu, pelik, ibu mana mungkin aku menunaikan impianmu secepat mungkin, sedangkan calonnya pun belum ku temui. Kadang-kadang ibu, pening juga aku, tapi ibu janganlah susah hati, InsyaALLAH akan aku tunaikan, tapi aku tak dapat menjanjikan cepat atau lambatnya. Huhuhu... lagi satu ibu, bukan aku tak ingin tunaikan impianmu ibu, tapi aku takut ibu, andai aku punya keluarga sendiri, aku tiada masa untuk sentiasa disisimu ibu, mendengar bicaramu, celotehmu ibu.

Terlalu banyak sebenarnya inginku bicarakan disini bondaku, tapi ruang ini tidak mencukupi, bahkan diberi seluruh ruang di dunia ini untuk kucoretkan liku-liku perjalananku 21 tahun bersama ibu, aku rasa ia tetap takkan mencukupi.

Ibu, setiap helaan nafasku adalah untuk ibu, aku hidup dengan semangatmu yang sentiasa membara itu, aku ingin jadi wanita sesolehah ibu, aku ingin contohi ibu, cekal, tabah, punya impian yang besar tidak sepadan langsung dengan tubuh kecilmu itu. Tahu tak ibu, setiap langkah kakiku, setiap apa yang aku ingin lakukan, aku sentiasa ingat pesanan ibu, apa yang ibu tegah, takkan sekali-kali aku lakukan, sebab luka ibu aku yang rasa sakitnya, kecewa ibu adalah hukuman sepanjang hayatku. Aku takkan sekali-kali benarkan air mata ibu tumpah kerana perbuatanku. tapi kalau air mata ibu tumpah kerana kejayaanku, aku tak pernah menghalang, bahkan aku puas kerana berjaya menitiskan air mata gembiramu.


Ibuku, bait-bait bicaraku kini sudah sampai ke penghujungnya, aku belum puas meluahkan bicara hatiku ini, tapi apakan dayaku, masa mencemburuiku, aku perlu bergegas ke dewan peperiksaan, menjawab kertas ke 4 ku hari ini ibu, sempena hari ibu ynag bakal menjelang ibu, aku ucapkan

"SELAMAT HARI IBU" untuk ibu, wanita yang paling aku sayang dalam hayatku, dan nantikan kepulanganku, tapi ibu maaf ku pohon terlebih dahulu, kerana aku mungkin aku tak mampu meraikan tepat pada masanya sebab tuntutan tugas mengekang hasratku. Adik sayangkan ibu, cintakan ibu dalam setiap helaan nafas ini, dalam setiap atur langkah kaki ini ibu.

Salam sayang dan rindu,

biar jarak masa, dan tempat memisahkan kita,

tapi ibu sentiasa di hati ini,

selalu dalam jiwaku, bersatu dalam semangatku.

Dari anak kecilmu..

1 comment:

Anonymous said...

Hargai ibu selagi dia ada,
Sayangi ibu selagi dia masih ada,
Cintakan ibu selama hayat ada,
Taati ibu selama nyawanya ada,
Doakan ibu bila dia tiada,
Ingati pesan ibu selama kita ada,
('',)

Cerita-cerita yang dinukilkan adalah antara kisah-kisah yang terjadi di sekeliling ini. Sekadar berkongsi suka-duka kepada semua. Yang baik sama-sama kita jadikan tauladan, dan yang buruk itu kita ambil dan jadikan sebagai sempadan.

Segala cerita dalam ni adalah karya asal, sebarang copy adalah tidak dibenarkan. Mana-mana kisah yang mungkin ada menyinggungkan perasaan semua tu di luar sedar saya, salam kemaafan saya hulurkan terlebih dahulu.


Salam dari saya,